📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan program komuniti KTP-RIG di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak untuk memperkasa kesedaran dan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan guru dan pelajar. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kemahiran warga sekolah terhadap penggunaan teknologi AI dalam pendidikan. Guru dan pelajar telah terlibat dalam pertandingan penggunaan alatan AI dan sesi demonstrasi industri untuk memahami aplikasi teknologi dan penyelesaian AI dalam dunia sebenar. Program ini diharapkan dapat membantu guru menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih kreatif dan memudahkan pemahaman pelajar.
KUALA LUMPUR, 23 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa komuniti sekolah melalui penganjuran program pemantauan penggunaan alatan Kecerdasan Buatan (AI) bersama guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak.
Program ini dilaksanakan di bawah geran Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (UTM KTP-RIG) bertajuk Transformasi Pendidikan Melalui Kesedaran dan Kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) dalam Komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak. Inisiatif ini bertujuan memantau keberkesanan pelaksanaan program pemindahan ilmu yang telah dijalankan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kemahiran warga sekolah terhadap penggunaan teknologi AI dalam pendidikan.
Program tersebut diketuai oleh Ts. Dr. Normaisharah Mamat selaku ketua program. Turut terlibat ialah ketua-ketua subprojek iaitu Ts. Dr. Normaisharah Mamat, Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali dan Dr. Siti Maherah Hussin. Kehadiran barisan penyelidik UTM ini mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan ilmu dan kepakaran berkaitan teknologi AI dapat dipindahkan secara berkesan kepada komuniti sekolah.

Program pemantauan ini memberi tumpuan kepada tiga aktiviti iaitu pertandingan penggunaan alatan AI dalam kalangan guru bagi tujuan pengajaran dan penyediaan bahan pembelajaran, pertandingan pengintegrasian teknologi Realiti Tertambah atau Augmented Reality (AR) dalam pendidikan AI dan penganjuran Google Colab Competition for AI-Based ProblemSolving yang memberi fokus kepada penglibatan pelajar dalam aplikasi teknologi AI melalui pendekatan berasaskan data.
Melalui ketiga-tiga pertandingan ini, guru dan juga pelajar diberi peluang menonjolkan kreativiti, kefahaman serta keupayaan mereka dalam mengaplikasikan teknologi digital secara praktikal dalam konteks pendidikan.
Bagi subprojek Pemantauan Penggunaan Alatan AI dalam Kalangan Guru bagi Pengajaran dan Penyediaan Bahan Pembelajaran, pertandingan ciptaan video pengajaran menggunakan alatan AI telah dianjurkan bagi menilai tahap kesediaan dan kemahiran guru dalam menghasilkan bahan pengajaran yang lebih menarik, interaktif dan selaras dengan keperluan pembelajaran semasa.
Inisiatif ini turut menggalakkan guru meneroka potensi AI dalam merancang, membina dan menyampaikan kandungan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Bagi pertandingan pengintegrasian teknologi Realiti Tertambah atau Augmented Reality (AR) dalam pendidikan AI, aktiviti ini dianjurkan bagi menilai tahap kefahaman dan keupayaan peserta dalam menggabungkan elemen AR dengan konsep pembelajaran berasaskan AI.
Melalui pendekatan ini, peserta diberi peluang untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik, sekali gus membantu meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Inisiatif ini turut mendorong penerokaan teknologi AR sebagai medium sokongan dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara lebih visual dan mudah difahami.

Bagi Google Colab Competition for AI-Based Problem Solving, pertandingan ini dianjurkan bagi memperkukuh penglibatan pelajar dalam aplikasi teknologi AI melalui pendekatan berasaskan data. Ia merupakan sebahagian daripada subprojek “Meningkatkan Kesedaran Pelajar Sekolah Mengenai Teknologi AI dan Hala Tuju Kerjaya Masa Depan”.
Peserta melaksanakan projek secara individu dengan membina set data sendiri serta menjalankan analisis asas seperti pengiraan purata, nilai minimum dan maksimum di samping menggunakan logik mudah seperti if-else dan menghasilkan visualisasi dalam bentuk carta. Peserta turut menyediakan laporan ringkas bagi menerangkan dapatan dan pembelajaran yang diperoleh. Penganjuran pertandingan ini membantu pelajar memahami penggunaan data dalam menyelesaikan masalah harian serta meningkatkan minat terhadap bidang teknologi dan potensi kerjaya dalam AI.

Selain pertandingan, program ini turut menampilkan sesi demonstrasi dan showcase industri oleh TrackerHero yang disampaikan oleh Afiq Danial bersama Muhammad Zubair dan Aqmar Muqhlis. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan teknologi serta penyelesaian AI dalam dunia sebenar, khususnya dalam meningkatkan keselamatan bandar dan komuniti. Perkongsian tersebut membolehkan guru dan pelajar memahami bahawa AI bukan sahaja relevan dalam bilik darjah, malah turut memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor kehidupan masa hadapan.

Menurut pasukan pelaksana program, inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu kepada warga sekolah, tetapi juga membina keyakinan serta kesediaan komuniti pendidikan dalam menghadapi perubahan landskap pembelajaran yang semakin dipacu teknologi. Penggunaan AI dalam pendidikan dilihat mampu membantu guru menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih kreatif, memudahkan pemahaman pelajar serta meningkatkan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna.
Program ini turut menjadi platform penting bagi UTM menilai impak pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu yang telah dijalankan sebelum ini. Melalui sesi pemantauan, maklum balas dan hasil pertandingan, pasukan penyelidik dapat mengenal pasti tahap penerimaan, keberkesanan serta ruang penambahbaikan program pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program komuniti ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara universiti, sekolah dan industri mampu memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan digital. Usaha ini selari dengan hasrat UTM untuk terus menyumbang kepakaran penyelidikan dan inovasi kepada masyarakat melalui program pemindahan ilmu yang berimpak tinggi, mampan dan relevan dengan keperluan semasa.
Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh kesedaran AI dalam kalangan guru dan pelajar, sekali gus menyokong pembentukan komuniti sekolah yang lebih bersedia, kreatif dan berdaya saing dalam era transformasi digital.
Oleh Ts. Dr. Normaisharah Mamat dan Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali