Akademia dan reputasi UTM bermula dengan ilmu, amanah dan adab

SDGSDG8SDG16

📝 Ringkasan

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan amanat bertemakan “Akademia & Reputasi Universiti” sempena Hari Akademia. Beliau menekankan bahawa reputasi UTM bukan hanya bergantung pada pencapaian akademik, penyelidikan atau kepimpinan, tetapi juga dibentuk oleh seluruh warga Universiti melalui peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Beliau juga menekankan pentingnya adab dalam berilmu dan mengajar individu untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, mengetahui bila untuk bersuara dan mendengar, serta menggunakan ilmu dan kepakaran untuk memberikan manfaat kepada orang lain dan Universiti.

Sempena Hari Akademia, saya berkesempatan mengikuti amanat Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bertemakan “Akademia & Reputasi Universiti” pada 2 Oktober 2026. Perkongsian tersebut membuatkan saya merenung kembali peranan kita sebagai warga Universiti serta bagaimana perkara kecil yang dilakukan setiap hari turut menyumbang kepada pembentukan reputasi UTM.

Bagi saya, reputasi Universiti bukan hanya bergantung pada pencapaian akademik, penyelidikan atau kepimpinan. Sebaliknya, reputasi dibentuk oleh seluruh warga Universiti pada setiap peringkat, melalui peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

Sebagai staf Pengurusan dan Profesional (PPP), saya melihat perkara ini daripada sudut yang dekat dengan kehidupan kerja kita. Cara kita melaksanakan amanah, berkomunikasi, memberikan perkhidmatan, menyelesaikan tugasan dan melayani mereka yang berurusan dengan kita sedikit sebanyak mencerminkan wajah UTM.

Dalam semua perkara itu, ada satu nilai yang tidak kurang pentingnya, iaitu adab.

Saya amat tertarik dengan pesanan Naib Canselor mengenai adab dalam berilmu. Setiap individu mempunyai ilmu dan kebijaksanaan tersendiri. Namun, ilmu bukan sekadar untuk diketahui atau dimiliki. Ilmu seharusnya membentuk cara kita berfikir, membuat pertimbangan dan bertindak dengan adab serta rasa tanggungjawab.

Adab juga mengajar kita untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, mengetahui bila untuk bersuara, bila untuk mendengar serta bagaimana menggunakan ilmu dan kepakaran yang dimiliki. Jika kita mempunyai ilmu, maka gunakanlah ilmu tersebut untuk memberikan manfaat kepada orang lain dan kepada Universiti.

Dalam konteks kehidupan di Universiti, nilai tersebut dapat diterjemahkan melalui peranan yang kita laksanakan setiap hari. Ada kalanya kita mungkin terfikir, “Saya cuma buat kerja saya.”

Bagi saya sendiri, pesanan itu amat dekat dengan rutin kerja yang dilalui setiap hari. Banyak tugasan yang dilakukan mungkin kelihatan kecil dan bersifat rutin, seperti menyusun jadual, mengurus komunikasi, menyediakan dokumen, membuat tindakan susulan atau memastikan sesuatu urusan berjalan seperti yang dirancang.

Namun, selepas mendengar amanat Naib Canselor, saya mula melihat tugasan tersebut daripada perspektif yang berbeza. Setiap tugasan yang dilaksanakan dengan teliti membawa nilai yang lebih besar apabila menjadi sebahagian daripada perjalanan dan imej Universiti. Malah, bagi seseorang yang berurusan dengan kita, pengalaman tersebut mungkin menjadi gambaran mereka tentang UTM pada hari berkenaan.

Pensyarah membawa nama UTM melalui ilmu dan kepakaran. Penyelidik melakukannya melalui penemuan dan impak penyelidikan. Pelajar pula membawa nama UTM melalui pencapaian, sahsiah dan penglibatan mereka sebagai generasi yang akan meneruskan legasi Universiti. Sementara itu, staf PPP memainkan peranan melalui amanah dan perkhidmatan yang memastikan urusan Universiti dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

Kesemua peranan ini saling berkait.

Bagi saya, reputasi Universiti sebenarnya terbina daripada apa yang kita lakukan bersama, bukan daripada satu pihak sahaja. Ia memerlukan kesedaran dan komitmen daripada seluruh warga UTM. Budaya kerja yang cemerlang tidak terbentuk hanya melalui dasar dan peraturan, tetapi turut bergantung pada sikap yang kita pilih untuk amalkan setiap hari.

Ketepatan dalam melaksanakan tugas, kesediaan membantu, menghormati pandangan orang lain serta kejujuran dalam menjalankan amanah mungkin kelihatan sebagai perkara yang sederhana. Namun, apabila diamalkan secara berterusan, perkara-perkara inilah yang membentuk budaya organisasi dan seterusnya menyumbang kepada reputasi Universiti.

Mungkin kita tidak berada di pentas utama. Tidak semua kerja kita kelihatan, disebut atau diketengahkan di media sosial. Namun, hal itu tidak bermakna sumbangan kita kurang bernilai. Setiap daripada kita mempunyai ruang dan peluang untuk menyumbang kepada Universiti melalui peranan masing-masing.

Daripada amanat yang disampaikan oleh Naib Canselor, saya mula melihat semula perkara-perkara yang selama ini mungkin dianggap biasa dalam urusan harian. Kadang-kadang, cerminan UTM bermula dengan perkara yang sangat mudah, seperti seorang pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk dan memberikan senyuman kepada seseorang yang melangkah masuk ke kampus.

Mungkin bagi kita, itu sekadar perkara kecil. Namun, bagi orang yang menerimanya, senyuman tersebut mungkin menjadi pengalaman pertama mereka tentang UTM pada hari berkenaan.

Bagi saya, contoh ini memperlihatkan bahawa reputasi Universiti bukan hanya terbentuk melalui program atau pencapaian besar yang rasmi. Reputasi turut terbina melalui pengalaman kecil yang dirasai oleh orang lain ketika berurusan dengan kita. Jika seorang pengawal keselamatan dapat membentuk pengalaman seseorang melalui sebuah senyuman, begitu juga kita dalam peranan masing-masing.

Daripada situ, saya semakin memahami bahawa usaha membina reputasi UTM sebenarnya bermula daripada cara saya melaksanakan amanah yang diberikan, termasuk dalam perkara yang mungkin tidak kelihatan atau tidak mendapat perhatian.

Saya juga belajar bahawa kecemerlangan bukan hanya tentang apa yang kita tahu dan apa yang kita capai. Kecemerlangan turut tercermin melalui cara kita membawa ilmu, amanah dan diri dalam sesebuah organisasi.

Kerana akhirnya, apa jua peranan yang kita pegang, apabila kita membawa nama UTM, kita bukan sekadar mewakili diri sendiri.

Kita membawa nama Universiti dengan ilmu, amanah dan adab.

 

Oleh Sarra Aida Romli, Pembantu Setiausaha Pejabat dan Sekretariat Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day