April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan MIT kerjasama bangun bandar lestari

Profesor Dr Mohd Azraai mengumumkan kerjasama dengan MIT pada sidang media di UTM Johor Bahru.

JOHOR BAHRU, 14 June 2013:  Satu delegasi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Pemangku Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim akan mengambil bahagian pada Persidangan Antarabangsa ke-6, Konsortium Pembelajaran Antarabangsa (LINC 2013) Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 16 hingga 19 Jun, 2013 di Cambridge, Massachusettes.

Sempena persidangan itu, UTM dan MIT akan menandatangan memorandum perefahaman (MoU) berkaitan dengan projek penyelidikan pelestarian bandar yang akan ditandatangan oleh Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim bagi pihak UTM dengan Naib Presiden MIT, Israel Ruiz.

Majlis memandatangani perjanjian itu akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha ll, Kementerian Pendidikan, Dato’ Seri Dr Zaini Ujang.

Projek ini akan diketuai oleh Prof. Larry Suskind dari MIT manakala UTM di ketuai oleh Prof Dr Hamdan Ahmad dijalankan bagi membantu menambahbaik kependudukan di setiap bandar utama di negara ini dan kawasan Asia Selatan untuk mengatasi kepesatan penduduk di kawasan bandar.

Objektif utama adalah untuk melahirkan sistem perbandaran dan kependudukan yang unik, selesa, selamat dan lestari di bandar-bandar utama di negara ini dan Asia. Antara lokasi kajian ialah Nusajaya, Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Projek ini dijangka dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang ilmu termaju dalam sains dan teknologi yang berkaitan dengan kepentingan sejagat dan mewujudkan jaringan kerjasama di kalangan pakar dan pendidik melalui pengajaran dan penyelidikan dalam mewujudkan perbandaran yang lestari.

Perlaksanaan projek berkenaan telah disenaraikan sebagai berimpak tinggi di bawah peruntukan dana Universiti Penyelidikan dengan kos permulaan sebanyak RM800,000.

Antara program yang dirancang ialah melaksanakan pertukaran kepakaran antara penyelidik di UTM dan MIT, selain penempatan pelajar UTM di MIT.

Explore More