Inovasi sains sinaran perkukuh keselamatan sempadan dan kedaulatan negara

SDGSDG7SDG9SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

Teknologi sinaran yang digunakan dalam pemeriksaan sempadan dan pengesanan bahan radioaktif telah meningkatkan keselamatan negara dan kelancaran perdagangan. Pengimbas sinar-X membantu mengesan kandungan tersembunyi, manakala Sistem Pemantauan Portal Sinaran (RPM) mengesan sinaran yang tidak kelihatan. Kedua-dua teknologi ini saling melengkapi dalam sistem pemeriksaan keselamatan. Pemasangan sistem pengesanan sinaran seperti RPM di pusat pengumpulan besi buruk dan kilang kitar semula logam diperlukan untuk mengesan sumber radioaktif yang tersembunyi dalam muatan logam terpakai.

Apabila mendengar perkataan sinaran, ramai antara kita mungkin membayangkan kemalangan nuklear atau kesan buruk terhadap kesihatan. Walaupun sinaran mengion boleh mendatangkan risiko jika tidak dikendalikan dengan betul, teknologi ini turut memberikan pelbagai manfaat kepada manusia, termasuk dalam bidang perubatan, keselamatan makanan, pembangunan industri dan perlindungan alam sekitar.

Dalam bidang perubatan, teknologi sinar-X dan tomografi berkomputer (CT) membantu doktor mendapatkan imej tulang, organ dan struktur dalaman tubuh manusia tanpa memerlukan pembedahan. Imej tersebut membolehkan kecederaan dikenal pasti, penyakit dikesan dan rawatan yang bersesuaian dirancang. Bagi pesakit barah, sinaran juga digunakan dalam rawatan radioterapi untuk memusnahkan sel barah atau mengawal pertumbuhannya. Rawatan ini melibatkan pemberian dos sinaran yang dirancang dengan teliti, lazimnya melalui beberapa sesi, bagi meningkatkan keberkesanan rawatan di samping mengehadkan kesan terhadap tisu sihat di sekelilingnya.

Dalam sektor perindustrian, teknologi sinaran digunakan untuk memeriksa keadaan dalaman struktur dan komponen seperti paip, tangki serta sambungan kimpalan tanpa perlu memotong atau merosakkannya. Pemeriksaan ini membantu jurutera mengesan keretakan dan kecacatan tersembunyi yang boleh menjejaskan keselamatan peralatan. Dalam bidang pertanian, teknik sinaran tertentu pula digunakan untuk mengawal pembiakan serangga perosak. Penyinaran makanan dapat mengurangkan mikroorganisma berbahaya dan memanjangkan tempoh penyimpanan makanan tertentu tanpa menjadikan makanan tersebut radioaktif. Sementara itu, teknik nuklear turut membantu penyelidik mengesan punca pencemaran dan mengkaji pergerakan bahan pencemar dalam air serta tanah.

Namun, manfaat teknologi sinaran tidak terhad kepada bidang kesihatan, pertanian dan industri. Teknologi ini turut memainkan peranan dalam melindungi keselamatan serta kedaulatan negara, khususnya melalui pemeriksaan di pintu masuk sempadan dan pengesanan bahan radioaktif.

Melihat yang Tersembunyi, Mengesan yang Tidak Kelihatan

Di lapangan terbang, mesin sinar-X dan pengimbas tomografi berkomputer membantu petugas memeriksa kandungan bagasi tanpa perlu membukanya. Di pelabuhan dan pintu sempadan pula, pengimbas sinar-X bertenaga tinggi membolehkan kandungan lori dan kontena diperiksa tanpa perlu memunggah keseluruhan muatan. Bergantung pada tenaga sinaran dan spesifikasi peralatan, sesetengah sistem pengimbas kargo mampu menembusi keluli sehingga ketebalan 350 milimeter.

Imej yang dihasilkan membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenal pasti barangan yang disyaki terlarang, ruang penyembunyian dan kandungan muatan yang tidak sepadan dengan dokumen pengisytiharan. Keupayaan ini menyokong usaha membanteras penyeludupan, mengurangkan ketirisan hasil kerajaan akibat pengelakan duti dan cukai serta melancarkan urusan perdagangan.

