📝 Ringkasan
Program Literasi dan Numerasi (PLaN) yang ditaja PETRONAS dan Pengerang Terminal Two akan diteruskan sehingga 2027. Program ini bertujuan meningkatkan penguasaan asas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik di kalangan murid sekolah rendah di Pengerang. Program ini akan memberi tumpuan kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dan akan melibatkan 10 buah sekolah rendah.
JOHOR BAHRU, 22 Mei — Satu perbincangan strategik bagi kesinambungan pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (PLaN) telah berjaya diadakan melibatkan kerjasama antara Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama PETRONAS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi dalam usaha memperkukuh literasi dan numerasi murid sekolah rendah di sekitar Pengerang.
Program tajaan PETRONAS dan Pengerang Terminal Two dengan sokongan Yayasan Makmur Pengerang ini telah dilaksanakan sejak tahun 2024. Ia merupakan satu inisiatif pendidikan berterusan yang memfokuskan kepada penguasaan asas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik dalam kalangan murid sekolah rendah. Sepanjang tempoh tiga tahun pelaksanaan program bermula 2024 hingga 2026, pelbagai usaha telah dijalankan bagi membantu meningkatkan kefahaman dan keyakinan murid terhadap subjek teras melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan berfokus.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah telah terlibat dalam program ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Punggai, SK Sungai Kapal, SK Teluk Ramunia, SK Pengerang, SK Sungai Rengit, SK Tanjung Pengelih dan SK Lepau, serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) Peay Min, SJK(C) Yok Poon dan SJK(C) Tai Sin. Program ini memberi tumpuan kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.
Dalam pelaksanaan program ini, modul-modul pembelajaran bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik telah dibangunkan sebagai bahan sokongan utama pembelajaran. Modul yang dibina memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, mudah difahami serta mampu meningkatkan penglibatan aktif murid di dalam bilik darjah.
Di dalam modul ini juga diterapkan pendekatan amali dan pemikiran melalui pelbagai aktiviti seperti pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), eksplorasi komik serta penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kehidupan seharian murid bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan bermakna. Pendekatan ini seterusnya membantu murid menghubung kaitkan konsep pembelajaran dengan situasi dunia sebenar.

Susulan impak positif yang diperoleh sepanjang pelaksanaan program, kerjasama ini dirancang untuk diteruskan bagi tempoh 2026 hingga 2027 dengan memberi fokus khusus kepada murid TUNAS (Tingkatkan Usaha Nadi Anak Sukses), iaitu kumpulan murid yang memerlukan sokongan tambahan dalam penguasaan kemahiran asas pembelajaran. Fokus ini diharap dapat membantu murid meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi secara berperingkat.


Dalam masa yang sama, program lanjutan ini turut menekankan aspek pembangunan profesionalisme guru melalui pelaksanaan bengkel pemantapan pedagogi dan pembangunan modul pengajaran inovatif. Bengkel yang dirancang akan memberi pendedahan kepada guru berkaitan strategi pengajaran yang lebih kreatif, berkesan dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran semasa murid.
Melalui pelaksanaan program ini juga, guru-guru akan dibimbing dalam pembangunan dan pelaksanaan modul pengajaran inovatif yang dapat digunakan secara berterusan di sekolah masing-masing. Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah membantu memperkukuh amalan pengajaran guru secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Sebagai tanda kesinambungan dan kelestarian program, semua modul pembelajaran murid serta modul pengajaran guru yang dibangunkan sepanjang pelaksanaan program dijangka akan diserahkan kepada pihak sekolah dan PPD Kota Tinggi pada akhir program nanti. Penyerahan ini diharap dapat memastikan manfaat program terus diperluaskan dan dimanfaatkan secara berterusan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di daerah Kota Tinggi.
Kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pendidikan ini diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan yang lebih inklusif, berkualiti dan mampu memberi impak positif kepada masa depan murid sekolah rendah di kawasan Pengerang.
Penulis bersama Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim dan Prof. Dr. Johari Surif