Kesejahteraan mental pelajar perlu jadi keutamaan pemimpin sekolah

SDGSDG3SDG4SDG10SDG16

📝 Ringkasan

Kesejahteraan mental pelajar perlu menjadi keutamaan pemimpin sekolah. Sekolah tidak lagi boleh hanya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi pelajar perlu menjadi keutamaan yang sama penting. Pemimpin sekolah perlu melihat semula definisi kejayaan dan memastikan pelajarnya berasa selamat, dihargai, dihormati dan disayangi.

Setiap kali negara dikejutkan dengan berita kematian pelajar, seluruh masyarakat turut merasai kesedihan. Ibu bapa mula tertanya-tanya sama ada anak mereka benar-benar selamat di sekolah, manakala guru pula mungkin mempersoalkan sama ada terdapat tanda awal yang tidak disedari.

Pengetua dan pemimpin sekolah pastinya turut bertanya sama ada lebih banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan tragedi sedemikian. Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang dan faktor yang berbeza, satu perkara semakin jelas: sekolah tidak lagi boleh hanya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya kesejahteraan mental dan emosi pelajar perlu menjadi keutamaan yang sama penting.

Malaysia telah menyaksikan beberapa insiden menyayat hati yang melibatkan pelajar sekolah dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antara kes yang mendapat perhatian meluas ialah kematian seorang pelajar Tingkatan 1 di Sabah. Tragedi ini mencetuskan persoalan mengenai isu buli, keselamatan pelajar di sekolah berasrama, serta tanggungjawab pihak sekolah dalam melindungi kesejahteraan emosi pelajar. Pada Julai lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden melibatkan seorang pelajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan sekolah. Walaupun siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, insiden sebegini mengingatkan kita bahawa kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian yang serius.

Setiap pelajar membawa cerita kehidupan yang tidak semestinya dapat dilihat. Ada yang bergelut dengan tekanan akademik, konflik keluarga, masalah kewangan, buli, hubungan sosial yang tidak sihat atau tekanan media sosial, sementara ada pula yang memilih memendam perasaan kerana takut dipandang lemah atau merasakan tiada siapa yang memahami mereka. Akibatnya, beban emosi terus ditanggung sehingga mereka mungkin kehilangan harapan.

Dalam konteks ini, pemimpin sekolah perlu melihat semula definisi kejayaan. Kejayaan bukan hanya diukur menerusi keputusan peperiksaan, bilangan pelajar cemerlang atau kemenangan pertandingan, sebaliknya sekolah yang benar-benar berjaya ialah sekolah yang memastikan pelajarnya berasa selamat, dihargai, dihormati dan disayangi. Pengetua dan guru besar memainkan peranan penting dalam membentuk budaya tersebut, kerana apabila nilai kasih sayang, empati, hormat-menghormati dan kesejahteraan mental diterapkan dalam dasar serta tindakan, pelajar akan lebih yakin bahawa sekolah ialah tempat yang selamat untuk mendapatkan bantuan.

Guru pula merupakan individu yang paling hampir dengan pelajar setiap hari, dan berpeluang melihat perubahan tingkah laku seperti menjadi pendiam, sering ponteng, kehilangan minat belajar, mudah marah atau mengalami kemerosotan prestasi. Perubahan ini tidak seharusnya dianggap sebagai masalah disiplin semata-mata, sebaliknya guru perlu mendekati pelajar dengan empati. Namun, guru tidak boleh dipertanggungjawabkan bersendirian; pemimpin sekolah perlu menyediakan latihan asas supaya guru dapat mengenal pasti tanda awal masalah mental, memberi sokongan awal dan membuat rujukan kepada pihak yang berkelayakan.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling juga perlu diperkasakan. Kaunseling tidak sepatutnya dilihat sebagai perkhidmatan untuk pelajar bermasalah sahaja, sebaliknya perlu menjadi perkhidmatan yang mesra, mudah diakses dan diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan sekolah. Pelajar perlu berasa selesa mendapatkan bantuan berkaitan tekanan pembelajaran, konflik persahabatan, masalah keluarga atau kebimbangan masa depan tanpa takut dilabel atau dihukum.

Isu buli juga perlu ditangani secara tegas dan menyeluruh. Buli kini bukan sahaja berlaku secara bersemuka, tetapi juga menerusi media sosial, penghinaan, fitnah serta gangguan berterusan boleh meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Oleh itu, sekolah perlu mempunyai dasar anti-buli yang jelas meliputi buli fizikal, verbal dan siber, serta memastikan setiap aduan disiasat secara segera dan adil, manakala pelajar juga perlu berani melaporkan kejadian tanpa takut terhadap tindakan balas.

Tekanan akademik turut tidak boleh dipandang ringan. Kecemerlangan penting, tetapi nilai diri pelajar tidak seharusnya ditentukan oleh gred semata-mata. Pemimpin sekolah perlu menghargai pencapaian dalam kepimpinan, sukan, kesenian, inovasi, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah, memandangkan setiap pelajar mempunyai bakat dan potensi yang berbeza.

Kerjasama antara sekolah dan ibu bapa juga amat penting. Komunikasi yang berterusan, program keibubapaan, seminar kesihatan mental dan sesi dialog dapat membantu keluarga memahami cabaran emosi remaja. Pada masa yang sama, program mentor-menti, pembimbing rakan sebaya dan duta kesejahteraan mental boleh membina budaya saling mengambil berat, manakala pelajar perlu diajar bahawa sebarang tanda ingin mencederakan diri atau kehilangan harapan perlu segera dimaklumkan kepada orang dewasa yang dipercayai.

Yang paling penting, sekolah perlu beralih daripada pendekatan bertindak selepas tragedi kepada pencegahan berterusan. Pendidikan kesejahteraan mental perlu menjadi sebahagian daripada budaya sekolah menerusi aktiviti kokurikulum, latihan guru, pembangunan kepimpinan pelajar dan pelan strategik sekolah. Membina sekolah yang penyayang tidak semestinya memerlukan kos tinggi; kadangkala, perubahan bermula daripada tindakan kecil seperti guru bertanya khabar, pengetua mendengar, rakan memberi sokongan, dan kaunselor menyediakan ruang tanpa menghakimi.

Setiap pelajar berhak belajar dalam persekitaran yang selamat, penyayang dan menyokong perkembangan emosi. Kecemerlangan akademik dan kesejahteraan mental bukan matlamat yang bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring. Tragedi yang berlaku tidak seharusnya hanya meninggalkan kesedihan dan simpati, tetapi perlu menjadi titik perubahan kepada semua pihak untuk bertindak lebih proaktif. Pemimpin sekolah mempunyai peluang menjadikan sekolah tempat setiap pelajar berasa dihargai, didengari dan disayangi. Inilah bentuk kepimpinan pendidikan yang penting pada hari ini, iaitu bukan sekadar membina kecemerlangan akademik, tetapi turut menjaga kesejahteraan, menyelamatkan harapan dan melindungi masa depan anak-anak kita bersama.

Explore More

UTM Open Day