Walau bagaimanapun, imej sinar-X tidak dapat menentukan sifat radioaktif sesuatu bahan secara langsung. Oleh itu, pemeriksaan menggunakan pengimbas sinar-X perlu dilengkapi dengan kaedah pengesanan yang bersesuaian, termasuk Sistem Pemantauan Portal Sinaran atau Radiation Portal Monitor (RPM).

Berbeza daripada pengimbas sinar-X yang menghasilkan sinaran untuk membentuk imej, RPM mengesan sinaran yang dipancarkan oleh bahan yang melalui kawasan pemantauannya. Sistem ini lazimnya mengesan sinaran gama dan, jika dilengkapi pengesan neutron, turut mengesan sinaran neutron. Apabila lori atau kenderaan yang membawa kontena melalui portal pemeriksaan, sistem memantau bacaan sinaran secara automatik dan mengaktifkan penggera apabila bacaan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Namun, penggera tidak semestinya menandakan kewujudan ancaman. Sesetengah mineral, bahan binaan dan barangan lain mengandungi bahan radioaktif semula jadi yang boleh menghasilkan bacaan lebih tinggi daripada paras latar belakang. Justeru, bacaan penggera perlu dinilai melalui pemeriksaan susulan oleh petugas terlatih bagi menentukan punca dan tahap risiko sebenar.

Secara ringkas, pengimbas sinar-X bertindak sebagai “mata” untuk melihat kandungan tersembunyi, manakala RPM berfungsi sebagai “deria” untuk mengesan sinaran yang tidak kelihatan. Kedua-dua teknologi ini mempunyai fungsi berbeza, tetapi saling melengkapi dalam sistem pemeriksaan keselamatan.

Sempadan Selamat, Perdagangan Lancar

Bagi JKDM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), penggunaan RPM berpotensi menyediakan satu lagi lapisan keselamatan untuk mengenal pasti kenderaan atau kontena yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Di pelabuhan, pengesanan awal bahan radioaktif dapat membantu mengurangkan risiko dedahan kepada pekerja, mengelakkan gangguan operasi dan mengehadkan kerugian ekonomi sekiranya berlaku pencemaran. Bagaimanapun, keberkesanan sistem ini bergantung pada kesesuaian peralatan, kecekapan pegawai, kejelasan prosedur operasi serta kerjasama antara agensi yang terlibat.

Maklumat daripada RPM juga boleh dinilai bersama imej pengimbasan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dokumen kargo untuk membantu petugas membuat keputusan pemeriksaan yang lebih tepat. Pendekatan bersepadu ini membolehkan aspek keselamatan diberi perhatian tanpa mengabaikan keperluan melancarkan pergerakan barangan dan perdagangan.

Hal ini menunjukkan bahawa keselamatan negara dan kelancaran perdagangan bukanlah matlamat yang saling bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya dapat diperkukuh melalui penggunaan teknologi yang sesuai, prosedur yang jelas dan penyelarasan operasi yang berkesan.

Di Sebalik Timbunan Besi Buruk, Risiko Tersembunyi dan Cabaran Penguatkuasaan

Risiko bahan radioaktif bukan sahaja wujud di pintu masuk sempadan, malah turut melibatkan industri kitar semula logam dan pengeluaran keluli.

Bayangkan sebuah lori membawa besi buruk ke kilang peleburan. Tanpa disedari, muatan itu mungkin mengandungi sumber radioaktif daripada peralatan industri atau perubatan yang telah terbiar, hilang atau tidak lagi berada di bawah kawalan sewajarnya. Jika sumber tersebut memasuki relau peleburan, pencemaran radioaktif berpotensi merebak kepada logam, peralatan dan sisa pemprosesan. Keadaan ini boleh membahayakan pekerja, mengganggu operasi kilang dan menyebabkan kerugian ekonomi yang besar.

