UTM tekankan adab, inovasi dan penguasaan AI kepada mahasiswa baharu

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menekankan adab, inovasi dan penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada mahasiswa baharu. Beliau berkata, kemasukan ke universiti bukan sekadar proses pendaftaran, tetapi permulaan perjalanan pendidikan yang membentuk pengetahuan, kemahiran, nilai dan hala tuju masa hadapan. Beliau menekankan adab sebagai falsafah yang membentuk kehidupan yang lebih teratur dan bijaksana.

JOHOR BAHRU, 4 Okt. – Adab, keupayaan berinovasi dan penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara beretika menjadi antara asas penting yang perlu dikuasai mahasiswa baharu dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran pendidikan serta dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan dinamik.

Penekanan terhadap tiga aspek itu menjadi antara mesej utama Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) Sesi 2026/2027 yang berlangsung secara hibrid melibatkan kampus UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan amanat kepada mahasiswa baharu sempena Majlis Perasmian dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2026/2027

Beliau berkata, kemasukan ke universiti sebagai mahasiswa UTM bukan sekadar satu proses pendaftaran, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada perjalanan pendidikan yang bakal membentuk pengetahuan, kemahiran, nilai dan hala tuju masa hadapan mereka.

“Pendaftaran sebagai mahasiswa UTM merupakan permulaan kepada perjalanan untuk mencipta kejayaan. Hari ini saudara dan saudari hadir dengan 1,000 harapan untuk mengubah masa depan diri sendiri. Justeru, hari ini merupakan detik penting dan satu sejarah dalam perjalanan kehidupan masing-masing,” katanya.

Mengulas tema “Adab Terpuji, Bakat Berkualiti”, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata kecemerlangan mahasiswa tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik dan kemahiran semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan adab sebagai panduan dalam kehidupan dan proses menuntut ilmu.

“Adab merupakan satu falsafah yang membentuk kehidupan kita supaya lebih teratur dan bijaksana. Kemuncak adab ialah apabila kita memahami sesuatu keadaan dan mampu berlaku adil pada semua peringkat,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, penghayatan terhadap adab turut berkait rapat dengan cara mahasiswa memperoleh dan menggunakan ilmu, khususnya dengan mengamalkan integriti serta membina keupayaan berfikir secara mandiri. Beliau berkata, nilai adab turut perlu diterapkan dalam hubungan mahasiswa dengan pensyarah, rakan-rakan dan seluruh warga universiti bagi mewujudkan kehidupan kampus yang berasaskan rasa hormat, tanggungjawab dan pertimbangan yang baik.

Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata pembentukan bakat berkualiti di UTM turut memberi penekanan kepada keupayaan mahasiswa menghadapi masalah kompleks dan menghasilkan penyelesaian berasaskan ilmu serta pemikiran yang kreatif.

“Pengalaman pembelajaran di universiti perlu dimanfaatkan untuk mengembangkan daya fikir dan keupayaan berinovasi agar mahasiswa lebih bersedia menangani cabaran organisasi dan industri selepas tamat pengajian,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, penguasaan ilmu yang disertai keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar dapat membantu mahasiswa membina kemahiran yang relevan dengan keperluan dunia pekerjaan.

Menyentuh perkembangan teknologi semasa, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry mengingatkan mahasiswa supaya memanfaatkan AI sebagai alat sokongan pembelajaran dan pemikiran, tanpa menyerahkan keupayaan membuat pertimbangan kepada teknologi berkenaan.

“AI ialah alat bantu yang perlu digunakan secara bijaksana. Teknologi ini boleh membantu kita berfikir, tetapi tidak seharusnya menggantikan kebijaksanaan manusia. Kita perlu mengawal selia penggunaan AI dan tidak membiarkan teknologi menguasai pemikiran kita,” tegasnya.

Beliau berkata, penguasaan AI perlu disertai pemikiran kritis dan integriti akademik supaya penggunaannya benar-benar menyokong proses pembelajaran, bukannya menjejaskan keupayaan mahasiswa untuk memahami, menilai dan menghasilkan sesuatu berdasarkan pemikiran sendiri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, berkata kemasukan mahasiswa baharu menandakan permulaan baharu yang penting dalam pembentukan diri mereka, bukan sahaja dari aspek akademik, malah dari segi keyakinan, kemahiran, nilai dan keupayaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Menurut beliau, aspirasi UTM ASCEND 2030 bukan semata-mata berkaitan pencapaian dan kedudukan universiti, tetapi turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat global yang berilmu, berkemahiran, berkeyakinan dan beradab.

Dalam perkembangan lain, majlis berkenaan turut menyaksikan Gimik Perasmian Logo Baharu Kolej Kediaman UTM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh identiti dan ekosistem kehidupan mahasiswa di kampus.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Setiausaha Majlis Pengetua, ChM Dr. Mohd Akmali Mokhter pada sesi perasmian Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2026/2027

Logo kolej kediaman yang digunakan sejak tahun 1985 itu diperbaharui selaras dengan aspirasi ASCEND 2030, dengan memberi penekanan kepada identiti komuniti yang lebih jelas, imej yang lebih moden, budaya positif serta semangat kekitaan dalam kalangan warga kolej.

Wakil kolej kediaman membawa iringan logo, bendera dan maskot kolej sempena Gimik Perasmian Logo Baharu Kolej Kediaman UTM

Majlis turut diserikan dengan tayangan video amanat daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, selain bacaan ikrar mahasiswa baharu dan sesi libat urus antara Naib Canselor dengan mahasiswa. Sesi berkenaan memberi ruang kepada mahasiswa mengemukakan pandangan dan pertanyaan berkaitan pengalaman serta kehidupan mereka sepanjang berada di UTM.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berinteraksi bersama Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Irfan Firdaus pada sesi libat urus bersama mahasiswa
Mahasiswa baharu mengemukakan soalan kepada Naib Canselor UTM pada sesi libat urus sempena Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2026/2027
Wakil mahasiswa memimpin bacaan ikrar sempena Majlis Perasmian dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2026/2027
Mahasiswa baharu UTM menyempurnakan bacaan ikrar pada Majlis Perasmian dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2026/2027

Keseluruhannya, amanat kepimpinan universiti kepada mahasiswa baharu menekankan bahawa pengalaman di UTM perlu dimanfaatkan bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik, tetapi sebagai ruang membina adab, mengembangkan potensi, menguasai ilmu dan kemahiran serta membentuk keupayaan menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi selepas tamat pengajian.

Usaha tersebut selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan bakat yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah berintegriti, beradab, mampu berfikir secara kritis serta berupaya menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.

Explore More

UTM Open Day