📝 Ringkasan
UTM bakal menawarkan kursus profesional berkaitan kawalan komputer kuantum secara dalam talian melalui kerjasama strategik dengan QuantrolOx Finland Oy. Kursus teknikal itu akan memperkenalkan konsep asas fizik kuantum, kejuruteraan gelombang mikro, elektronik dan kriogenik. Kursus itu dibuka kepada pelajar bidang Fizik dan Kejuruteraan, serta orang awam secara dalam talian bagi memperluas akses kepada pembelajaran dalam bidang teknologi kuantum.
JOHOR BAHRU, 30 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited memperkukuh kesedaran dan pembangunan bakat dalam bidang teknologi kuantum sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan.
Sebagai langkah awal, Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM menawarkan kursus elektif pengkomputeran kuantum kepada pelajar baharu program Sarjana Muda Sains (Fizik) dengan Kepujian bagi sesi kemasukan tahun ini.
Selain itu, UTM menerusi Fakulti Sains dan Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) akan menawarkan kursus profesional berkaitan kawalan komputer kuantum melalui kerjasama strategik dengan QuantrolOx Finland Oy, syarikat teknologi terbitan (spin-out) daripada University of Oxford, United Kingdom.
Kursus teknikal itu akan memperkenalkan konsep asas fizik kuantum, kejuruteraan gelombang mikro, elektronik dan kriogenik. Selain pelajar bidang Fizik, kursus berkenaan turut dibuka kepada orang awam secara dalam talian bagi memperluas akses kepada pembelajaran dalam bidang teknologi kuantum.
Tahap kelayakan minimum yang disyorkan untuk mengikuti kursus itu adalah setara dengan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dalam bidang Fizik atau Kejuruteraan.
Kerjasama berkenaan turut mendapat sokongan RAQS Quantum, syarikat teknologi kuantum yang berpangkalan di Singapura dan memberi tumpuan kepada aplikasi industri, pengkomersialan teknologi serta pembangunan tenaga kerja.
Pertukaran surat hasrat (Letter of Intent, LoI) antara UTM dengan QuantrolOx Finland Oy berlangsung sempena Singapore Week of Innovation and Technology (SWITCH) 2026 pada 27 Oktober 2026. Acara itu disusuli perbincangan di UTM Johor Bahru pada 30 Oktober 2026 yang melibatkan Lasse Gerdt, Naib Presiden Jualan QuantrolOx, dan Raghunath Koduvayur, Ketua Pegawai Eksekutif RAQS Quantum.

Delegasi UTM diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar. Turut hadir Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Shafinaz Shahir; Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Dr. Izyan Hazwani Hashim; Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Dr. Yap Yung Szen; serta Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Dr. Mohd Kufaisal Mohd Sidik.

Dalam perbincangan tersebut, Prof. Dr. Mohd Shahrizal menekankan kepentingan pendedahan awal kepada teknologi kuantum, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, serta keperluan memperkenalkan asas fizik kuantum kepada pelajar prasiswazah bidang kejuruteraan.
“Tidak semua pelajar perlu menjadi pakar kuantum, namun mereka wajar mempunyai kefahaman asas mengenai teknologi ini dan potensi aplikasinya dalam kehidupan serta industri masa hadapan.
“UTM memainkan peranan mendekatkan teknologi baharu kepada pelajar melalui pendekatan yang mudah difahami dan relevan supaya mereka lebih bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi global,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Shafinaz Shahir menyifatkan kerjasama tersebut sebagai peluang untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan perkembangan teknologi dan keperluan sebenar industri.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan latihan kepakaran yang lebih dekat dengan perkembangan industri kuantum global. Melalui UTM CDex, kita berhasrat memperluas akses pembelajaran kepada pelajar, graduan dan tenaga profesional yang ingin meningkatkan kompetensi dalam bidang teknologi masa hadapan,” katanya.
Inisiatif itu turut berpotensi memperkukuh jaringan antarabangsa, pemindahan pengetahuan serta pembangunan kandungan latihan bersama industri, sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran relevan dalam bidang teknologi kuantum.
Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, kerjasama ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas peluang pembelajaran sepanjang hayat dan menyumbang kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan teknologi masa hadapan.