JOHOR BAHRU, 6 Jun 2013: Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang berharap penggantinya akan terus memperkasa program tranformasi yang kini hebat berlaku di universiti.
Dr Zaini yang akan memulakan tugasnya sebagai yang Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan hari ini berkata, landasan transformasi telah ada di UTM dan perlu diperhebatkan lagi bagi menjayakan aspirasi untuk menjadi universiti terkemuka dan berdaya saing di seluruh dunia.
Dr Zaini yang merupakan Naib Canselor kelima dilantik ke jawatan berkenaan pada tahun 2008 dan telah membawa pelbagai transformasi di UTM, antaranya memperkenalkan Tabung Endowmen.
“UTM satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai tabung endowmen dan apa yang penting bukanlah jumlah wang yang berjaya dikumpul sebaliknya budaya menyumbang yang cuba kita semai dalam diri warga kampus.
“Selain digunakan untuk tujuan penyelidikan dan projek khas, dana yang dikumpul melalui tabung endowmen ini digunakan bagi menyediakan biasiswa berjumlah RM12,000.00 setahun kepada pelajar cemerlang,” katanya semasa menyampaikan ucapan terakhir sebagai Naib Canselor di Dewan Bankuet.
Di bawah kepimpinan Dr Zaini, UTM telah mula dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau berjaya memacu UTM menjadikan UTM antara 10 universiti yang mempunyai bilangan penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tertinggi di dunia, selain memiliki mahasiswa antarabangsa paling ramai berbanding universiti lain di Malaysia.
Dr Zaini berkata, segala kejayaan yang dikecapi di UTM bukanlah usaha beliau semata-mata tetapi merupakan kerjasama dan usaha gigih semua pihak yang bertungkus lumus memastikan UTM terus maju dan bergerak ke hadapan.
Di akhir majlis berkenaan beliau menyerahkan nota serah tugas dan pelan tranformasi yang telah disediakan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim yang akan memangku tugas bekenaan sehingga Naib Canselor baru dilantik.
Bagi mengenang jasa Dr Zaini sebagai pemimpin yang telah membawa pembaharuan kepada UTM, sebuah sajak berjudul “Memoir Seorang Pujangga” karya Pengarah Penerbit UTM, Dr Kasim Tukiman telah dideklamasikan oleh En Mohd Jais Mohd Jamil.
Memoir Seorang Pujangga
Tanggal 31 Mei 2013
Ketik amendengar berita itu
Pada petang Jumaat penuh syahdu
Hujan menerjah dinding jendela
Aku tunduk mengingatimu.
Aku tahu sedu di Ujung Tanah ini
Suaramu bicara di ruangs inggahsana
Tegak tanjak menyongsong angin
Keris Ganja Seiras Melela.
Tiada siapa akan lupa, tanyalah!
Anak kandung UTM semakin dewasa
Gemparnya! Namamu terpahat diPutrajaya
Namamu harum di bumi Nusajaya.
Meski kita berlainan bicara
Dalam kenangan namamu diabadi
Budimu tetap mengharum
Jasa baktimu hidup selama.
Jika tiada bulan purnama
Kau masih tetap bercahaya
Dari sinar mata dan bening wajah
Menyuluhi lmu seluruh santri.
Hari ini manis belajar dari buku
Dan suara mesra dari mahaguru
Bersedialah untuk esok
Yang menunggu kedatanganmu
Untuk menabur khidmat kepada watan
Bahagia rasa kemuliaan darjat.
Tapi apa pun arus gelombangnya
Berdirilah di bawah panji keberanian
Di bumi kebenaran dan kemanusiaan
Laksana permata mengangkasa peradaban bangsa
Maha wangi istana ilmu ini
Mengisi ombak laut Teluk Danga
Daulat seorang Canselor
Keramat seorang wali
Warak seorang ulama
Budiman seorang ilmuwan
Semoga dikau dalam rahmat dan lindungan Illahi
Amin YaRabbal Alamin.