📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan inisiatif Dapur Siswa UTM dan mengagihkan zakat berjumlah RM1.8 juta untuk kebajikan mahasiswa. Dapur Siswa ini bertujuan menyediakan akses makanan yang sistematik dan berterusan, terutamanya kepada pelajar B40 dan asnaf. Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan menekankan komitmen UTM dalam melahirkan graduan holistik.
JOHOR BAHRU, 3 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa apabila melancarkan inisiatif Dapur Siswa MADANI UTM serta menyampaikan agihan zakat berjumlah RM1.8 juta dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 yang berlangsung di Masjid Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, sebagai wakil rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, selain barisan pengurusan universiti dan kira-kira 2,000 mahasiswa termasuk pemimpin muda institusi pendidikan tinggi (IPT) Zon Selatan.

Pelancaran Dapur Siswa UTM yang diperkenalkan pada peringkat universiti awam ini disifatkan sebagai antara yang terawal seumpamanya, dirangka bagi menyediakan akses makanan secara lebih bersistematik dan berterusan kepada mahasiswa, khususnya golongan B40 dan asnaf.
Pada fasa awal pelaksanaan, program ini memberi tumpuan kepada penyediaan makanan ruji berupa nasi berserta lauk kepada pelajar B40 tempatan yang dikenal pasti. Pengagihan dilaksanakan di Masjid UTM dengan tajaan Unit Zakat, Pusat Islam UTM pada waktu yang ditetapkan bagi memastikan bantuan sampai secara tersusun dan bersasar.
Bagi menyokong kelangsungan program, UTM turut menerima suntikan dana sebanyak RM280,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, sekali gus memperkukuh keupayaan universiti melaksanakan inisiatif ini secara mampan dan berimpak tinggi.

Dalam majlis sama, simbolik penyerahan agihan zakat 2025 berjumlah RM1.8 juta disampaikan kepada mahasiswa yang layak, manakala bantuan Hari Raya melalui Dana Wakaf UTM sebanyak RM5,000 turut diagihkan sebagai persediaan menyambut Syawal. Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar serta memastikan kelangsungan pengajian mereka tidak terjejas.


Penganjuran majlis yang menghimpunkan ribuan mahasiswa itu turut mendapat sokongan penajaan daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Perkasa Siswa, mencerminkan kerjasama erat antara universiti dan rakan strategik dalam memperkasa kebajikan serta pembangunan mahasiswa secara berterusan.
Majlis Khatam Al-Quran yang mendahului sesi iftar turut menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga kampus. Program tersebut bukan sahaja mengukuhkan nilai spiritual, malah memperlihatkan komitmen UTM dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Secara keseluruhannya, penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 memperlihatkan kesepaduan antara kepimpinan nasional, institusi pendidikan tinggi dan rakan strategik dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa sebagai tunjang kelestarian sistem pendidikan tinggi negara.