Fizik di sebalik teknologi 5G yang mengubah dunia komunikasi

SDGSDG9SDG11SDG12

📝 Ringkasan

Teknologi komunikasi mudah alih telah berkembang pesat dari generasi pertama (1G) hingga generasi kelima (5G). 5G menawarkan kadar penghantaran data yang lebih tinggi, kependaman yang lebih rendah serta kapasiti rangkaian yang lebih besar berbanding generasi sebelumnya. Pembangunan 5G bergantung sepenuhnya pada prinsip fizik seperti gelombang elektromagnet, spektrum frekuensi, perambatan isyarat, pelemahan gelombang, antena, Massive MIMO dan beamforming. Gabungan prinsip-prinsip ini membolehkan rangkaian 5G menawarkan komunikasi yang lebih pantas, stabil dan hampir masa nyata.

Teknologi komunikasi mudah alih telah berkembang pesat daripada rangkaian generasi pertama (1G) sehingga generasi kelima (5G), seiring dengan peningkatan keperluan masyarakat terhadap komunikasi digital yang lebih pantas, stabil dan cekap. Jika 1G hanya menyokong komunikasi suara analog, 2G memperkenalkan komunikasi digital dan pesanan teks, manakala 3G membolehkan akses internet mudah alih serta panggilan video. Evolusi itu diteruskan melalui 4G yang menawarkan internet berkelajuan tinggi bagi menyokong penstriman dan pelbagai aplikasi dalam talian. Kini, 5G tampil sebagai teknologi komunikasi generasi baharu yang mampu menyediakan kadar penghantaran data lebih tinggi, kependaman lebih rendah serta kapasiti rangkaian yang jauh lebih besar berbanding generasi terdahulu.

Di sebalik keupayaan tersebut, pembangunan 5G bergantung sepenuhnya pada prinsip fizik. Antara konsep utama yang menjadi asas teknologi ini ialah gelombang elektromagnet, spektrum frekuensi, perambatan isyarat, pelemahan gelombang, reka bentuk antena, interferens, Massive Multiple Input Multiple Output (Massive MIMO) dan beamforming. Gabungan prinsip-prinsip ini membolehkan rangkaian 5G menawarkan komunikasi yang lebih pantas, stabil dan hampir masa nyata.

Gelombang elektromagnet merupakan asas kepada semua sistem komunikasi tanpa wayar. Gelombang ini terdiri daripada medan elektrik dan medan magnet yang bergetar secara serenjang antara satu sama lain serta merambat melalui ruang pada kelajuan cahaya. Spektrum elektromagnet merangkumi pelbagai jenis gelombang, termasuk gelombang radio, gelombang mikro dan inframerah. Dalam sistem komunikasi mudah alih, gelombang radio dan gelombang mikro digunakan sebagai pembawa maklumat seperti suara, video dan data daripada pemancar kepada penerima.

Sebelum dihantar, maklumat digital dimodulasikan pada gelombang pembawa dan dipancarkan melalui antena. Gelombang tersebut bergerak melalui ruang sebelum diterima oleh antena penerima, seterusnya dinyahmodulasikan semula kepada maklumat asal. Gelombang radio berfrekuensi rendah mampu merambat pada jarak yang lebih jauh serta menembusi halangan dengan lebih berkesan. Oleh itu, frekuensi ini banyak digunakan dalam komunikasi mudah alih, satelit dan Wi-Fi.

Bagi memenuhi keperluan komunikasi moden, 5G menggunakan tiga kategori jalur frekuensi, iaitu jalur rendah, jalur pertengahan dan jalur tinggi. Jalur rendah menawarkan liputan yang luas serta keupayaan menembusi bangunan, namun kelajuan penghantarannya lebih sederhana. Jalur pertengahan pula memberikan keseimbangan antara liputan, kapasiti dan kelajuan. Sebaliknya, jalur tinggi yang merangkumi gelombang milimeter mampu menyediakan kadar penghantaran data yang sangat tinggi, tetapi mempunyai jarak liputan yang lebih pendek dan lebih mudah dihalang oleh bangunan, pokok serta keadaan cuaca. Oleh sebab itu, ketiga-tiga jalur frekuensi digunakan secara saling melengkapi bagi memastikan perkhidmatan yang pantas, stabil dan berkapasiti tinggi.

Selain pemilihan frekuensi, perambatan isyarat turut memainkan peranan penting dalam prestasi rangkaian. Perambatan isyarat merujuk kepada proses gelombang elektromagnet bergerak dari antena pemancar ke antena penerima. Sepanjang perjalanan tersebut, kekuatan isyarat boleh berkurang akibat pelemahan, penyerapan atmosfera, pantulan, pembelauan dan penyerakan. Bangunan, dinding, pokok serta keadaan cuaca juga mempengaruhi kualiti isyarat, terutama pada frekuensi tinggi yang mempunyai panjang gelombang lebih pendek. Bagi mengatasi cabaran ini, rangkaian 5G menggunakan lebih banyak stesen pangkalan bersaiz kecil atau small cells yang ditempatkan lebih hampir dengan pengguna.

