📝 Ringkasan
Program SUKRA PERDANA di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghimpunkan 118 murid sekolah rendah dari daerah Kulai untuk menghidupkan semula permainan tradisional. Program ini melibatkan tujuh buah sekolah rendah dan menawarkan pelbagai acara menarik, termasuk permainan individu dan berkumpulan. Program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan tradisional sebagai warisan budaya dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan peserta.
JOHOR BAHRU, 25 April – Suasana di Dewan Astana, Kolej Tunku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi meriah apabila program Sukan Rakyat Perdana (SUKRA PERDANA) berjaya menghimpunkan seramai 118 murid sekolah rendah dari daerah Kulai dalam usaha menghidupkan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan.
Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Perdana dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai itu melibatkan tujuh buah sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2, SK Kulai, SK Taman Pulai Emas, SK Bandar Putra, SK Sri Pulai Perdana, SK Senai dan SK Kangkar Pulai.
Majlis perasmian SUKRA PERDANA telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Menengah dan Tingkatan 6 Daerah Kulai, Zharif Safwan Zakaria, yang turut menekankan kepentingan memupuk minat terhadap sukan tradisional dalam kalangan generasi muda.
Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan sukan tradisional kepada generasi muda sebagai warisan budaya, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan peserta. Program ini juga bertujuan menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat kesukanan, kerjasama, perpaduan dan disiplin, selain memberi pengalaman pembelajaran tidak formal melalui penglibatan dalam aktiviti sukan rakyat.
Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan, merangkumi kategori individu dan berkumpulan. Bagi kategori individu, peserta berentap dalam permainan seperti batu seremban, congkak, sepak yem, ting-ting dan kad warisan. Bagi acara berkumpulan pula, pertandingan melibatkan lari dalam guni, tarik tali, boling kelapa, bola beracun dan tapak gajah.
Program ini turut diserikan dengan pertunjukan sukan lawan pedang yang diperkenalkan oleh Kelab Lawan Pedang Senai sebagai usaha memperkenalkan sukan tersebut kepada para pengunjung. Demonstrasi tersebut berjaya menarik perhatian ramai dan memberi pendedahan awal kepada peserta serta orang ramai mengenai sukan yang kurang popular tetapi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Keunikan program ini terserlah apabila ramai peserta berpeluang mencuba permainan tradisional yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini. SUKRA PERDANA turut berperanan sebagai platform interaksi sosial antara murid dari pelbagai sekolah, sekali gus memupuk semangat kerjasama, kesukanan dan perpaduan.
Dalam masa yang sama, program ini juga dilihat sebagai usaha signifikan pihak universiti dalam mengangkat kembali nilai warisan tempatan agar terus relevan dalam kalangan generasi masa kini, di samping membantu membentuk gaya hidup aktif dalam kalangan kanak-kanak melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan.

Sambutan orang ramai terhadap program ini amat menggalakkan. Salah seorang ibu bapa peserta, Leeyana Aziz, menyambut baik penganjuran program tersebut dan berharap agar lebih banyak program seumpamanya dapat dianjurkan pada masa hadapan.
“Program seperti ini sangat bagus kerana anak-anak bukan sahaja berseronok, malah dapat mengenali permainan tradisional yang semakin dilupakan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang guru yang hadir, Atiqah, mengakui bahawa beliau sendiri baru pertama kali mengetahui tentang permainan seperti tapak gajah dan kad warisan melalui program tersebut.
“Saya pun baru tahu permainan ini wujud. Ini menunjukkan betapa pentingnya program seperti ini untuk memperkenalkan semula warisan kita,” ujarnya.
Salah seorang peserta turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menyertai pertandingan tersebut buat pertama kali.
“Saya sangat seronok sebab dapat bermain permainan baru seperti tapak gajah dan sepak yem. Harap boleh ada lagi program seperti ini,” katanya.

Menurut Pengarah Program, Nur Syazwani Kasmuni, SUKRA PERDANA telah berjaya mencapai objektifnya berdasarkan maklum balas yang amat positif daripada ibu bapa dan guru. Beliau berkata rata-rata mereka menyambut baik program seumpama ini dan berharap agar ia dapat diteruskan serta diperluas pada masa akan datang supaya permainan tradisional ini kekal relevan dan tidak luput ditelan zaman.
Dalam acara penutup, SK Kangkar Pulai 2 telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, sekali gus membawa pulang piala kemenangan dan sijil penyertaan. Hadiah telah disampaikan oleh Pengetua Kolej Perdana, Prof. Madya Ir. Dr. Jasrul Jamani Jamian, bersama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Menengah dan Tingkatan 6 Daerah Kulai, Zharif Safwan Zakaria.

Secara keseluruhannya, SUKRA PERDANA bukan sahaja berjaya menghidupkan semula sukan rakyat, malah membuktikan bahawa warisan budaya masih mampu menarik minat generasi muda apabila dipersembahkan melalui pendekatan yang kreatif dan interaktif.
