KEHEBATAN Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang dalam sukan ekuestrian bakal diuji apabila turut beraksi pada Kejohanan Sukan Berkuda Antarabangsa 2011 di UTM Skudai, Johor Bahru selama empat hari bermula 10 Mac ini.

Zaini berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam acara endurance 20 kilometer (km) dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 itu.

Menurut beliau, pihaknya menganjurkan kejohanan itu bagi menjadikan UTM dan negeri Johor sebagai pusat sukan berkuda di selatan tanah air, selain memberikan peluang kepada orang ramai supaya lebih mengenali dan mencintai sukan berkuda.

Kejohanan itu katanya, merupakan kali ketiga dianjurkan di UTM selepas tahun 2000 dan 2002 dan dijangka akan dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Sebanyak 22 acara show jumping, 13 dressage dan tiga kategori endurance sejauh 20km, 40km dan 80km akan dipertandingkan pada kejohanan itu bagi merebut Piala Sultan Ibrahim (kategori senior) dan Piala Mahkota (kategori junior).

“Sama ada saya hebat atau tidak menunggang kuda, kita kena saksikanlah.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Kampus UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

Zaini berkata, kejohanan itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara lain termasuk demonstrasi kereta kuda, pertandingan fotografi dan mewarna serta seminar mengenai sukan ekuestrian.

Antara jaguh dunia yang turut serta dalam kejohanan itu katanya, termasuklah penunggang dari New Zealand, Chris Ledbrook serta dua jaguh Belanda, Yasmen Fabiny dan Hamzah Hansen.

“Selain itu, peminat sukan ekuestrian tempatan juga bakal menyaksikan bakat-bakat baru apabila penunggang dari beberapa universiti seperti UTM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga mengambil bahagian dalam kejohanan selama empat hari itu yang akan diadakan di dalam kampus UTM,” katanya.