Dalam sistem komunikasi, antena berfungsi menukarkan isyarat elektrik kepada gelombang elektromagnet dan sebaliknya. Teknologi 5G menggunakan Massive MIMO, iaitu sistem yang menggabungkan sejumlah besar antena bagi menghantar dan menerima beberapa aliran data secara serentak. Pendekatan ini meningkatkan kapasiti rangkaian, kecekapan penggunaan spektrum dan bilangan pengguna yang boleh dilayani pada satu-satu masa.

Keupayaan Massive MIMO dipertingkatkan lagi melalui teknologi beamforming yang memanfaatkan prinsip interferens gelombang untuk memfokuskan isyarat ke arah pengguna tertentu. Berbeza dengan kaedah konvensional yang memancarkan isyarat ke semua arah, beamforming membolehkan tenaga isyarat disalurkan secara lebih tepat kepada pengguna sasaran. Hasilnya, kekuatan isyarat meningkat, gangguan berkurang, penggunaan tenaga menjadi lebih cekap dan liputan rangkaian dapat dipertingkatkan.

Dua ciri utama yang membezakan 5G daripada generasi sebelumnya ialah kelajuan penghantaran data yang tinggi dan kependaman yang rendah. Kelajuan internet merujuk kepada kadar penghantaran data antara peranti dengan rangkaian, manakala kependaman ialah tempoh masa yang diperlukan oleh data untuk bergerak dari penghantar ke penerima dan kembali semula. Kelajuan yang tinggi membolehkan proses muat turun, muat naik dan penstriman dilakukan dengan lebih pantas. Pada masa yang sama, kependaman yang rendah amat penting bagi aplikasi yang memerlukan respons segera seperti permainan dalam talian, persidangan video dan kenderaan autonomi. Walaupun gelombang elektromagnet bergerak hampir pada kelajuan cahaya, kelewatan masih boleh berlaku akibat pemprosesan isyarat, kesesakan rangkaian serta jarak penghantaran.

Keupayaan ini membolehkan 5G menyokong pelbagai aplikasi yang semakin berkembang. Internet Benda (IoT) menghubungkan pelbagai peranti pintar dalam sektor kediaman, perindustrian dan penjagaan kesihatan. Kenderaan autonomi pula memerlukan komunikasi yang pantas bagi membolehkan pertukaran maklumat berkaitan kedudukan, halangan dan keadaan trafik secara masa nyata. Selain itu, aplikasi Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR) memerlukan penghantaran data berkelajuan tinggi bagi memastikan paparan imej digital berlaku secara lancar tanpa kelewatan.

Teknologi 5G juga menjadi pemacu utama pembangunan bandar pintar. Rangkaian sensor pintar membolehkan pemantauan trafik, penggunaan tenaga, keselamatan awam dan alam sekitar dilaksanakan secara lebih cekap. Dalam sektor perindustrian pula, 5G menghubungkan robot, mesin dan sistem automasi bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi. Perkembangan ini membuktikan bahawa prinsip fizik bukan sekadar konsep teori di bilik kuliah, sebaliknya menjadi asas kepada pelbagai teknologi yang menyokong kehidupan moden.

Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, pembangunan rangkaian 5G masih berdepan beberapa cabaran. Isyarat berfrekuensi tinggi mengalami pelemahan yang lebih ketara, mempunyai jarak liputan yang lebih pendek dan mudah dihalang oleh objek fizikal. Di samping itu, pembinaan small cells memerlukan kos yang tinggi serta perancangan infrastruktur yang teliti. Jurutera juga perlu mengurus interferens melalui pengagihan spektrum, kawalan kuasa, pemprosesan isyarat dan reka bentuk antena yang lebih efisien.

Pada masa hadapan, penyelidikan dijangka beralih kepada pembangunan teknologi 6G yang berpotensi menggunakan spektrum terahertz bagi mencapai kadar penghantaran data yang lebih tinggi dan kependaman yang lebih rendah. Antara inovasi yang sedang diteroka termasuk pengurusan rangkaian berasaskan kecerdasan buatan, permukaan pemantul pintar (intelligent reflecting surfaces), komunikasi dan penderiaan bersepadu serta integrasi rangkaian satelit dengan rangkaian daratan. Teknologi ini dijangka menjadikan sistem komunikasi masa hadapan lebih pintar, stabil dan cekap.

Kesimpulannya, kejayaan pembangunan teknologi 5G berpaksikan prinsip fizik yang melibatkan gelombang elektromagnet, spektrum frekuensi, perambatan isyarat, pelemahan gelombang, antena, Massive MIMO dan beamforming. Gabungan prinsip-prinsip tersebut membolehkan 5G menawarkan komunikasi berkelajuan tinggi, kependaman rendah, kapasiti rangkaian yang besar serta sambungan yang lebih stabil. Seiring dengan peningkatan keperluan terhadap komunikasi digital dan pembangunan teknologi 6G, fizik akan terus menjadi pemacu utama inovasi dalam bidang telekomunikasi, sekali gus membentuk masa depan industri, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan pembangunan bandar pintar.

 

 

Oleh Fatin Shaqira Abdul Hadi dan Nur ‘Ain Najihah Maarof, Pensyarah Pusat Pengajian Ijazah, SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day