📝 Ringkasan
Program Citizen Science Boot Camp 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghimpunkan 107 peserta daripada pelajar dan komuniti Flat Kenari, Kangkar Pulai. Program ini bertemakan “Think Green Live Clean” dan bertujuan memperkenalkan pendekatan Sains Warga (Citizen Science) untuk mendekatkan masyarakat dengan penyelidikan dan inovasi. Peserta telah mengikuti modul-modul seperti “Citizen Science”, “Gaya Hidup Lestari”, “Perlukan Tanaman Hijau dalam Rumah?”, “Kenapa Panas Sangat Sekarang?”, dan “Bersih Tanpa Kimia, Boleh Ke?” yang disampaikan oleh pakar akademik dan pengamal dalam bidang kelestarian, alam sekitar serta Sains Warga. Program ini menunjukkan sinergi antara universiti, sekolah dan komuniti dalam memperluas impak pemindahan ilmu, memperkukuh budaya penyelidikan berasaskan masyarakat serta melahirkan warga yang lebih cakna terhadap isu kelestarian.
JOHOR BAHRU, 25 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperluas pemindahan ilmu dan penyelidikan kepada masyarakat menerusi penganjuran Citizen Science Boot Camp 2026 bertemakan Think Green Live Clean, yang berlangsung di Flat Kenari, Kangkar Pulai.
Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM serta Pejabat Pendidikan Daerah Kulai itu berjaya menghimpunkan seramai 107 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana, SMK Pulai Jaya dan SMK Kangkar Pulai, selain penyertaan komuniti Flat Kenari, Kangkar Pulai.
Mengangkat tema Think Green Live Clean, program ini merupakan inisiatif UTM dalam memperkenalkan pendekatan Sains Warga (Citizen Science) sebagai medium untuk mendekatkan masyarakat dengan penyelidikan dan inovasi melalui penglibatan aktif komuniti dalam memahami isu alam sekitar, mengumpul data serta mencari penyelesaian terhadap cabaran yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM, Khairulbahiyah Yaakub, sebelum disempurnakan penutupannya oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat.

Dalam ucapannya, Khairulbahiyah berkata program tersebut membuktikan bahawa perpustakaan masa kini bukan lagi sekadar pusat penyimpanan dan rujukan ilmu, sebaliknya berperanan sebagai hab pemindahan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang menghubungkan kepakaran universiti dengan masyarakat.
Beliau berkata, melalui pendekatan Sains Warga, Jabatan Perpustakaan UTM berperanan sebagai pemudah cara yang mempertemukan penyelidik, sekolah dan komuniti dalam membina budaya pembelajaran sepanjang hayat serta menghasilkan impak yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Kami percaya perubahan besar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan secara bersama,” katanya.
Program ini menampilkan barisan fasilitator yang terdiri daripada pakar akademik dan pengamal dalam bidang kelestarian, alam sekitar serta Sains Warga. Sesi “Citizen Science” di UTM dikendalikan oleh Khairulbahiyah yang memperkenalkan konsep Sains Warga serta peranannya dalam memperkasakan penyelidikan berasaskan komuniti.

Peserta turut mengikuti sesi “Gaya Hidup Lestari” yang disampaikan oleh Dr. Serina Abdul Rahman, pensyarah dari National University of Singapore (NUS) merangkap Pengasas Bersama dan Penasihat Utama Kelab Alami. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi amalan gaya hidup lestari serta kepentingan penglibatan masyarakat dalam memelihara alam sekitar.
Turut menjayakan program ialah Dr. Maizura Mazlan dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM menerusi modul “Perlukan Tanaman Hijau dalam Rumah?” yang disusuli aktiviti penghasilan terrarium.
Selain itu, Dr. Kelvin Tang Kang Wee dari fakulti yang sama mengendalikan modul “Kenapa Panas Sangat Sekarang?,” yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai pencerapan dan analisis data haba persekitaran. Dr. Amni Haslinda Alpandi dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), UTM pula membimbing peserta menghasilkan bahan pencuci mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya.
Kesemua modul disampaikan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menggabungkan ceramah interaktif, demonstrasi, aktiviti amali dan kajian lapangan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap isu kelestarian, malah membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu secara praktikal melalui pemerhatian, pengumpulan data dan penyelesaian masalah berasaskan bukti.

Penganjuran Citizen Science Boot Camp 2026 turut memperlihatkan bagaimana sinergi antara universiti, sekolah dan komuniti mampu memperluas impak pemindahan ilmu, memperkukuh budaya penyelidikan berasaskan masyarakat serta melahirkan warga yang lebih cakna terhadap isu kelestarian.
Pendekatan Sains Warga yang diketengahkan membolehkan masyarakat berperanan sebagai rakan penyelidik melalui aktiviti pemerhatian, pengumpulan data dan pelaksanaan penyelesaian praktikal terhadap cabaran alam sekitar di peringkat komuniti.
Inisiatif ini selari dengan komitmen UTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan komuniti, SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) menerusi pembangunan komuniti yang lebih berdaya tahan dan lestari, SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) melalui peningkatan kesedaran terhadap perubahan iklim dan usaha mitigasi di peringkat komuniti, serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan mampan.

Seiring aspirasi UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf global, program ini membuktikan bahawa penyelidikan bukan sahaja menghasilkan pengetahuan baharu, malah mampu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Melalui pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan penglibatan komuniti, UTM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang memacu inovasi, memperkasa masyarakat serta membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang.
Jabatan Perpustakaan UTM turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, pihak sekolah, para fasilitator dan komuniti Flat Kenari, Kangkar Pulai atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Program seumpama ini akan terus diperkasakan sebagai platform yang menghubungkan penyelidikan, pendidikan dan masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai hab ilmu yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan negara.