📝 Ringkasan
Dr. Rafidah Mazlan, seorang graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mencapai kejayaan dalam menamatkan pengajian PhD dalam tempoh dua tahun setengah. Beliau telah menerima Anugerah Canselor dan menyampaikan ucapan bagi pihak graduan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70. Penyelidikan PhD Dr. Rafidah memberi tumpuan kepada fenomena ketidakselesaan manusia akibat gegaran kereta api, dan beliau telah menghasilkan empat penerbitan dalam jurnal antarabangsa. Beliau juga telah menerima pengiktirafan Anugerah Kertas Kerja Terbaik dan Anugerah Pembentang Terbaik dalam persidangan akademik.
JOHOR BAHRU, 14 November 2026 – Kejayaan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh dua tahun setengah bukan sekadar pencapaian akademik buat Dr. Rafidah Mazlan, malah mencerminkan ketekunan beliau mengharungi pelbagai cabaran sepanjang menjalankan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan rel di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Lebih bermakna, pencapaian itu turut melayakkan beliau menerima Anugerah Canselor dan diberi penghormatan menyampaikan ucapan bagi pihak graduan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 pada tahun 2026.

Dr. Rafidah, yang lebih mesra disapa Fida, menyempurnakan amanah tersebut dalam dua majlis berasingan, termasuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris di Horizon Hills serta ucapan utama di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, selaku Canselor UTM, dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM.
Di sebalik kejayaan yang diraikan pada hari konvokesyen itu, perjalanan akademiknya turut diwarnai cabaran penyelidikan di lapangan, tuntutan penulisan ilmiah dan tanggungjawab keluarga. Namun, keazaman untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang disasarkan menjadi pendorong beliau untuk terus berusaha sehingga berjaya.

Penyelidikan impak gegaran kereta api
Penyelidikan PhD Dr. Rafidah memberi tumpuan kepada fenomena ketidakselesaan manusia akibat gegaran kereta api (human annoyance toward railway vibration), khususnya dalam persekitaran bandar di Lembah Klang.
Kajian itu menilai dan membandingkan tiga rangkaian perkhidmatan kereta api utama, iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), bagi memahami tahap ketidakselesaan yang dialami penduduk yang tinggal berhampiran jajaran rel.
Mengulas dapatan kajiannya, beliau menjelaskan bahawa perbezaan antara rangkaian perkhidmatan kereta api berkenaan merupakan antara aspek yang diteliti bagi memahami kesan gegaran terhadap masyarakat setempat.
“Melalui kajian ini, kita dapat membantu agensi-agensi kereta api mengenal pasti perkhidmatan yang lebih memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Dapatan penyelidikan tersebut berpotensi menyumbang kepada perancangan langkah mitigasi gegaran, selain membantu agensi pengangkutan dan pihak berkaitan menilai keperluan penyelenggaraan serta penambahbaikan infrastruktur rel. Usaha itu penting bagi mengambil kira kesejahteraan masyarakat yang tinggal berhampiran laluan kereta api.

Kesungguhan Dr. Rafidah sepanjang tempoh pengajian turut diterjemahkan melalui pencapaian dalam bidang penerbitan, inovasi dan persidangan akademik.
Di bawah bimbingan penyelianya, Ts. Dr. Mohd Khairul Afzan Mohd Lazi dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, beliau berjaya menghasilkan empat penerbitan dalam jurnal antarabangsa, terdiri daripada satu penerbitan berstatus Q1, dua berstatus Q3 dan satu lagi diindeks dalam Web of Science (WoS).
Selain itu, beliau turut menerima pengiktirafan Anugerah Kertas Kerja Terbaik (Best Paper Award) dan Anugerah Pembentang Terbaik (Best Presenter Award) dalam persidangan akademik, selain memperoleh dua pingat emas menerusi penyertaan dalam pertandingan inovasi berasaskan penyelidikan kejuruteraan rel.
Penyelidikan berkenaan juga menghasilkan satu pendaftaran hak cipta bagi instrumen atau bahan kajian yang dibangunkan. Sepanjang perjalanan pengajian tersebut, Dr. Rafidah turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Kejuruteraan Awam UTM atas segala sokongan, bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan, khususnya sepanjang proses penyelidikan dan penulisan tesis.
Dalam perkembangan kerjaya akademiknya, beliau turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai Penolong Pensyarah di UTMSPACE sebelum menyempurnakan pembentangan viva voce dan memperoleh kelulusan Senat.
Pencapaian tersebut memperlihatkan bahawa perjalanan pengajian PhD beliau bukan sahaja tertumpu pada penyempurnaan tesis, malah turut melibatkan usaha menghasilkan penerbitan dan inovasi yang berpotensi menyumbang kepada bidang kejuruteraan rel.

