📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Polygon Synergy Ventures Sdn. Bhd. (PSV) dalam bidang penyelidikan minyak dan gas. Perjanjian ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, serta membuka ruang bagi penyelidik, pelajar dan pihak industri untuk berkongsi kepakaran dan melaksanakan projek bersama. Kerjasama ini dijangka membuka peluang kolaborasi yang dapat menyumbang kepada kemajuan industri minyak dan gas serta pembangunan teknologi negara pada masa hadapan.
JOHOR BAHRU, 10 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Polygon Synergy Ventures Sdn. Bhd. (PSV) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Majlis yang dianjurkan oleh UTM-MPRC Institut untuk Minyak dan Gas (UTM-MPRC IOG) itu dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Ketua Pegawai Bisnes PSV, Mohd Riduan Ahmad; Pengarah UTM-MPRC IOG, Prof. Madya Dr. Agus Arsad; pegawai-pegawai kanan universiti, ahli akademik, wakil industri serta jemputan khas.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak PSV atas kesediaan menjalinkan kerjasama strategik bersama UTM.
Beliau menyatakan bahawa pemeteraian perjanjian tersebut merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, khususnya dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi berkaitan sektor minyak dan gas. Menurut beliau, kerjasama yang terjalin turut membuka ruang kepada penyelidik, pelajar dan pihak industri untuk berkongsi kepakaran, melaksanakan projek bersama serta menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada industri dan negara.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Mohd Riduan Ahmad yang menzahirkan penghargaan kepada UTM atas kepercayaan yang diberikan kepada PSV sebagai rakan strategik industri. Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi antara akademia dan industri dalam mempercepatkan pembangunan teknologi, inovasi serta pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Kerjasama antara UTM dan PSV sebelum ini telah membuahkan hasil melalui pelaksanaan projek penyelidikan bersama bernilai RM163,000, tajaan pengajian pelajar Sarjana, peluang latihan industri serta penyeliaan projek pelajar tahun akhir melalui Program UNIX. Selain itu, proses penambahbaikan Makmal Satelit PSV di UTM kini sedang dilaksanakan hasil sumbangan dana sebanyak RM20,000 daripada pihak PSV.
Penubuhan Makmal Satelit PSV di UTM turut menjadi antara fokus utama kerjasama ini, sekali gus menyediakan platform yang lebih kondusif untuk pelaksanaan projek bersama, pemindahan teknologi, latihan industri serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Acara kemuncak majlis menyaksikan sesi penandatanganan MoA antara UTM dan PSV yang menandakan permulaan kepada kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi. Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memperluaskan aktiviti penyelidikan, pembangunan teknologi, inovasi serta pembangunan modal insan yang selaras dengan keperluan industri semasa. Kedua-dua pihak turut berhasrat mewujudkan platform yang lebih kukuh bagi pelaksanaan aktiviti penyelidikan, perkongsian kepakaran teknikal serta inisiatif yang dapat memberi nilai tambah kepada ekosistem industri minyak dan gas negara.

Pemeteraian MoA ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh jaringan kerjasama industri bagi memperkasakan agenda penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat. Kerjasama antara UTM dan PSV dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang dapat menyumbang kepada kemajuan industri minyak dan gas serta pembangunan teknologi negara pada masa hadapan.