📝 Ringkasan
UTM melaksanakan program untuk memperkasa ekonomi komuniti luar bandar di Mukim Simpang Renggam, Johor, menerusi penternakan kelulut moden. Program ini melibatkan peserta dari Kampung Sahari dan Kampung Chokro dan menyediakan tiga siri bengkel pengurusan perniagaan. Program ini bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran penternakan kelulut dan pengetahuan pengurusan perniagaan untuk membantu mereka membangunkan perusahaan komuniti secara terancang dan mampan.
JOHOR BAHRU, 19 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha memperkasa ekonomi komuniti luar bandar melalui penternakan kelulut moden menerusi lawatan penanda aras ke tapak penternakan dan tiga siri bengkel pengurusan perniagaan yang melibatkan peserta Projek Bee Modular Box (BMB) dari Kampung Sahari dan Kampung Chokro, Mukim Simpang Renggam, Johor.
Program yang berlangsung di Melipark UTM-ANGKASA itu merupakan sebahagian daripada Projek Pemerkasaan Ekonomi Penduduk Luar Bandar Mukim Simpang Renggam melalui Penternakan Kelulut Moden Bee Modular Box (BMB), yang menerima sokongan Dana Geran Khas Hasanah berjumlah RM500,000.

Pelaksanaan projek diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM, melalui Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB), dengan sokongan kepakaran penyelidik universiti dalam aspek pembangunan kapasiti komuniti.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu penubuhan dan pengurusan koperasi, keusahawanan serta pembangunan produk hiliran. Pendekatan ini bertujuan melengkapkan peserta bukan sahaja dengan kemahiran penternakan kelulut, malah pengetahuan pengurusan perniagaan bagi membantu mereka membangunkan perusahaan komuniti secara lebih terancang dan mampan.

Dalam sesi perkongsian berkaitan penubuhan dan pengurusan koperasi, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Tuan Haji Sazali Abd Hamid, berkongsi pengetahuan mengenai peranan koperasi dalam menyatukan usaha ekonomi komuniti, memperkukuh tadbir urus, menyelaras aktiviti perniagaan dan mengurus hasil secara kolektif.
Pendedahan itu diharap dapat membantu peserta memahami kepentingan struktur organisasi dan pengurusan yang teratur sebagai asas kepada pembangunan aktiviti ekonomi komuniti.
Sementara itu, modul keusahawanan dan perniagaan disampaikan oleh Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), UTM, Dr. Mohd Khairuddin Ramliy. Sesi tersebut memberi penekanan kepada pembentukan pemikiran keusahawanan, perancangan perniagaan dan penerokaan peluang pasaran bagi membantu peserta mengembangkan perusahaan kelulut sebagai sumber pendapatan komuniti.

Selain pengurusan perniagaan, program turut memberi perhatian kepada pembangunan produk hiliran berasaskan madu kelulut. Melalui bengkel tersebut, peserta berpeluang meneroka penghasilan produk bernilai tambah, termasuk sabun, bagi memperluas pilihan produk dan meningkatkan potensi komersial hasil penternakan kelulut.
Usaha mempelbagaikan produk ini juga berpotensi membuka peluang pemasaran yang lebih luas, sekali gus membantu peserta meneroka sumber pendapatan tambahan melalui perusahaan berasaskan kelulut.


Selain mengikuti bengkel, peserta turut menyertai lawatan sekitar UTM dan Danga Park, Johor Bahru, sebagai sebahagian daripada pengisian program.
Secara keseluruhannya, program ini memperlihatkan pendekatan pemerkasaan komuniti yang menggabungkan kemahiran teknikal, keusahawanan dan pengurusan organisasi. Kerjasama antara CCIN UTM, UTSB, ANGKASA dan komuniti setempat diharap dapat membantu peserta dari Kampung Sahari dan Kampung Chokro membangunkan perusahaan kelulut yang lebih terancang, berdaya maju dan mampan, seterusnya menyokong peningkatan sosioekonomi penduduk luar bandar.