Doa dan pengorbanan keluarga menjadi kekuatan
Di sebalik pencapaian akademik tersebut, Dr. Rafidah meletakkan doa dan pengorbanan ibu bapanya sebagai antara sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Dalam ucapan sebagai wakil graduan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bapanya, Mazlan Mohamed Yusuf, seorang peniaga kecil, dan ibunya, Nor Azwah Abu Samah, seorang suri rumah, yang sentiasa memberikan sokongan sejak beliau dan adik-beradiknya masih kecil.
“Saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang serba mewah, namun Allah SWT mengurniakan sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu kasih sayang, pengorbanan dan doa kedua-dua ibu bapa. Masih segar dalam ingatan, setiap pagi ketika menghantar kami ke sekolah, perjalanan kami sentiasa diiringi doa dan zikir ayah,” katanya dalam ucapan tersebut.
Beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada ibunya yang sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan hidupnya, meskipun pengorbanan itu tidak semestinya dapat dilihat melalui pengiktirafan atau pencapaian rasmi.
Sokongan suaminya, Ts. Dr. Muhammad Asyraf Muhammad Rizal, yang turut berkecimpung dalam bidang akademik, juga menjadi pendorong penting sepanjang beliau menjalani pengajian. Kehadiran anak mereka serta bantuan ibu bapa mentua dan ahli keluarga dalam menguruskan tanggungjawab keluarga turut memberikan ruang kepada beliau untuk meneruskan penyelidikan.
Mengenangkan sokongan suaminya, Dr. Rafidah berkata, dorongan yang diberikan melalui contoh dan kesungguhan bekerja banyak membantunya untuk terus berusaha, khususnya ketika berhadapan dengan keletihan sepanjang tempoh pengajian.
“Dialah antara yang membakar semangat saya untuk mencapai kejayaan ini. Apabila melihat dia bekerja, saya juga rasa terdorong untuk bekerja. Ketika saya berehat, dia masih menyiapkan kerja. Malah, apabila saya tidur pada waktu malam, dia masih menghadap komputer ribanya,” katanya.
Satu ungkapan suaminya yang sentiasa diingati dan dijadikan pegangan dalam menghadapi cabaran ialah, “Hidup ini bukan angan-angan, tetapi merupakan sebuah perjuangan.”

Ilmu sebagai amanah untuk masyarakat
Mengakhiri ucapan sebagai wakil graduan, Dr. Rafidah turut menitipkan pesanan kepada rakan graduan dan generasi muda agar menjadikan kejayaan akademik sebagai permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar terhadap masyarakat.
Beliau mengingatkan bahawa nilai sesuatu ilmu bukan hanya diukur melalui tahap kelayakan atau gelaran yang diperoleh, tetapi juga melalui manfaat yang dapat disumbangkan kepada orang lain.
“Jadikanlah kejayaan ini bukan sebagai penghujung perjalanan, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kerana nilai sebenar ilmu bukan terletak pada tingginya kelayakan, tetapi pada besarnya manfaat yang mampu kita berikan,” pesannya.
Selaras dengan motto UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, perjalanan Dr. Rafidah memperlihatkan bahawa kejayaan akademik terbina melalui gabungan kesungguhan, sokongan keluarga dan keazaman untuk terus menyumbang melalui ilmu.
Bagi beliau, pengiktirafan di pentas konvokesyen bukanlah noktah kepada perjalanan tersebut, sebaliknya menjadi dorongan untuk membawa hasil penyelidikan dan pengalaman yang diperoleh demi manfaat masyarakat serta pembangunan bidang kejuruteraan rel negara.