Department: Office of Corporate Affairs

Adab dan Ilmu Berpisah Tiada, Adab Dijaga Ilmu Diteroka

DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencetuskan idea bagi penganjuran satu program wacana ilmu yang julung kali diadakan iaitu Forum Intelektual Diraja UTM, bertempat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) dengan tajuknya “Membudayakan Ketinggian Adab Dalam Melestarikan Ketamadunan Ilmu”. Turut hadir dalam forum tersebut adalah Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail (Naib Canselor UTM), barisan Timbalan Naib Canselor UTM, Dekan-Dekan Fakulti, dan pegawai-pegawai kanan UTM yang lain. Forum yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Jimaain Bin Safar selaku moderator, dibarisi oleh ahli panel yang tidak asing lagi, iaitu Prof. Dr. Arieff Salleh Bin Rosman dan Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Bin Shaikh Mohd Salleh. Forum ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 150 orang, rata-rata terdiri daripada staf akademik, staf profesional dan sokongan UTM.