Tragedi Goiânia di Brazil pada 1987 menjadi peringatan tentang akibat kegagalan mengawal sumber radioaktif. Kejadian itu bermula apabila sumber sesium-137 daripada sebuah peranti radioterapi yang terbiar dijual dan dibawa ke kawasan pengumpulan besi buruk. Bahan radioaktif tersebut kemudiannya tersebar, menyebabkan empat kematian dan pencemaran terhadap kira-kira 250 orang. Operasi pembersihan turut menghasilkan sejumlah besar sisa radioaktif, kira-kira 3,500 m3  yang memerlukan pengurusan khusus. Tragedi ini memperlihatkan bahawa sumber radioaktif yang terlepas daripada kawalan boleh membawa kesan serius terhadap keselamatan manusia, alam sekitar dan ekonomi.

Persoalannya, bagaimana bahan berbahaya seperti ini dapat dikesan sebelum memasuki pusat kitar semula? Pengawasan industri berkenaan melibatkan beberapa agensi yang mempunyai bidang kuasa berbeza. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), misalnya, berperanan dalam pelesenan premis dan pematuhan syarat operasi mengikut bidang kuasa masing-masing. Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjalankan penguatkuasaan terhadap kegiatan jenayah, termasuk kes berkaitan barangan curi. Jabatan Tenaga Atom bertanggungjawab mengawal selia aspek keselamatan dan kawalan bahan radioaktif serta aktiviti berkaitan sinaran berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam konteks ini, keperluan pemasangan sistem pengesanan sinaran seperti RPM di pusat pengumpulan besi buruk dan kilang kitar semula logam wajar diberikan perhatian. Jika pemasangan sistem sedemikian belum diwajibkan secara menyeluruh bagi semua premis, terdapat kemungkinan sesebuah premis mematuhi syarat pelesenan dan operasi tetapi tidak mempunyai kemudahan khusus untuk mengesan sumber radioaktif yang tersembunyi dalam muatan logam terpakai.

Keadaan ini menunjukkan pentingnya penyelarasan yang lebih teratur antara agensi berkaitan, khususnya dalam menilai tahap risiko setiap premis serta menetapkan garis panduan pemeriksaan dan langkah keselamatan yang bersesuaian. Pendekatan berasaskan risiko boleh membantu mengenal pasti premis yang memerlukan langkah kawalan tambahan, di samping memperjelas tanggungjawab setiap pihak dalam mengurus kemungkinan penemuan sumber radioaktif.

Sinergi Ilmu dan Inovasi Membina Masa Depan Negara

Sempena Hari Akademia Negara 2026 yang bertemakan “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi Dalam Akademia”, aplikasi sains sinaran memperlihatkan bagaimana pengetahuan yang dibangunkan melalui penyelidikan dapat dimanfaatkan untuk menangani keperluan masyarakat dan negara.

Pembangunan sistem RPM tempatan melalui kerjasama universiti, industri dan agensi berkepentingan berpotensi memperlihatkan sumbangan kepakaran fizik sinaran, kejuruteraan dan teknologi digital dalam menangani cabaran keselamatan negara. Usaha sedemikian juga membuka ruang kepada pengkomersialan hasil penyelidikan, pembangunan kepakaran tempatan dan pengukuhan keupayaan teknologi negara.

Ilmu menyediakan asas kefahaman, teknologi membolehkan ilmu diterapkan dalam amalan, manakala inovasi menterjemahkan pengetahuan tersebut kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar. Untuk mencapai manfaat yang lebih luas, sinergi ini memerlukan kerjasama berterusan antara akademia, industri, kerajaan dan masyarakat.

Kejayaan akademia tidak seharusnya dinilai berdasarkan penerbitan, paten atau anugerah semata-mata, tetapi turut dilihat melalui sumbangan penyelidikan terhadap kesejahteraan manusia, keselamatan industri, kemajuan ekonomi dan kedaulatan negara.

Apabila ilmu yang dibangunkan di bilik kuliah dan makmal diterjemahkan kepada teknologi yang membantu menyelamatkan nyawa, melindungi industri dan memperkukuh keselamatan negara, di situlah terserlah nilai sebenar penyelidikan.

Daripada ilmu lahirnya teknologi, daripada teknologi berkembangnya inovasi, dan melalui sinergi ketiga-tiganya, Malaysia berupaya membina masa depan yang lebih selamat, berdaya saing dan berdaulat.

Explore More

UTM Open Day