UTM dan ISN meterai kerjasama strategik bagi perkasa Sijil Profesional AI dalam teknologi sukan

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan Sijil Profesional Kecerdasan Buatan (AI) dalam Teknologi Sukan, menjadi universiti pertama di Malaysia untuk melakukannya. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang analitik data, biomekanik sukan, dan Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan prestasi sukan negara. Program ini akan melibatkan kerjasama antara UTM dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengintegrasikan teknologi canggih dalam pembangunan atlet dan sukan.

PUTRAJAYA, 5 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di negara ini yang memperkenalkan Sijil Profesional Kecerdasan Buatan (AI) dalam Teknologi Sukan. Inisiatif ini mencerminkan usaha UTM dalam memperluas kepakaran bidang AI ke dalam ekosistem sukan negara, seiring dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia.

Langkah ini diambil memandangkan keperluan mendesak untuk mengintegrasikan teknologi dalam pembangunan atlet dan sukan negara, selaras dengan perkembangan era Sukan 4.0 yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang analitik data, biomekanik sukan dan Internet Kebendaan (IoT).

Majlis Perasmian Sijil Profesional AI Sukan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Anak Bimol

Kerjasama strategik ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSPACE) dan Institut Sukan Negara (ISN), bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan pendidikan profesional, teknologi, inovasi serta sains sukan di Malaysia. Dengan menggabungkan kekuatan UTMSPACE sebagai penyedia pendidikan berterusan dan kepakaran teknikal ISN dalam sukan prestasi tinggi, program ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi industri sukan negara.

Majlis menandatangani MoU antara ISN dan UTMSPACE disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Anak Bimol

Struktur program ini dirangka secara komprehensif merangkumi enam modul utama yang menyentuh pelbagai aspek dalam bidang sukan dan teknologi. Antaranya termasuklah modul Inovasi dan Teknologi Sukan, Biomekanik Sukan dan Analisis Pergerakan, serta Analisis Prestasi Sukan yang melibatkan penggunaan teknologi dron. Selain itu, peserta juga akan didedahkan kepada bidang Perubatan Sukan, Sains Sukan merangkumi nutrisi dan fisiologi, serta aplikasi Sukan 4.0 seperti realiti maya (VR) dan AI.

Program ini dikendalikan oleh barisan pakar UTM yang terdiri daripada Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Ts. Dr. Mohd Najeb Jamaludin dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Dr. Mohd Syahid Mohd Anuar dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), bersama pakar teknikal dari ISN seperti Dr. Azril Syazwan Mohd Ali dan Siti Fuzyma Ayu Mohd Kassim.

Pendekatan pembelajaran yang digunakan ialah kaedah pembelajaran bercampur yang mengutamakan latihan praktikal, dengan nisbah satu jam teori kepada tiga jam amali. Para peserta akan mendapat pendedahan praktikal yang menyeluruh di lokasi strategik termasuk Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Pasukan pembina modul Sijil Profesional AI Sukan bersama wakil UTM dan ISN

Sasaran utama program ini merangkumi pelbagai kumpulan dalam ekosistem sukan negara, termasuklah atlet, jurulatih, pegawai sukan, graduan serta penggiat industri kecergasan. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan tenaga profesional yang kompeten dalam bidang teknologi sukan, analisis data sukan dan sains sukan bagi memastikan setiap bakat sukan negara dapat dioptimumkan prestasinya melalui pendekatan berasaskan data.

Pusat Satelit ISN-UTM dalam bidang teknologi sukan

Selain pensijilan profesional, program ini turut menyediakan laluan akademik yang berstruktur dan progresif. Peserta berpeluang melanjutkan pengajian daripada peringkat Diploma Profesional hinggalah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang berkaitan Teknologi dan Sains Sukan, bergantung kepada sambutan yang diterima. Laluan pendidikan ini diharap dapat meningkatkan kompetensi individu serta memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Bengkel Pemantapan Sijil Profesional AI Sukan yang diadakan bagi memperhalusi kandungan modul program

Melalui inisiatif ini, UTM dan ISN berusaha membangunkan tenaga profesional yang mampu menyokong pembangunan sukan negara secara lebih sistematik dan berasaskan teknologi, sejajar dengan hala tuju pembangunan modal insan dalam industri sukan tanah air.

Explore More

UTM Open Day