Akademia harus membina reputasi

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Akademia perlu membina reputasi melalui kewibawaan akademik yang kukuh. Kewibawaan ini tidak hanya ditentukan oleh kedudukan dunia, jumlah penerbitan, geran penyelidikan dan jaringan antarabangsa, tetapi juga oleh mutu ilmu, keupayaan menyelesaikan masalah dan manfaat yang dirasai masyarakat. Akademia sejati berdiri atas empat asas: Adab, hikmah, kepercayaan dan kredibiliti.

Apakah yang menjadikan sesebuah universiti benar-benar bereputasi?

Adakah reputasinya ditentukan oleh kedudukan dunia? Atau melalui jumlah penerbitan, geran penyelidikan dan jaringan antarabangsa?

Semua itu sememangnya penting. Namun, di sebalik setiap pencapaian tersebut, terdapat satu persoalan yang lebih mendasar: mengapakah dunia harus mempercayai sesebuah universiti?

Jawapannya terletak pada kewibawaan akademianya.

Reputasi tidak terbina melalui komunikasi semata-mata. Reputasi lahir daripada mutu ilmu, keupayaan menyelesaikan masalah dan manfaat yang dirasai masyarakat.

Membina reputasi merupakan amanah akademia. Ia menuntut keberanian, ketekunan dan kesabaran.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Balad, ayat 4, bahawa manusia diciptakan berada dalam keadaan menghadapi kesukaran.

Dalam dunia akademik, jalan menuju kecemerlangan sememangnya bukan jalan yang mudah. Ia menuntut ketekunan mencari kebenaran, keberanian mencabar andaian dan kesungguhan memastikan ilmu benar-benar memberikan manfaat.

Pemikir penyelesaian

Akademia bukan sekadar penyampai ilmu.

Mereka ialah pemikir penyelesaian.

Di bilik kuliah, mahasiswa perlu dibimbing supaya berani mengemukakan soalan yang baik, meneliti data dan mempertahankan hujah. 

Dalam penyelidikan pula, akademia perlu bertanya: siapakah yang sedang menghadapi masalah, apakah yang mereka perlukan dan bagaimanakah inovasi kita dapat membantu?

Kewibawaan intelektual tidak hanya diukur melalui jumlah penerbitan. Ia turut dinilai melalui hubungan antara ketelitian pemikiran dengan mutu penyelesaian yang ditawarkan.

Oleh itu, ilmu tidak seharusnya terhenti di dalam makmal.

Ilmu perlu mempengaruhi dasar, memperkukuh industri dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Jaringan yang menghasilkan nilai

Permasalahan dunia hari ini terlalu kompleks untuk diselesaikan oleh satu bidang atau institusi secara bersendirian. Justeru, jaringan perlu menyatukan kepakaran, kemudahan, pembiayaan dan bakat.

Namun, nilai jaringan bukan terletak pada jumlah memorandum yang ditandatangani. Nilainya terletak pada apa yang berjaya dihasilkan bersama.

UTM telah memperluas pengaruhnya melalui kerjasama dengan institusi pendidikan terkemuka dunia, konsortium penyelidikan, industri, kerajaan dan masyarakat. 

Hubungan ini membuka ruang kepada penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, mobiliti mahasiswa, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.

Jaringan alumni turut diperkasa menerusi beberapa siri UTM Alumni Global Connect. Keberadaan alumni di serata dunia merupakan peluang keemasan untuk UTM memperkukuh hubungan strategik dan diplomasi merentas sempadan.

Empat asas akademia sejati

Reputasi yang kukuh memerlukan akademia yang sejati. Akademia sejati pula berdiri atas empat asas: Adab, hikmah, kepercayaan dan kredibiliti.

Pertama ialah Adab.

Adab meletakkan ilmu, manusia dan tindakan pada kedudukan yang betul. Ia terserlah melalui kerendahan hati menerima teguran, penghormatan terhadap perbezaan pandangan dan kejujuran mengiktiraf sumbangan orang lain.

