📝 Ringkasan
51 peserta menyertai program SDG Quest 2026 di AEON Mall Tebrau City untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Mereka perlu menyelesaikan 17 stesen cabaran yang mewakili 17 matlamat SDG berbeza. Program ini membuka peluang kepada peserta mengenali amalan gaya hidup mampan dan mengaplikasikan pengetahuan berkaitan kelestarian dalam situasi harian.
JOHOR BAHRU, 11 Okt. – Seramai 51 peserta menyertai program SDG Quest 2026 anjuran AEON Mall Tebrau City dengan kerjasama Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS) dan Yayasan AFFIN bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Program yang berlangsung di AEON Mall Tebrau City itu melibatkan 17 kumpulan yang menyertai aktiviti eksplorasi dan permainan interaktif menerusi 17 stesen cabaran atau checkpoint yang ditempatkan di aras bawah, satu dan dua pusat beli-belah berkenaan.
Penyelaras program, Muhamad Hairulnizam Ishak, berkata setiap stesen mewakili matlamat SDG yang berbeza dan menyediakan tugasan untuk diselesaikan oleh setiap kumpulan.

Beliau berkata sukarelawan UTM dan AFFIN Bank yang bertugas di setiap stesen bertanggungjawab menilai pencapaian peserta berdasarkan kejayaan menyelesaikan tugasan. Markah yang diperoleh kemudiannya dicatatkan dalam pasport rasmi yang dibawa oleh ketua setiap kumpulan.
Menurutnya, keluasan AEON Mall Tebrau City serta jumlah pengunjung yang ramai pada hujung minggu turut memberikan cabaran fizikal kepada peserta yang perlu bergerak dari satu stesen ke stesen lain.
“Cabaran ini menjadi lebih ketara apabila peserta perlu bergerak dalam keadaan pusat beli-belah yang sesak dengan kehadiran pengunjung yang ramai pada hujung minggu,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa susunan aktiviti tersebut dirancang untuk memastikan mesej kelestarian dapat disampaikan melalui pengalaman pembelajaran yang praktikal dan interaktif.
“Aktiviti ini disusun supaya peserta dapat menghayati nilai yang terkandung dalam setiap matlamat SDG. Melalui pendekatan interaktif ini, peserta bukan sahaja berpeluang menilai kefahaman sendiri, malah digalakkan mengambil tindakan yang bersesuaian untuk memelihara alam sekitar dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.
Program itu turut dihadiri LAr. Dr. Zanariah Jasmani yang menjalankan fungsi Pengarah UTMCCS serta Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi. Dr. Zanariah turut menyempurnakan pelepasan peserta sebelum aktiviti bermula dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Selain meningkatkan kefahaman tentang SDG, aktiviti berasaskan eksplorasi itu memberi peluang kepada peserta mengenali amalan gaya hidup mampan dan mengaplikasikan pengetahuan berkaitan kelestarian dalam situasi harian.
Pendekatan didik hibur atau edutainment turut menyediakan ruang kepada peserta untuk mengembangkan kemahiran insaniah, termasuk komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Pada masa yang sama, program itu membuka peluang untuk mengeratkan hubungan antara komuniti, institusi akademik dan pihak industri.

Penganjuran SDG Quest 2026 mencerminkan usaha UTM memperluas pembudayaan amalan kelestarian melangkaui persekitaran kampus melalui kerjasama dengan pihak industri dan masyarakat. Inisiatif seumpama ini berpotensi membantu menjadikan Matlamat Pembangunan Lestari lebih dekat dengan kehidupan seharian serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha membina persekitaran yang lebih mampan.
