Majlis perasmian

MUQIM26 perkasa peranan mahasiswa sebagai nadi penggerak aktiviti masjid universiti

SDGSDG4SDG5SDG17

📝 Ringkasan

Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid Madani 2026 (MUQIM26) telah berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari 23 hingga 25 Oktober 2026. Program itu telah menghimpunkan 104 pemimpin mahasiswa masjid dan pusat Islam dari 23 universiti awam dan swasta. MUQIM26 bertujuan memperkukuh kepimpinan mahasiswa berteraskan masjid sebagai medan dakwah, pembinaan sahsiah dan khidmat kepada masyarakat. Peserta telah mengikuti pelbagai pengisian yang merangkumi perkongsian ilmu, kerohanian, kepimpinan, kesukarelawanan dan pembinaan jati diri mahasiswa.

PEKAN, 25 Okt. – Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid Madani 2026 (MUQIM26) menghimpunkan 104 pemimpin mahasiswa masjid dan pusat Islam daripada 23 universiti awam dan swasta bagi memperkukuh kepimpinan mahasiswa berteraskan masjid sebagai medan dakwah, pembinaan sahsiah dan khidmat kepada masyarakat.

Program berskala kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari dua malam dari 23 hingga 25 Oktober 2026 itu diadakan di Masjid Al-Jazari dan Akademi Adab, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, Pahang. Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru diberi amanah sebagai pengarah program berkenaan.

MUQIM26 mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai rakan kolaborasi strategik dalam usaha memperkukuh kepimpinan mahasiswa masjid di peringkat kebangsaan.

Program itu menghimpunkan pemimpin mahasiswa masjid dan pusat Islam daripada 23 universiti di bawah Majlis Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS). Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menghantar dua wakil mahasiswa untuk menyertai program berkenaan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Prof. Madya Ts. Dr. Rusllim Mohamed; Pengerusi MAHEIS, Zuhaimi Abdul Rahim; Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM merangkap Pengarah Program MUQIM26, Dr. Naemah Hamzah; serta Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham.

Majlis perasmian
Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias, merasmikan MUQIM26

Penganjuran MUQIM26 digerakkan oleh lima universiti, iaitu UTM, UMPSA, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang merangkumi perkongsian ilmu, kerohanian, kepimpinan, kesukarelawanan dan pembinaan jati diri mahasiswa. Pengisian tersebut dirangka bagi memperkukuh peranan mahasiswa dalam mengimarahkan masjid serta membentuk kepimpinan yang berintegriti dan prihatin terhadap masyarakat.

Pembentukan Jawatankuasa Kepimpinan Masjid IPT
Barisan perwakilan mahasiswa masjid institusi pengajian tinggi yang dilantik sempena MUQIM26

Selain pengisian di kampus, peserta turut dibawa ke dua masjid komuniti di sekitar Pekan, Pahang, bagi menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama ahli jawatankuasa dan jemaah masjid. Masjid yang terlibat ialah Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad dan Masjid Hajah Aisyah Mandak Pulau Serai. Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi dengan komuniti setempat menerusi pengisian ilmu dan khidmat bakti.

Mahasiswa menyertai aktiviti pengisian ilmu dan gotong-royong bersama masjid komuniti

Antara pengisian lain ialah slot Riadah Bermodul Aktiviti Rentas Halangan yang dikendalikan Akademi Adab UMPSA bagi membina jati diri dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Peserta menyertai aktiviti rentas halangan kendalian Akademi Adab UMPSA

Program turut menampilkan Forum Kepimpinan Mahasiswa yang membincangkan peranan dan cabaran kepimpinan mahasiswa masjid. Forum itu menampilkan Ketua Pusat Islam Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Aizudin Hakim Mohd Yusof, dan Pengarah Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abu Dardaa Mohamad, sebagai ahli panel.

Slot Forum Kepimpinan Mahasiswa menampilkan ahli panel Ketua Pusat Islam Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Aizudin Hakim Mohd Yusof (tengah), dan Pengarah Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abu Dardaa Mohamad (kiri)

Sebagai hasil perbincangan dan perkongsian sepanjang program, beberapa resolusi turut dicapai bagi memperkukuh peranan mahasiswa masjid di institusi pengajian tinggi.

Antara resolusi tersebut ialah merancang program berimpak untuk memperkasa aktiviti kerohanian serta memantapkan pembentukan adab dan sahsiah mahasiswa. Peserta turut bersetuju untuk menggerakkan pelan tindakan yang sistematik dan proaktif bagi mendepani serta menangani isu semasa mahasiswa di dalam dan di luar kampus secara berterusan.

Selain itu, pembentukan Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa Masjid yang melibatkan wakil daripada 23 universiti turut menjadi antara resolusi utama. Jawatankuasa itu diharapkan dapat mengaktifkan fungsi dan peranan mahasiswa dalam pengimarahan masjid universiti serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.

Explore More

UTM Open Day