📝 Ringkasan
Muhammad Luqman Murshid Mohd Nor, graduan Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor UTM sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70. Beliau telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, kepimpinan dan khidmat masyarakat. Beliau telah meraih Anugerah Dekan setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 dan telah menghasilkan lima artikel akademik sepanjang pengajian prasiswazah.
JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Ilmu bukan sekadar bekalan untuk mencapai kejayaan diri, malah menjadi asas kepada usaha menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Berpegang pada prinsip itu, Muhammad Luqman Murshid Mohd Nor, graduan Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membuktikan bahawa kecemerlangan mahasiswa turut dinilai melalui keupayaan memimpin, menghasilkan inovasi, menyumbang kepada masyarakat dan membawa perubahan positif.
Atas pencapaian menyeluruh sepanjang pengajiannya, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor UTM sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam bidang akademik, penyelidikan, kepimpinan dan khidmat masyarakat.
Dalam bidang akademik, Murshid mengekalkan prestasi cemerlang apabila memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80. Pencapaian itu mencerminkan komitmen dan kesungguhannya dalam menguasai ilmu serta membangunkan kompetensi selaras dengan aspirasi Atribut Kejayaan Graduan UTM.

Bagaimanapun, bagi Murshid, kecemerlangan akademik perlu disertai keberanian untuk mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar, khususnya menerusi penyelidikan, penyertaan dalam pertandingan dan perkongsian pengetahuan.
Komitmen tersebut terserlah apabila beliau dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik dalam International Social Sciences Seminar and Global Engagement 2025 bersama Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Indonesia. Beliau turut meraih gelaran Johan dalam Pitching Competition (Compensation and Benefits) sempena The 2nd International Human Resource Development Exhibition (iHRDeX) 2025. Selain itu, hasil penyelidikannya turut dibentangkan dalam The 9th International Postgraduate Research Conference (POGRES 2026) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Seiring dengan perkembangan teknologi digital, Murshid turut memperlihatkan keupayaan menggabungkan pengetahuan dalam bidang pembangunan sumber manusia dengan aplikasi teknologi. Beliau mengetuai pasukan dalam Mobile App Development Competition: Training Need Analysis anjuran OPTIMUM Training Academy dan berjaya meraih gelaran Johan peringkat negeri.
Penyertaan tersebut memperlihatkan keupayaan beliau menterjemahkan pengetahuan dalam bidang sumber manusia kepada penyelesaian digital yang praktikal, khususnya dalam mengenal pasti keperluan latihan organisasi.

Keupayaan dalam bidang penyelidikan turut menjadi antara pencapaian penting Murshid apabila berjaya menghasilkan lima artikel akademik sepanjang pengajian prasiswazah. Penglibatan beliau dalam penerbitan ilmiah bermula pada 2024 sebagai penulis utama artikel bertajuk Exploring the Effect of Occupational Dermatitis at the Workplace: A Literature Review yang diterbitkan dalam Journal of Science and Management Research.
Minat terhadap penyelidikan diteruskan sehingga 2026 apabila beliau berjaya menerbitkan empat lagi artikel dalam jurnal yang tersenarai dalam Excellence in Research for Australia (ERA). Pencapaian itu memperlihatkan potensi mahasiswa prasiswazah untuk turut menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan melalui penyelidikan dan penerbitan akademik.
Selain memberikan tumpuan kepada akademik dan penyelidikan, Murshid turut aktif dalam organisasi pelajar bagi membangunkan kemahiran kepimpinan serta pengurusan. Beliau pernah memegang beberapa jawatan, antaranya Exco Teknikal dan Logistik Kelab Kaunseling dan Kerjaya bagi sesi 2022/2023, Exco Kebajikan dan Kerohanian Sekretariat Rukun Negara bagi sesi 2023/2024 serta Timbalan Setiausaha Agung Kelab Pemadam bagi sesi 2023/2024.
Penglibatan tersebut memberinya pengalaman dalam aspek komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan organisasi. Pada masa sama, sumbangan beliau turut menyokong aktiviti Kelab Pemadam UTM yang mendapat pengiktirafan sebagai antara kelab dan persatuan terbaik dalam Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa UTM.
Kepercayaan terhadap keupayaan kepimpinannya turut terserlah menerusi pelantikan dalam pelbagai program di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya termasuklah sebagai Ketua Bahagian Jaringan Industri iHRDeX 2025, Pengarah Program Webinar KICK Siri 1 peringkat kebangsaan dan Timbalan Pengarah Program Gamelan Fusion: Exploring Traditional Sounds peringkat intervarsiti.
Beliau turut terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa program Trash to Cash sempena Ekspo Aquagro Rukun Tetangga peringkat negeri pada 2024, Floor Manager bagi Final Year Project International Seminar 2025 serta anggota Unit Penerbitan dan Publisiti Program Sayembara Bahasa Melayu 2024 peringkat kebangsaan.
Sumbangan dan penglibatan Murshid turut melangkaui lingkungan universiti apabila beliau diberikan kepercayaan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, untuk menggalas tanggungjawab sebagai Exco Penyelidikan Iskandar Malaysia Youth Sustainability Network bagi sesi 2025/2026.
Menerusi peranan tersebut, beliau berpeluang menyumbang kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta usaha pembangunan rendah karbon di Iskandar Malaysia.
Selain itu, beliau turut mewakili Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM dalam penglibatan berkaitan ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA) pada 2023. Beliau juga dilantik sebagai Duta Perpaduan Johor oleh Menteri Besar Johor, sekali gus mencerminkan penglibatan generasi muda dalam menyokong usaha memupuk perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Bagi Murshid, penganugerahan Anugerah Canselor UTM bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian individu, sebaliknya penghargaan terhadap usaha, komitmen dan pengalaman yang membentuk dirinya sepanjang menuntut ilmu di UTM.
Beliau melihat kejayaan tersebut sebagai dorongan untuk terus meneroka peluang dalam bidang penyelidikan, memperluas kerjasama dengan industri serta menyumbang kepada pembangunan sumber manusia yang mampan dan berdaya saing.
Beliau turut berharap agar pengalaman dan pencapaian sepanjang pengajian dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk memanfaatkan peluang yang tersedia di universiti, berani meneroka potensi diri dan melihat kecemerlangan sebagai sesuatu yang merangkumi lebih daripada pencapaian akademik semata-mata.
Kejayaan Murshid mencerminkan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan holistik, kompeten dan prihatin terhadap masyarakat, selaras dengan falsafah universiti, “Kerana Tuhan, Untuk Manusia.”