DR ROSMIZANA

Hampir 15 tahun mengejar PhD, Dr. Rosmizana tidak pernah kenal erti putus asa

SDGSDG4SDG5SDG8

📝 Ringkasan

Dr. Rosmizana Yahya menamatkan pengajian PhD selepas 15 tahun, melalui perjalanan yang menuntutnya membahagikan masa antara penyelidikan, kerjaya pendidikan, penjagaan suami berstatus OKU dan tanggungjawab membesarkan tiga anak. Beliau menghadapi cabaran seperti kehilangan ibu dan suami yang OKU, tetapi terus meneruskan impian dengan keyakinan dan ketabahan. Pengalaman sebagai pendidik juga membantu beliau memahami kehidupan murid dan memanusiakan diri sebagai pendidik.

JOHOR BAHRU, 17 November 2026 – Hampir 15 tahun diperlukan Dr. Rosmizana Yahya untuk menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD), melalui perjalanan yang menuntutnya membahagikan masa antara penyelidikan, kerjaya pendidikan, penjagaan suami berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tanggungjawab membesarkan tiga anak.

Pada usia 54 tahun, pengijazahannya pada 2026 membawa makna yang jauh lebih besar daripada kejayaan akademik. Di sebalik pencapaian itu tersimpan pengalaman kehilangan insan tersayang, pengorbanan keluarga dan keteguhan hati untuk meneruskan impian meskipun langkahnya sering diperlahankan oleh tuntutan kehidupan.

Mendaftar sebagai calon PhD secara separuh masa pada 2011 tanpa bantuan biasiswa, Rosmizana perlu menguruskan pembiayaan pengajian sendiri sambil meneruskan kerjaya sebagai pendidik dan menjaga kebajikan keluarga.

“Saya mulakan perjalanan ini dengan satu keyakinan, jika saya tidak mampu sampai dengan cepat, saya akan terus melangkah walaupun perlahan,” katanya.

Ketabahan itu diuji apabila ibunya, Allahyarhamah Hajah Kalsom Haji Sahat, meninggal dunia pada 2018. Kehilangan tersebut menuntutnya belajar menerima kesedihan sambil mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan pengajian.

Dalam tempoh yang sama, tanggungjawab menjaga suaminya, Allahyarham Zainol Hisam Ahmad, yang berstatus OKU selama hampir 10 tahun memerlukan perhatian dan pengorbanan besar.

Keutamaan terhadap suami serta tiga anak, Ahmad Daniel, Natasha Hani dan Puteri Qistina Arisya, menyebabkan beliau perlu mengambil cuti daripada pengajian dan memperlahankan penyelidikan.

Namun, hasrat untuk menamatkan PhD terus diteruskan.

“PhD ini bukan bukti bahawa saya tidak pernah jatuh tetapi PhD ini adalah bukti bahawa walaupun saya pernah jatuh, terhenti dan diuji berkali-kali, saya masih memilih untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Sepanjang 33 tahun dalam dunia pendidikan, Rosmizana turut menemukan kekuatan melalui pengalaman mendidik murid daripada pelbagai latar belakang, termasuk ketika berkhidmat di SMK Persisiran Perdana, Tangkak, dan SMK Raja Muda, Muar.

Dua kisah murid kekal dekat di hatinya dan memperdalam pemahamannya tentang tanggungjawab seorang guru.

Seorang murid berbangsa Cina yang dibesarkan oleh bapa tunggal selepas perceraian ibu bapanya memanggil beliau “Ibu Miza”. Panggilan itu membawa makna tersendiri, mencerminkan hubungan kepercayaan dan kasih sayang yang terbina antara seorang pendidik dengan anak didiknya.

Seorang lagi murid, Aiman, yang ketika itu berada di Tingkatan Lima, sering tertidur di dalam kelas dan tidak menyiapkan tugasan.

Penjelasan ibu murid berkenaan kemudian mengubah pemahaman Rosmizana terhadap keadaan tersebut. Aiman bekerja membasuh pinggan di kedai makan setiap hari untuk membantu menyediakan wang belanja adik-adiknya.

Di sebalik keletihan di bilik darjah, terdapat tanggungjawab keluarga yang sedang dipikul seorang remaja.

Kedua-dua pengalaman itu menyedarkan Rosmizana tentang pentingnya memahami kehidupan murid sebelum membuat penilaian terhadap tingkah laku dan pencapaian mereka. Baginya, pengalaman tersebut turut memanusiakan dirinya sebagai pendidik.

Semangat untuk terus belajar kemudian membawanya mengikuti latihan intensif selama dua tahun menerusi Program Duta Guru Yayasan PETRONAS. Beliau terpilih sebagai Duta Guru pada 2022, memperkukuh keupayaannya dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta inovasi pedagogi.

Pada 2023, beliau melangkah ke fasa baharu sebagai pensyarah akademik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, membawa pengalaman persekolahan ke medan latihan bakal guru.

Pegangannya ialah pendidik perlu terus berkembang, memperbaharui pengetahuan dan menyesuaikan amalan dengan keperluan generasi yang dididik.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya melalui sesi viva pada 2025 untuk tesis bertajuk “Pementoran dan Amalan Refleksi dalam Kalangan Guru Baharu”, sebelum dianugerahkan ijazah PhD dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-70.

Dalam menjayakan penyelidikan tersebut, beliau menghargai bimbingan Penyelia Utama, Profesor Dr. Yusof Boon, dan Penyelia Bersama, Dr. Rosmizana Hassan, serta sokongan ilmuwan yang menjadi sumber inspirasi penyelidikannya, termasuk Profesor Dr. Awang Idris dari Universiti Malaya dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sobhi Ishak dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Usaha mengembangkan ilmu turut diterjemahkan melalui pembangunan sistem sokongan dan modul inovasi BITARA4T, iaitu Bimbingan Interaktif dan Transformasi Amalan Refleksi Aras Tinggi 4 Tahap, untuk warga pendidik di IPG Kampus Tun Hussein Onn.

Dengan baki enam tahun perkhidmatan, Rosmizana berhasrat mewariskan pengalaman serta kepakaran dalam amalan refleksi dan pembelajaran berasaskan projek kepada generasi guru baharu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada arwah suami, Allahyarham Zainol Hisam, arwah ibu bapanya, Hajah Kalsom dan Haji Yahya, serta ketiga-tiga anak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang tersebut.

Penghargaan sama ditujukan kepada para penyelia, pensyarah pembimbing serta keluarga besar Duta Guru Yayasan PETRONAS dan Teach For Malaysia.

“PhD bukan noktah perjalanan saya, tetapi permulaan baharu untuk terus menyumbang ilmu, pengalaman dan inspirasi kepada masyarakat,” katanya.

Selepas hampir 15 tahun, Rosmizana menamatkan pengajian dengan membawa pengalaman yang mahu dikongsikan kepada pendidik lain: bahawa langkah yang perlahan tetap mampu membawa seseorang mencapai impian, selagi ada kesungguhan untuk meneruskannya.

Dr. Rosmizana bersama mento-mentee kohort PPISMP BM2.

 

Graduan bersama ahli keluarga yang menjadi saksi perjalanan hidup Dr. Rosmizana.

Explore More

UTM Open Day