April 20, 2024

Search
Close this search box.

Robocon serlahkan kreativiti mahasiswa

written by sabri

Mohd. Burhanudin Yusof meneliti robot ciptaan penuntut
UTM Skudai, Johor di Stadium Tertutup Nilai, semalam.

SEREMBAN 14 Jun – Para peserta Pertandingan Robot Peringkat Kebangsaan (Robocon) 2011 menyifatkan pertandingan tahunan itu sebagai saluran terbaik buat mahasiswa tempatan untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing dalam penciptaan robot.

Menurut seorang peserta, Mohd. Burhanudin Yusof, 23, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, penyertaannya tahun ini merupakan kali ketiga, dia mewakili UTM dalam pertandingan tersebut.

”Saya amat gembira kerana program ini diteruskan lagi, ia memberi peluang kepada kami (penuntut) untuk mempamerkan hasil ciptaan kami kepada umum.

”Tanpa Robocon, mungkin hasil kerja kami ini sekadar dijadikan projek kursus dan sebahagian dari skop pengajian,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas selesai melakukan proses pendaftaran Robocon 2011 di Stadium Tertutup Nilai, Nilai di sini, hari ini.

Jelas Mohd. Burhanudin yang juga mewakili Malaysia dalam Pertandingan AbuRobocon Peringkat Antarabangsa 2010 di Mesir, Robocon bukan sahaja dapat mencungkil bakat di peringkat tempatan, malah membuka peluang kepada peserta untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

”Kami berjaya menjadi johan tahun lalu pada Robocon 2010 dan pada masa sama kami bertuah kerana terpilih mewakili Malaysia.

”Lebih membanggakan, kami diumumkan sebagai pemenang kategori reka bentuk terbaik pada AbuRobocon 2010,” kata pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik.

Bagi seorang peserta, Kuek Jin Hao, 20, dari Universiti Malaya (UM), penyertaannya pada Robocon 2011 adalah lebih menjuruskan kepada usaha mencari pengalaman.

”Tujuan utama saya bersama ahli kumpulan menyertai Robocon ini bukannya untuk menang, sebaliknya untuk mencari pengalaman. Ini kerana kami masih dalam proses belajar.

”Banyak lagi selok belok pertandingan termasuk cara menghasilkan robot yang baik perlu dipelajari dari peserta lain,” ujar Jin Hao yang hanya mengambil tempoh sebulan untuk menghasilkan robot yang bakal dipertandingkannya.

Tambah rakannya, Ong Yee Lum, 21, kerjasama antara ahli kumpulan merupakan kunci utama dalam menghasilkan robot yang efisien.

”Untuk membentuk robot yang baik, ia bukanlah tugas seorang sahaja, tetapi ia memerlukan kerjasama gigih dari semua ahli kumpulan.

”Ini kerana robot mempunyai pelbagai komponen, sebagai contoh daripada aspek sensor, pengaturcara sehingga ke kerja mereka bentuk yang mungkin agak sukar untuk dilakukan oleh seorang individu sahaja,” kata penuntut tahun kedua jurusan Kejuruteran Elektrik itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Explore More