Sinergi ilmu, teknologi dan inovasi dalam akademia menuju penciptaan impak

SDGSDG4SDG8SDG9SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Universiti perlu memperluas pengaruh dan impak ilmu yang dihasilkan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin pesat. Persoalan utama dalam akademia hari ini ialah sejauh mana ilmu yang dihasilkan dapat mencetuskan perubahan yang bermakna. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menekankan pentingnya hubungan antara penghasilan ilmu, kemajuan teknologi dan penciptaan inovasi dalam memperkukuh peranan akademia.

Universiti merupakan medan utama penghasilan dan pengembangan ilmu. Di sinilah penyelidikan dijalankan, pemikiran baharu diteroka dan generasi berilmu dibentuk. Namun, perubahan dunia yang semakin pesat memerlukan universiti memperluas pengaruh dan impak ilmu yang dihasilkan. Pengetahuan yang terhasil perlu mempunyai laluan yang membolehkannya diterjemahkan kepada teknologi, penyelesaian dan inovasi yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Persoalan yang semakin penting dalam akademia hari ini ialah sejauh mana ilmu yang dihasilkan mampu mencetuskan perubahan yang bermakna? Persoalan ini bertepatan dengan tema Hari Akademia 2026, “Sinergi Ilmu, Teknologi & Inovasi dalam Akademia”, yang mengetengahkan kepentingan hubungan antara penghasilan ilmu, kemajuan teknologi dan penciptaan inovasi dalam memperkukuh peranan akademia. Tema ini juga selari dengan evolusi pendidikan tinggi di Malaysia. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menggambarkan perkembangan universiti daripada institusi yang memberikan tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran kepada institusi yang turut merangkumi penyelidikan, impak terhadap masyarakat dan alam sekitar, nilai kemanusiaan serta kemampanan. Evolusi tersebut memperlihatkan bahawa kecemerlangan universiti semakin berkait rapat dengan keupayaannya memberikan sumbangan yang melangkaui lingkungan kampus.

Dalam konteks ini, ilmu, teknologi dan inovasi mempunyai hubungan yang saling melengkapi. Ilmu menyediakan asas untuk memahami sesuatu permasalahan. Teknologi menyediakan wahana untuk mengaplikasikan pengetahuan, manakala inovasi memungkinkan aplikasi tersebut menghasilkan nilai dalam kehidupan sebenar. Hubungan ini membentuk suatu rantaian yang bermula daripada penciptaan pengetahuan dan berkembang kepada penggunaan, pemindahan serta penciptaan nilai. Namun, rantaian tersebut tidak terbentuk secara automatik. Sesuatu penyelidikan mungkin menghasilkan penemuan yang bernilai, namun hasilnya memerlukan ekosistem yang sesuai untuk dikembangkan. Di sinilah universiti perlu memberikan perhatian kepada ruang yang menghubungkan penyelidikan dengan penggunaannya. Pusat inovasi, pejabat pemindahan teknologi, inkubator, konsortium penyelidikan dan jaringan dengan industri memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu dapat bergerak merentasi sempadan organisasi.

Keperluan tersebut membawa kepada persoalan tentang cara kecemerlangan akademik dinilai. Penerbitan, geran, sitasi, paten dan harta intelek kekal penting sebagai petunjuk produktiviti akademik. Walau bagaimanapun, perkembangan pendidikan tinggi memerlukan perhatian yang lebih besar terhadap kesan yang terhasil daripada pencapaian tersebut. Sesuatu penyelidikan memperoleh nilai yang lebih luas apabila pengetahuan yang dihasilkan dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah, peningkatan amalan profesional, pembentukan dasar, pembangunan teknologi, pemerkasaan komuniti atau pertumbuhan ekonomi.

RPTM 2026–2035 memberikan penekanan yang jelas terhadap perkara ini melalui Lonjakan 6: Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) Bertanggungjawab. Pendekatan tersebut memerlukan penyelidikan yang dipacu oleh misi untuk menangani cabaran masyarakat dan kemampanan bumi. Tumpuan diberikan kepada pembentukan ekosistem inovasi yang menggabungkan penjanaan ilmu, pembangunan modal insan dan penjanaan pendapatan dengan amalan yang beretika serta mampan.

Hala tuju ini membawa perubahan penting dalam budaya penyelidikan. Impak perlu diberikan kedudukan yang lebih bermakna dalam menilai kejayaan akademia. Ukuran kecemerlangan perlu mengambil kira perubahan yang dapat diwujudkan melalui ilmu. Penyelidikan pendidikan, misalnya, mungkin menghasilkan pendekatan yang meningkatkan pembelajaran murid. Penyelidikan kejuruteraan boleh menghasilkan penyelesaian terhadap masalah industri, manakala penyelidikan sains sosial boleh mempengaruhi dasar dan kesejahteraan komuniti. Bentuk impaknya mungkin berbeza, namun kesemuanya memperlihatkan hubungan antara ilmu dengan kehidupan sebenar.

Sinergi tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak. RPTM mengangkat konsep quintuple helix yang merangkumi akademia, kerajaan, industri, komuniti serta kemampanan dan kesihatan bumi. Kerangka ini meletakkan inovasi dalam suatu ekosistem yang lebih luas. Komuniti turut berperanan sebagai sumber idea dan permasalahan sebenar, sementara akademia membantu mengembangkan pengetahuan serta penyelesaian yang bersesuaian. Hubungan dengan industri pula penting dalam mempercepat pemindahan teknologi dan membuka laluan kepada aplikasi.

RPTM turut menggariskan usaha memperkukuh penglibatan industri melalui pelaburan dalam RDICE, pembangunan syarikat pemula universiti, bimbingan serta akses kepada pasaran. IPT turut diposisikan sebagai pemudah cara yang menjajarkan hasil akademik dengan keperluan industri agar penyelidikan dapat menghasilkan penyelesaian praktikal serta nilai tambah kepada ekonomi. Walaupun demikian, kolaborasi memerlukan lebih daripada kewujudan memorandum persefahaman, memorandum perjanjian atau platform rasmi. Keberkesanannya bergantung pada tahap kepercayaan, perkongsian kepakaran, kejelasan matlamat dan kecekapan proses. Birokrasi yang panjang berpotensi memperlahankan perjalanan sesuatu inovasi. Dalam persekitaran teknologi yang berubah dengan pantas, keupayaan membuat keputusan dan menyesuaikan mekanisme kerjasama menjadi semakin penting.

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan data raya turut memperluas dimensi sinergi ilmu, teknologi dan inovasi. Teknologi ini berpotensi meningkatkan kecekapan penyelidikan, mempercepat analisis serta membuka ruang kepada penciptaan penyelesaian baharu. Pada masa yang sama, penggunaannya menimbulkan persoalan tentang integriti, ketelusan, etika dan tanggungjawab. RPTM menekankan penyelidikan yang bertanggungjawab serta pematuhan kepada garis panduan etika. Hal ini menunjukkan bahawa kemajuan teknologi perlu sentiasa bergerak seiring dengan pertimbangan terhadap kesejahteraan manusia dan kelestarian.

Kesimpulannya, sinergi ilmu, teknologi dan inovasi memerlukan akademia melihat kecemerlangan melalui perspektif yang lebih luas. Pertanyaan tentang jumlah penerbitan, geran, paten atau produk perlu dilengkapi dengan pertanyaan yang lebih mendasar, iaitu, apakah masalah yang berjaya diselesaikan? Siapakah yang memperoleh manfaat? Apakah perubahan yang telah diwujudkan? Apabila persoalan tersebut menjadi sebahagian daripada budaya akademia, ilmu mempunyai laluan menuju aplikasi, teknologi memperoleh tujuan yang jelas dan inovasi menghasilkan nilai kepada masyarakat. Kecemerlangan universiti bakal tercermin melalui keupayaannya untuk menghubungkan ilmu dengan tindakan, teknologi dengan keperluan, serta inovasi dengan kesejahteraan manusia, kemampanan dan kemajuan negara.

 

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day