📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kekal sebagai salah satu universiti terbaik di Asia, menduduki kedudukan ke-25 dalam penarafan QS World University Rankings: Asia 2027. UTM mencatatkan peningkatan prestasi dalam sembilan daripada 11 indikator, termasuk reputasi akademik, penyelidikan, dan kualiti tenaga akademik. Universiti ini juga mencapai skor penuh 100 bagi tiga indikator, termasuk pelajar antarabangsa dan program pertukaran pelajar.
JOHOR BAHRU, 3 Nov. ─ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus berada pada kedudukan ke-25 dalam penarafan QS World University Rankings: Asia 2027, sekali gus kekal dalam kelompok 25 universiti terbaik di rantau ini.
Pencapaian itu turut menyaksikan UTM meraih skor penuh 100 bagi tiga indikator penilaian membabitkan pelajar antarabangsa serta program pertukaran pelajar, selain meningkatkan skor keseluruhan kepada 92.4.
Lebih membanggakan, universiti berkenaan mencatatkan peningkatan prestasi dalam sembilan daripada 11 indikator yang dinilai, merangkumi aspek reputasi akademik, penyelidikan, kualiti tenaga akademik dan pengantarabangsaan.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan UTM untuk terus bersaing dalam landskap pendidikan tinggi Asia yang semakin kompetitif.
“Asia merupakan antara rantau pendidikan tinggi yang paling kukuh dan kompetitif di dunia. Keupayaan UTM mengekalkan kedudukan dalam kelompok 25 universiti terbaik Asia, di samping meningkatkan prestasi dalam sembilan daripada 11 indikator, membuktikan momentum kemajuan universiti yang berterusan.
“Sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi, matlamat kami adalah untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian lestari yang memberi manfaat kepada industri dan kesejahteraan manusia. Pencapaian ini merupakan hasil komitmen seluruh warga UTM, termasuk staf, mahasiswa, alumni dan rakan strategik yang sentiasa memberikan sokongan dan dedikasi,” katanya.
Selain mencatatkan skor penuh dalam tiga indikator, UTM turut memperoleh skor tinggi bagi Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (99.8), Staf Berkelulusan PhD (99.1), Reputasi Akademik (98.3) dan Reputasi Majikan (97.1).
Skor Reputasi Akademik meningkat daripada 97.4 kepada 98.3, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap UTM dalam kalangan ahli akademik antarabangsa.
Sementara itu, skor Reputasi Majikan sebanyak 97.1 menunjukkan keyakinan majikan terhadap kualiti graduan UTM, dengan kedua-dua indikator berkenaan menyumbang separuh daripada keseluruhan pemberat penilaian QS Asia.
Dalam aspek penyelidikan, UTM turut menunjukkan peningkatan apabila skor penerbitan ilmiah bagi setiap staf akademik meningkat daripada 69.9 kepada 75.6, manakala skor sitasi atau rujukan terhadap penerbitan penyelidikan meningkat daripada 60.3 kepada 64.2.
Pencapaian skor 99.8 bagi Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa pula memperlihatkan kekuatan kerjasama penyelidikan UTM dengan institusi dan rakan strategik di seluruh dunia.
Dari segi kualiti tenaga akademik, skor Staf Berkelulusan PhD meningkat daripada 95.7 kepada 99.1, manakala skor Nisbah Staf Akademik kepada Pelajar turut meningkat daripada 83.5 kepada 85.7.
UTM turut merekodkan peningkatan tertinggi bagi indikator Staf Akademik Antarabangsa apabila skornya melonjak daripada 37.0 kepada 61.8, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh pengantarabangsaan universiti.
Pencapaian dalam tiga indikator yang memperoleh skor penuh pula mencerminkan kekuatan jaringan mobiliti pelajar UTM, sekali gus membuka peluang kepada mahasiswa memperoleh pengalaman pembelajaran di institusi luar negara.
Pada masa sama, UTM terus memperkukuh penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan tenaga hidrogen yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan teknologi, industri serta kesejahteraan masyarakat.
UTM akan terus memperkukuh pencapaiannya menerusi strategi UTM ASCEND 2030 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan.