Asas pengurusan tenaga dalam Islam

SDGSDG7SDG9SDG11SDG16

📝 Ringkasan

Islam menetapkan bahawa sumber asas seperti air, api atau tenaga, jalan dan kemudahan awam diletakkan di bawah tanggungjawab wilayah atau maslahah ‘ammah. Pemerintah tidak boleh membiarkan sumber yang amat diperlukan masyarakat dimonopoli sehingga masyarakat mengalami kemudaratan. Pemerintah wajib mengurus perkara yang menjadi keperluan masyarakat berdasarkan prinsip keadilan, amanah dan menghilangkan kemudaratan.

Umum melihat api di dalam Islam hanya sebagai api neraka yang menjadi ibu segala kemusnahan tanpa menyedari ianya sangat penting dalam kehidupan di atas muka bumi. Sebenarnya, Islam menerusi wacana akademik siyasah syar‘iyyahnya telah menetapkan bahawa sumber asas seperti air, api atau tenaga, jalan dan kemudahan awam diletakkan di bawah tanggungjawab wilayah atau maslahah ‘ammah.

Antara dalilnya ialah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Mājah:

«الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ: الْمَاءِ وَالْكَلَإِ وَالنَّارِ»

Hadis ini sangat penting kerana api pada zaman Nabi saw merupakan sumber tenaga utama untuk memasak, memanaskan badan, pencahayaan dan kegunaan industri di zamannya. Manakala air dan padang rumput juga antara perkara asas yang diperlukan oleh manusia sepanjang masa.

Perkembangan zaman menyaksikan ketiga-tiga unsur utama bumi ini terus menjadi teras kepada perkongsian hidup manusia di dunia ini. Dalam konteks moden, ulama kontemporari boleh membincangkan qiyas kepada sumber tenaga dan utiliti awam, termasuk elektrik, berdasarkan fungsi dan kemaslahatan, walaupun elektrik secara literal tidak wujud pada zaman tersebut.

Justeru, Islam telah meletakkan beberapa kaedah yang boleh dijadikan rujukan untuk pengurusan tenaga pada masa ini. Berdasarkan hadis di atas, prinsip utama yang perlu difahami dan disedari ialah hak masyarakat terhadap sumber asas, dan cara sumber itu diuruskan oleh kerajaan. Hadis tersebut tidak semestinya bermaksud setiap bentuk pengeluaran atau penjualan air dan tenaga adalah haram, tetapi boleh dilanjutkan perbahasannya dalam konteks pengurusan tenaga semasa yang bermanfaat bagi semua pihak.

Prinsip pengurusan tenaga dalam Islam ialah memastikan pemerintah tidak boleh membiarkan sumber yang amat diperlukan masyarakat dimonopoli sehingga masyarakat mengalami kemudaratan. Pemerintah wajib mengurus perkara yang menjadi keperluan masyarakat berdasarkan prinsip keadilan, amanah dan menghilangkan kemudaratan.

Hal ini sesuai dengan prinsip pentadbiran bagi pemerintah untuk menjaga maslahah ‘ammah sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (al-Nisā’ 4:58)

Ayat ini juga memberikan asas bahawa pengurusan negara adalah amanah, bukan sekadar hak pemerintah. Maka penyediaan tenaga khususnya daripada sumber api dan dilihat sebagai sebahagian daripada amanah pelaksanaan keadilan sosial dan maslahah masyarakat.

Sekiranya amanah pengurusan tenaga ini gagal dilaksanakan dengan baik, maka masalah ini akan membawa kepada kemudaratan. Contohnya, jika sesuatu kawasan tidak mendapat bekalan air atau elektrik sehingga menjejaskan keselamatan, kesihatan, pendidikan dan kehidupan ekonomi, pemerintah mempunyai asas syarak untuk campur tangan bagi menghilangkan kemudaratan tersebut. Perkara ini adalah selaras dengan kaedah fiqh seperti yang disabdakan Nabi SAW:

«لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ»

“Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”

Riwayat Ibn Mājah, Mālik dan Aḥmad.

Daripada hadis ini maka lahir kaedah fiqh iaitu

الضَّرَرُ يُزَالُ
“Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”

Isunya ialah bagaimana pentadbiran Islam dapat mengatur urus tenaga? Suatu kerangka umum yang mengakui bahawa sumber asas adalah hak atau maslahah masyarakat. Air dan api disebut dalam hadis sebagai contoh sumber tenaga yang mempunyai kepentingan umum. Dalam konteks moden, masalah ini boleh dilaksanakan berdasarkan kaedah negara iaitu negara adalah penjaga kepada sumber berkenaan. Pastikan kerajaan tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak yang ingin membolotnya semata-mata.

Sekiranya kerajaan menyerahkan penyediaan utiliti kepada syarikat swasta, prinsip Islam masih terpakai dengan peringatan agar tidak berlaku monopoli yang menzalimi; jangan menipu pengguna; jangan mengenakan beban yang tidak munasabah; pastikan golongan miskin tidak dinafikan keperluan asas dan pastikan bekalan selamat dan berkualiti.

Di samping itu, pemerintah mempunyai kuasa hisbah iaitu pengawasan terhadap aktiviti ekonomi dan kepentingan awam. Hal ini dilaksanakan bagi mencapai konsep Himāyah al-maṣāliḥ al-‘āmmah (penjagaan kepentingan awam) yang beroperasi dalam kerangka maqāṣid al-sharī‘ah, yang dikaitkan dengan perlindungan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Contohnya, elektrik bukan semata-mata soal keselesaan. Aspek ini boleh menjadi prasyarat kepada keselamatan nyawa di hospital, pendidikan atau akal di sekolah, mengerjakan ibadah di masjid dan nyawa atau kesihatan melalui air yang bersih. Oleh itu, nilai syariahnya datang daripada maslahah yang dihasilkan, bukan daripada elektrik sebagai objek semata-mata. Ini juga dapat mengelakkan dakwaan bahawa Islam mempunyai peraturan teknikal mengenai sistem elektrik moden sedangkan perkara tersebut tidak wujud pada zaman nas itu disebut.

Kenaikan tarif elektrik dan air lazimnya mengundang kritikan masyarakat yang berasa dibebankan, sedangkan mereka yakin bahawa kedua-duanya adalah sumber alam yang tidak harus dimiliki dan dimanipulasi untuk keuntungan semata-mata. Dalam ekonomi Islam, terdapat perbincangan mengenai pemilikan awam (al-milkiyyah al-‘āmmah) yang boleh dijadikan asas bagi menjawab isu ini.

Walaupun ulama berbeza dalam menentukan skop sebenar pemilikan awam dan bagaimana ia diterapkan kepada sumber moden. Terdapat perbezaan di antara “Sumber itu milik umum” dengan “kerajaan mesti mengendalikan sendiri sumber tersebut.” Namun mereka akur bahawa kerajaan boleh mengurus sendiri, atau melantik badan atau entiti tertentu untuk mengurusnya, dengan syarat kepentingan awam, keadilan dan hak masyarakat dipelihara.

Tambahan pula kerajaan hari ini boleh berpegang kepada satu prinsip yang sangat kuat dalam siyasah syar‘iyyahi bagi mendepani isu ini iaitu:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maslahah.”

Kesimpulannya, jika kita mahu menghubungkan elektrik sebagai kemudahan asas moden dengan Islam, hujah yang paling kukuh bukan mengatakan “al-Quran menyebut elektrik”. Sebaliknya, boleh merujuk kepada hadis yang jelas menyebut air dan api sebagai sumber kepentingan bersama.

Syariah pula dijadikan panduan untuk menetapkan prinsip keadilan dan amanah dalam membasmi kemudaratan. Pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyat berdasarkan  konsep maslahah bagi membolehkan pentadbiran mengurus infrastruktur moden seperti elektrik, air dan tenaga berjalan lancar.

Dengan pendekatan ini, “kemudahan asas” bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi boleh dilihat sebagai sebahagian daripada amanah pemerintahan (al-amānah al-siyāsiyyah) dan keadilan sosial dalam Islam.

Justeru, persoalan mengenai tarif tenaga yang dikenakan oleh syarikat pembekal yang menjadi isu hangat hari ini perlu dikembalikan dengan merenung perspektif Islam yang telah mengikat sumber asas dengan keperluan dan kemaslahatan umum. Seharusnya ia tidak menjadi sumber keuntungan yang dimonopoli oleh segelintir pihak sahaja.

Selain itu, punca masalah yang timbul dalam isu pengurusan tenaga perlu diselesaikan secara profesional dan terbuka. Usaha ini perlu menjadi matlamat utama dalam rangka membetulkan semula isu yang berbangkit secara holistik. Pendekatan yang menjadikan agama sebagai teras dan kaedah penyelesaian bukan sahaja diyakini dapat menyelesaikan masalah semasa tetapi juga mengundang keberkatan rezeki yang berasal dari langit dan bumi.

 

Oleh Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir, Profesor Akademi Tamadun Islam di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM serta Exco Majlis Profesor UTM

Explore More

UTM Open Day