April 16, 2024

Search
Close this search box.

Kembara Mahkota Johor 2011 peluang rakyat temui Sultan

DYMM Sultan Ibrahim melambaikan tangan sebelum berlepas dari Kluang.

Kembara Mahkota Johor 2011 (KMJ 2011) yang berlangsung selama empat hari mulai 19 Jun lalu memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

DYMM Tuanku menunggang motosikal mengetuai konvoi menjelajah pelbagai daerah di negeri Johor sejauh 800 kilometer bermula dari perkarangan Istana Tanjung di Muar menuju ke daerah Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulaijaya, Pontian, Ledang.

KMJ 2011 menutup tirai pada 21 Jun 2011 di Muar dan kesudian DYMM Tuanku berangkat mencemar duli menemui rakyat jelata di seluruh pelusuk negeri melambangkan keprihatinan baginda untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pembangunan dan kehidupan rakyat di negeri ini.

Ribuan rakyat tidak melepaskan peluang keluar ke jalanraya untuk melihat DYMM Tuanku mengetuai konvoi menjelajah pelbagai daerah.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam KMJ 2011 dengan menghantar lima orang staf termasuk seorang pegawai mengikuti program berkenaan hingga hari terakhir.

UTM turut mengadakan pameran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Taman Indahpura di Kulaijaya yang dipilih menjadi destinasi yang dikunjungi oleh DYMM Tuanku semasa melawat daerah Kulaijaya.

Naib Canselor Profesor Dato’ Ir Dr. Zaini Ujang hadir menyambut ketibaan baginda di sekolah berkenaan.

Walaupun jadual kembara yang padat, baginda sempat meluangkan masa untuk berbincang dengan Naib Canselor sebelum meneruskan perjalanan ke Pontian.

Explore More