UTM catat sejarah menang Anugerah Harta Intelek Negara kali ke-4

Profesor Mohd Azraai meenerima sijil dari Datuk Hassan Malek di MITC, Melaka.

MELAKA 13 JUN 2013 ; – UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila dipilih sebagai penerima anugerah Harta Intelek Negara bagi kali keempat sejak diperkenalkan pada tahun 2006.

Pemangku Naib Canselor, Profesor Ir Dr Mohd. Azraai Kassim berkata, anugerah itu menjadikan UTM sebagai institusi penyelidikan paling banyak menerima anugerah berkenaan sejak mula diperkenal lapan tahun lalu. Sebelum ini, UTM memenangi anugerah Harta Intelek Negara pada tahun 2006, 2009 dan 2010.

UTM menerima hadiah wang tunai RM30,000 yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek kepada Pemangku Naib Canselor, Profesor Ir Dr Mohd Azraai Kassim di MITC, Melaka sebentar tadi.

Di samping itu, UTM turut mencatat kejayaan cemerlang apabila menyapu bersih tempat pertama hingga ketiga kategori Hak Cipta dan tempat pertama kategori Paten.

Kategori Hak Cipta dimenangi oleh Dr Faizah Abd Ghani menerusi produk Model Sayangku. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, kedua RM7,000 dimenangi oleh Prof Madya Dr Buang Alias menerusi produk i-ASSET dan ketiga RM5,000 oleh Prof Madya Dr Sevia Mahdaliza Idrus yang menghasilkan SMS – Parkir.

Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail yang menghasilkan M-Contactor: Smart Membrane For CO2 Removal memenangi tempat pertama kategori Paten yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Profesor Mohd Azraai berkata,
“kejayaan yang dicapai adalah hasil perancangan dan usaha yang berterusan pengurusan UTM menggalakkan budaya kreatif dan inovasi di kalangan masyarakat kampus”.

“UTM sentiasa menggalakkan penyelidiknya mempergiatkan aktiviti penyelidikan dengan memberikan penekanan kepada penghasilan harta intelek dan pengkomersilan produk penyelidikan,’ katanya.

Sehingga 31 Disember 2012, UTM telah berjaya menfailkan 866 Harta Intelek pelbagai kategori yang terdiri daripada 697 Paten, 13 Pembaharuan Utiliti, 13 Rekabentuk Industri dan 41 Cap Dagangan.

Dalam tempoh yang sama juga, UTM telah menerima 101 geran Paten dan 1 geran Pembaharuan Utiliti. 

“Selain itu, UTM juga telah meningkatkan perlindungan Hakcipta kepada 1,907 produk dan 13 produk di bawah kategori Susun Atur Litar Bersepadu, menjadikan jumlah keseluruhan perlindungan harta intelek UTM sebanyak 2,786.

“UTM juga telah berjaya meningkatkan bilangan syarikat hiliran dari 1 pada 2009 kepada 14 pada 2012,” katanya.

Beliau berkata, antara kategori syarikat hiliran ailah UTM-MTDC Symbiosis yang menawarkan peluang perniagaan berasaskan teknologi terkini yang dihasilkan oleh UTM dan dikendalikan oleh graduan.

“Menerusi UTM-MTDC Symbiosis, UTM telah melesenkan sebanyak 10 teknologi yang dibangunkan manakala Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bertindak sebagai penyedia dana dan penasihat perniagaan.

Melalui program ini, UTM telah berjaya memperoleh dana MTDC sebanyak hampir RM20 juta melalui syarikat-syarikat yang ditubuhkan,” tambahnya.

Katanya, UTM turut mengkormersialkan 18 teknologi yang dihasilkan menerusi kaedah perlesenan teknologi kepada syarikat luar, selain berjaya mengkomersialkan sejumlah 122 produk penyelidikan.