UTM perkukuh kompetensi pengajar kursus kokurikulum

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Training of Trainers (TOT) bagi Pengajar Kursus Kokurikulum (KO-Q) Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027. Program ini bertujuan memperkukuh kompetensi dan profesionalisme pengajar dalam aspek pedagogi, pembangunan kursus, pentaksiran dan pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman. 44 pengajar kokurikulum telah terlibat dalam program ini, termasuk staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional (PPP) UTM serta pengajar luar. Program ini juga melibatkan aktiviti latihan berasaskan kem yang menggabungkan pengisian ilmu, aktiviti fizikal dan pengalaman pembelajaran berkumpulan.

AYER KEROH, 1 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kompetensi dan profesionalisme pengajar kursus kokurikulum menerusi penganjuran Program Training of Trainers (TOT) bagi Pengajar Kursus Kokurikulum (KO-Q) Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November 2026 di Usima Forest Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Program anjuran Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) itu menghimpunkan 44 pengajar kokurikulum, terdiri daripada 40 pengajar UTM Johor Bahru dan empat pengajar UTM Kuala Lumpur. Penganjurannya bertujuan memperkukuh kompetensi dan profesionalisme pengajar, khususnya dalam aspek pedagogi, pembangunan kursus, pentaksiran serta pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Pengajar yang terlibat merupakan tenaga pengajar kursus kokurikulum bagi sesi akademik berkenaan, terdiri daripada staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional (PPP) UTM serta pengajar luar. Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran mereka menyumbang kepada pelaksanaan kursus kokurikulum yang lebih menyeluruh.

Pengajar luar yang terlibat turut mempunyai kemahiran dan pengalaman bersesuaian dengan bidang kursus masing-masing bagi menyokong penyampaian pembelajaran berdasarkan keperluan dan hasil pembelajaran yang ditetapkan.

Keperluan memperkukuh kualiti pengajaran ini turut berkait rapat dengan skala pelaksanaan kursus kokurikulum di UTM. Sebanyak 68 kursus kokurikulum ditawarkan pada Semester I Sesi Akademik 2026/2027, melibatkan 2,889 mahasiswa. Justeru, kesiapsiagaan pengajar dalam merancang dan melaksanakan pengajaran yang berkesan penting bagi memastikan kursus kokurikulum terus menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik.

Menariknya, TOT kali ini mengadaptasi konsep latihan berasaskan kem yang menggabungkan pengisian ilmu, aktiviti fizikal dan pengalaman pembelajaran berkumpulan. Berbeza daripada bengkel konvensional yang lazimnya berfokus pada perkongsian ilmu dalam ruang pembelajaran formal, pendekatan ini memberi peluang kepada pengajar merasai sendiri latihan yang menekankan disiplin, keberanian, ketahanan mental, kepimpinan dan semangat berpasukan.

Pengisian program dimulakan dengan aktiviti pembentukan keserasian peserta serta perkongsian ilmu berkaitan pedagogi dan pengurusan kursus. Sesi Ice Breaking yang dikendalikan oleh Dr. Nor Ain Husein menjadi platform awal untuk menggalakkan interaksi dan membina keserasian dalam kalangan peserta.

Peserta membina model menggunakan LEGO dalam sesi Ice Breaking

Aspek pemantapan akademik turut diberikan penekanan menerusi perkongsian kaedah taksonomi pembelajaran oleh Dr. Fairuz Diyana Ismail. Peserta juga didedahkan kepada pembangunan Course Information (CI) dan Outcome-Based Education (OBE) menerusi perkongsian Prof. Ir. Dr. Mazura Jusoh, selain struktur pengurusan akademik dan kewangan universiti yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng.

Elemen latihan berasaskan kem pula diterapkan melalui aktiviti Fun & Fit Recreation yang merangkumi flying fox dan abseiling. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta menguji keberanian serta mencabar kemampuan diri dalam persekitaran yang berbeza daripada rutin kerja harian.

Bagi sesetengah peserta, pengalaman mencuba aktiviti berkenaan buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dorongan dan sokongan rakan-rakan membantu mereka mengatasi rasa takut serta menyahut cabaran yang diberikan. Pengalaman tersebut turut memperlihatkan kepentingan keyakinan diri, sokongan dan kerjasama dalam menghadapi situasi di luar kebiasaan.

Peserta selepas menyertai aktiviti Fun & Fit Recreation
Peserta mencabar keberanian dan ketahanan diri menerusi aktiviti abseiling

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman turut diperkaya melalui aktiviti Mini Experiential Learning yang dikendalikan oleh Dr. Lukman Hakim Ismail. Aktiviti yang diperkenalkan merangkumi pengendalian dron, seni fotokreatif, tinju dan seni persembahan vokal.

Pelaksanaan aktiviti tersebut turut mendapat sokongan Afiq Syahmi Adanan bagi seni fotokreatif, Muhammad Firdaus Norhadi bagi aktiviti tinju serta Ardiyanto Arda@Ardah bagi seni persembahan vokal. Kepelbagaian aktiviti ini memberikan pendedahan kepada pengajar tentang penerapan pembelajaran secara praktikal dan interaktif dalam pelaksanaan kursus kokurikulum.

Dr. Lukman Hakim Ismail mengendalikan simulasi pengendalian dron
Ardiyanto Arda@Ardah mengendalikan sesi seni persembahan vokal

Selain pengisian akademik dan aktiviti praktikal, program itu turut merangkumi sesi bersama Dekan UGS, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat, pada malam 31 Oktober 2026. Dalam sesi berkenaan, beliau menekankan kepentingan integriti, profesionalisme dan etika dalam kalangan pengajar ketika melaksanakan amanah sebagai pendidik.

“Pengajar bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu dan membimbing pelajar, tetapi juga perlu menjadi contoh teladan yang baik dari segi tingkah laku, disiplin, keadilan dalam pentaksiran serta hubungan profesional dengan pelajar,” ujar beliau.

Program selama dua hari itu melabuhkan tirainya pada 1 November 2026 menerusi sesi taklimat penutup yang disampaikan oleh Dr. Rasheed Mohamed Kutty.

Secara keseluruhannya, penganjuran TOT mencerminkan usaha UGS dalam memperkukuh pembangunan profesionalisme pengajar dan meningkatkan kualiti pelaksanaan kursus kokurikulum secara berterusan. Gabungan pengisian akademik dengan pengalaman pembelajaran praktikal diharap dapat memperluas perspektif pengajar dalam menerapkan pendekatan pengajaran yang lebih dinamik, kreatif dan berkesan.

Usaha ini turut menyokong peranan kursus kokurikulum sebagai platform pembangunan bakat, kepimpinan, kreativiti dan kemahiran insaniah mahasiswa, sekali gus membantu UTM melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day