Pelajar Kejuruteraan Geomatik UTM perkasa kompetensi global di Saga University, Jepun

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

19 pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dari UTM mengikuti Program Lawatan Akademik ke Saga University, Jepun dari 9 hingga 15 Jun. Mereka berpeluang membentangkan hasil penyelidikan dan projek akademik di hadapan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Saga University. Lawatan ini meningkatkan keyakinan pelajar untuk berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa dan menggalakkan mereka mengembangkan pemikiran kritis dan inovatif.

FUKUOKA, 15 Jun – Seramai 19 pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Lawatan Akademik ke Saga University, Jepun yang berlangsung dari 9 hingga 15 Jun 2026. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha UTM memperkukuh agenda pengantarabangsaan dengan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap budaya akademik, penyelidikan dan persekitaran pembelajaran di peringkat global.

Kesemua peserta merupakan ahli jawatankuasa Kelab Persatuan Mahasiswa Ukur, Tanah dan Geomatik (PEMETA) UTM. Delegasi diketuai dan diiringi oleh LSr Dr. Tan Liat Choon serta Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim yang bertindak sebagai penasihat dan penyelaras program sepanjang lawatan.

Antara pengisian utama program ialah Mini Kolokium UTM–Saga University yang memberi peluang kepada pelajar membentangkan hasil penyelidikan dan projek akademik di hadapan barisan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Saga University. Sesi pembentangan tersebut bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi saintifik pelajar, malah membuka ruang kepada perkongsian idea, pertukaran pandangan dan penerimaan maklum balas daripada pakar antarabangsa.

Sesi Mini Kolokium UTM–Saga University memberi peluang kepada pelajar membentangkan hasil penyelidikan serta menerima maklum balas daripada pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Saga University
Delegasi UTM bersama pensyarah dan pelajar Saga University selepas Mini Kolokium yang memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi

Delegasi Saga University diketuai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Nizam Zakaria bersama Prof. Dr. Nobuo Mishima dan Prof. Dr. Yukihiro Ito. Mereka turut berkongsi kepakaran serta perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan awam, geomatik dan penyelidikan geospatial. Interaksi akademik ini memberi pengalaman bermakna kepada pelajar dalam memahami pendekatan penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang diamalkan di Jepun.

Selain menyertai sesi pembentangan, para pelajar turut berpeluang melawat kemudahan makmal dan pusat penyelidikan di Saga University serta mengikuti sesi perkongsian berkaitan inovasi, teknologi dan pembangunan penyelidikan yang menyokong kemajuan bidang kejuruteraan dan geomatik. Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai budaya kerja, disiplin serta ekosistem pembelajaran di institusi pengajian tinggi Jepun.

Pelajar UTM dan Saga University mengenakan pakaian tradisional masing-masing sempena program pertukaran budaya yang menonjolkan kepelbagaian warisan dan identiti kedua-dua negara

Menurut LSr Dr. Tan Liat Choon, lawatan akademik tersebut berjaya meningkatkan keyakinan pelajar untuk berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa, di samping menggalakkan mereka mengembangkan pemikiran kritis dan inovatif melalui perkongsian ilmu bersama ahli akademik luar negara.

Sementara itu, Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim berkata program seumpama ini merupakan platform penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global. Beliau berkata pengalaman membentangkan hasil penyelidikan di hadapan pakar antarabangsa bukan sahaja meningkatkan kompetensi akademik pelajar, malah memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan jaringan profesional mereka.

Pelajar UTM menjalankan aktiviti amali bersama pelajar Saga University menggunakan peralatan ukur moden sebagai sebahagian daripada perkongsian ilmu dan pengalaman pembelajaran
Pelajar UTM dan Saga University berinteraksi dalam program pertukaran budaya yang mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh persefahaman antara kedua-dua institusi

Lawatan ini turut memperkukuh hubungan akademik yang sedia terjalin antara UTM dan Saga University, selain membuka peluang kepada pelaksanaan program mobiliti pelajar, penyelidikan bersama, pertukaran akademik serta kolaborasi strategik pada masa hadapan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan berfikiran global, memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Explore More

UTM Open Day