Mengangkat konsep adab Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam institusi pendidikan tinggi

📝 Ringkasan

Pengaruh pemikiran Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang konsep adab perlu diangkat semula bagi mendepani krisis ilmu dan kepimpinan dalam era digital masa kini. Konsep adab dalam kerangka pemikiran Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas membawa maksud yang jauh lebih mendalam daripada sekadar kesopanan atau etika sosial semata-mata. Adab merujuk kepada pengiktirafan terhadap tempat yang benar bagi setiap perkara dalam ilmu, diri dan masyarakat.

Pengaruh pemikiran tokoh falsafah Islam terkemuka, Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai konsep adab perlu diangkat semula bagi mendepani krisis ilmu dan kepimpinan dalam era digital masa kini.

Menurut Penolong Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, ketika ditemu bual dalam Podcast In Conversation episod ke-15 yang membincangkan topik “Membina Kecemerlangan: Memahami Konsep Adab dalam Pemikiran Al-Attas”, konsep adab dalam kerangka pemikiran Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas membawa maksud yang jauh lebih mendalam daripada sekadar kesopanan atau etika sosial semata-mata.

Beliau menegaskan bahawa adab merujuk kepada pengiktirafan terhadap tempat yang benar bagi setiap perkara dalam ilmu, diri dan masyarakat.

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain ketika mengulas berkenaan adab dalam konteks institusi pendidikan tinggi

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain turut menjelaskan bahawa apabila seseorang meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, maka keadilan akan terhasil. Gabungan antara ilmu yang benar dan adab yang tinggi seterusnya akan melahirkan hikmah atau kebijaksanaan dalam diri seseorang insan.

“Seseorang yang mempunyai kepakaran teknikal tetapi tidak memiliki adab hanya akan menjadi pakar yang berpotensi menyalahgunakan ilmunya. Sebaliknya, individu yang beradab akan menggunakan ilmunya dengan penuh hikmah untuk kebaikan. Adab membimbing manusia memahami tanggungjawab kepada Tuhan dan menggunakan ilmu secara benar tanpa menimbulkan kerosakan,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, terdapat perbezaan yang jelas antara konsep keadilan dan kesaksamaan. Kesaksamaan merujuk kepada pemberian atau pembahagian yang sama secara numerikal atau fizikal tanpa mengambil kira perbezaan keperluan atau kedudukan. Sebaliknya, berdasarkan pemikiran Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, keadilan merupakan hasil daripada adab, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

“Secara ringkasnya, kesaksamaan bermaksud memberi perkara yang sama kepada semua, manakala keadilan bermaksud memberi apa yang sepatutnya mengikut tempat dan kedudukan yang benar,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi dapatan daripada pihak industri yang menunjukkan satu trend menarik. Dalam satu bengkel bersama pihak pengurusan UTM, majikan didapati lebih cenderung memilih graduan yang mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sederhana tetapi memiliki adab, kebolehan berunding dan semangat kerjasama yang tinggi berbanding graduan yang memperoleh PNGK 4.00 tetapi sukar bekerjasama.

Mengulas lanjut mengenai kesan pengabaian nilai ini, beliau menyatakan bahawa kehilangan adab menjadi punca utama kepada tiga krisis besar dalam masyarakat.

“Pertama ialah krisis penyalahgunaan ilmu apabila ilmu digunakan untuk kepentingan diri atau tujuan yang merosakkan. Kedua ialah kekeliruan ilmu yang menyebabkan seseorang tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, khususnya dalam persekitaran media sosial. Ketiga ialah kemunculan kepimpinan yang tidak bermoral apabila individu yang memiliki ilmu tinggi gagal menunjukkan integriti dan nilai moral yang sepatutnya,” ulas beliau berkenaan kesan pengabaian nilai.

Penggunaan istilah dan frasa yang tepat juga merupakan komponen penting dalam adab kerana ia bukan sekadar soal komunikasi, tetapi melibatkan kedalaman ilmu, penghormatan dan keadilan dalam meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pakar atau sarjana yang hebat sangat menitikberatkan penggunaan istilah yang tepat kerana mereka telah dilatih dan benar-benar menguasai bidang tersebut.

Penggunaan kata yang teratur dan tepat mencerminkan kematangan pemikiran seseorang, apabila setiap ayat disusun secara teliti dan bukannya sekadar melontarkan jawapan tanpa pertimbangan yang mendalam. Beliau turut menekankan bahawa penggunaan istilah yang betul memberikan impak yang berbeza dalam urusan harian kerana ia melibatkan gaya bahasa yang menggambarkan rasa terima kasih serta penghargaan kepada orang lain.

Sebagai langkah ke hadapan, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid menyarankan agar institusi pendidikan tidak hanya memfokuskan kepada pencapaian teknikal semata-mata. Sebaliknya, pendidikan perlu kembali kepada tujuan asalnya iaitu melahirkan manusia yang beradab.

Bagi generasi muda, beliau menasihatkan agar sentiasa menjaga adab dalam setiap interaksi termasuk di platform media sosial kerana kata-kata boleh berfungsi seperti “pedang” jika disalahgunakan.

“Jika tersalah guna atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya, kata-kata boleh menjadi senjata tajam yang menghiris dan menyakiti hati orang lain. Namun jika dijaga dan digunakan dengan baik, kata-kata tersebut akan menjadi pelindung atau penawar dalam perhubungan sesama manusia,” jelas beliau.

Dalam konteks yang lebih luas, kegagalan menggunakan istilah yang tepat atau memanipulasi maklumat seperti yang sering berlaku di media sosial merupakan tanda kehilangan adab yang akhirnya membawa kepada krisis kekeliruan ilmu.

Di peringkat universiti, pelajar dididik untuk menggunakan bahasa yang baik sebagai sebahagian daripada atribut graduan agar mereka mampu berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat. Penggunaan istilah yang tepat membantu seseorang berinteraksi secara lebih efektif dan seterusnya menjadi insan yang menghormati guru, ilmu dan masyarakat.

Secara keseluruhannya, institusi pendidikan berfungsi sebagai wadah yang melahirkan bakat. Sekiranya fokus pendidikan diberikan kepada pembentukan insan yang beradab, maka krisis kepimpinan tidak bermoral dalam era digital dapat dibendung. Beliau berharap penghayatan adab yang syumul mampu membentuk tamadun baharu yang lebih adil dan sejahtera untuk masyarakat Malaysia.

Explore More

UTM Open Day