Adab memastikan kepakaran tidak melahirkan keangkuhan. Adab memastikan kebebasan akademik tidak mengabaikan tanggungjawab. Adab juga memastikan persaingan tidak menghilangkan kemanusiaan.

Tanpa Adab, ilmu boleh menjadi alat kepentingan. Dengan Adab, ilmu menjadi jalan menuju hikmah dan kesejahteraan.

Kedua ialah hikmah.

Ilmu menjelaskan apa yang boleh dilakukan. Hikmah menentukan perkara yang wajar dilakukan.

Akademia perlu menilai kesan setiap keputusan terhadap manusia, masyarakat dan alam. Hikmah menuntut pandangan jauh, kesediaan mendengar dan keberanian memilih jalan yang benar walaupun sukar.

Dengan hikmah, inovasi bukan sahaja canggih, tetapi selamat, adil, lestari dan benar-benar diperlukan.

Akademia sejati berdiri atas empat asas iaitu Adab, hikmah, kepercayaan dan kredibiliti.

Ketiga ialah kepercayaan.

Kepercayaan lahir apabila akademia jujur terhadap data, telus tentang batas kajian, adil dalam penilaian dan konsisten menunaikan amanah. 

Dalam era kecerdasan buatan dan penyebaran maklumat tanpa sempadan, integriti akademik menjadi benteng yang membezakan ilmu sahih daripada dakwaan mengelirukan.

Kepercayaan juga mendorong institusi terkemuka dunia menjalinkan hubungan dengan UTM. 

Kerjasama dengan Télécom Paris, hubungan selama 15 tahun dengan Imperial College London dan kerjasama dengan University of Canterbury memperlihatkan keyakinan rakan antarabangsa terhadap keupayaan UTM. 

Penyertaan dalam Horizon Europe, hubungan dengan universiti terkemuka Jepun serta mobiliti 23 mahasiswa UTM ke New Zealand turut membuktikan bahawa kepercayaan membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pembangunan bakat bertaraf dunia.

Keempat ialah kredibiliti.

Kredibiliti dibina melalui penguasaan bidang, penyelidikan yang teliti, penerbitan berkualiti dan kemampuan menterjemahkan kepakaran kepada impak. 

Pengiktirafan 46 penyelidik UTM dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia turut mencerminkan kekuatan kepakaran kita.

Penubuhan syarikat perkakasan pengkomputeran kuantum pertama Malaysia di UTM, yang mendapat liputan 152 agensi media antarabangsa menunjukkan bahawa penyelidikan tempatan mampu menarik perhatian dunia.

Namun, pengiktirafan bukanlah titik akhir.

Kredibiliti hanya bermakna apabila kepakaran diterjemahkan kepada teknologi, dasar, bakat dan penyelesaian yang akan meningkatkan keupayaan negara.

Reputasi ialah amanah bersama

Kedudukan UTM yang meningkat daripada tangga ke-358 dunia pada tahun 2013 kepada tangga ke-158 dalam QS World University Rankings 2027 ialah hasil usaha merentasi generasi kepimpinan universiti. Peningkatan 200 anak tangga ini menempatkan UTM dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.

Reputasi sebenar terbina melalui apa yang dunia alami, percayai dan akui tentang UTM.

Setiap pengajaran yang bermutu, penyelidikan yang berintegriti, kerjasama yang ditunaikan dan penyelesaian yang memberikan manfaat mengharumkan nama universiti.

Akhirnya, akademia tidak hanya sekadar mengejar pengiktirafan. Akademia sejati membina sebab untuk terus dipercayai.

Dengan berpegang pada amanah “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, UTM akan terus menjulang reputasinya melalui ilmu yang benar, tindakan yang beradab dan sumbangan yang dirasai oleh masyarakat dunia.

Explore More

UTM Open Day