Program Kasih Titipan santuni komuniti KAYFAZ melalui inisiatif tanggungjawab sosial mahasiswa

SDGSDG4SDG8SDG11SDG17

📝 Ringkasan

Program Kasih Titipan anjuran Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kelab Geoinformatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung di Kompleks Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah (KAYFAZ), Melaka. Program ini melibatkan 38 orang anak yatim dan 58 orang mahasiswa dari pelbagai institusi. Mereka melakukan aktiviti interaktif, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kompleks, dan menyampaikan hadiah, cenderahati dan duit raya kepada para peserta. Program ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, memupuk nilai keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

JOHOR BAHRU, 11 April – Program Kasih Titipan: Kunjungan Mesra Bersama anjuran Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Geoinformatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta rakan kolaborasi lain telah berlangsung di Kompleks Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah (KAYFAZ), Melaka, baru-baru ini.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang anak yatim bersama 58 orang mahasiswa daripada pelbagai institusi, termasuk 18 pelajar Kelab Geoinformatik UTM, 28 ahli Persatuan Geografi UPSI (PERGEO), lima pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggung Ibrahim serta tujuh ahli Pembimbing Rakan Siswa (PRS) UPSI.

Penganjuran program di KAYFAZ ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan di samping memupuk nilai keprihatinan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Sepanjang program, peserta turut mengikuti sesi ramah mesra bersama warga KAYFAZ yang disusuli ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur, wakil institusi serta wakil pusat kebajikan berkenaan.

Program kemudian diteruskan dengan aktiviti interaktif yang membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan kecil bersama anak-anak KAYFAZ. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ice-breaking serta permainan berkumpulan seperti Hang Over Hanger Relay, Cup Stacking, Radio Rosak dan Musical Sandal yang berjaya mewujudkan suasana ceria dan mengeratkan hubungan antara peserta.

Dalam masa yang sama, ahli jawatankuasa turut melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kompleks sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kesejahteraan persekitaran komuniti.

Aktiviti interaktif melibatkan mahasiswa dan anak-anak KAYFAZ dalam suasana penuh keceriaan
Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Kompleks Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah

Program turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah, cenderahati dan duit raya kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka. Mohd Yani Ismail yang mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Tuan Haji Adly Zahari, turut hadir menyempurnakan majlis perasmian serta menyaksikan penyerahan sumbangan kepada pihak KAYFAZ.

Sesi penyerahan sumbangan kepada pihak KAYFAZ

Sumbangan yang disalurkan termasuk RM1,000 daripada beliau serta RM1,454 hasil sumbangan orang ramai, selain bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas seperti beras dan pakaian.

Menurut Presiden Kelab Geoinformatik UTM, Danial Hakim Mohd Shafie, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat secara langsung serta memahami keperluan komuniti dengan lebih mendalam.

“Program ini menjadi platform kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kebajikan di samping membentuk nilai keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau menambah bahawa penglibatan dalam program seumpama ini turut membantu membina sahsiah diri serta meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan generasi muda.

Ucapan Presiden Kelab Geoinformatik UTM, Danial Hakim Mohd Shafie

Sementara itu, Mohd Yani Ismail berkata program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan nilai kemanusiaan.

“Inisiatif seperti ini amat digalakkan kerana mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut turun padang menyantuni masyarakat,” katanya.

Wakil KAYFAZ pula menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang memberi impak positif kepada warga kompleks berkenaan.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu dari segi sumbangan, malah memberi sokongan moral kepada anak-anak di sini untuk terus bersemangat,” katanya.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada IPG Kampus Temenggung Ibrahim, UPSI, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Hang Tuah Jaya, Temenggung Prihatin Siswa serta Pembimbing Rakan Siswa UPSI. Program berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan bersama.

Peserta Program Kasih Titipan: Kunjungan Mesra Bersama bergambar bersama warga KAYFAZ selepas sesi penyerahan sumbangan dan aktiviti kebajikan
Sesi fotografi bersama peserta program, rakan kolaborasi dan warga KAYFAZ selepas aktiviti kebajikan serta penyerahan sumbangan

Program ini bukan sahaja memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, malah turut membuktikan bahawa peranan mahasiswa melangkaui ruang akademik apabila mereka mampu menjadi agen perubahan yang mendekati masyarakat secara langsung. Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang lebih prihatin, berdaya empati dan berjiwa sukarelawan dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Explore More

UTM Open Day