Training of Trainers: Green Icon latih pelajar antarabangsa UTM sebagai duta kelestarian

📝 Ringkasan

Seramai 20 pelajar antarabangsa dari 10 negara dan pelajar tempatan menyertai program Training of Trainers: Green Icon di UTM. Program ini melatih peserta dalam teknik pengkomposan inovatif untuk menghasilkan baja semula jadi daripada sisa organik, selaras dengan aspirasi UTM melahirkan ikon kelestarian. Peserta yang dilatih akan menjadi duta kelestarian, menyebarkan ilmu kepada komuniti dan sekolah.

JOHOR BAHRU, 14 Feb – Seramai 20 pelajar antarabangsa dari 10 buah negara, termasuk Nigeria, Ethiopia, Iran, Yaman, Syria, Palestin, Sudan, Maghribi, Algeria dan Bangladesh, bersama beberapa pelajar tempatan telah menyertai program Training of Trainers (ToT): Green Icon yang berlangsung di FS Living Lab, Fakulti Sains UTM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program ini dianjurkan selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang berhasrat melahirkan ikon kelestarian dalam kalangan pelajar. Melalui pendekatan latihan intensif yang berorientasikan amali, para peserta didedahkan kepada teknik pengkomposan inovatif yang dikenali sebagai Trench Composting.

Sebahagian pelajar antarabangsa mengikuti latihan amali pengkomposan di FS Living Lab, Fakulti Sains, UTM

Teknik ini melibatkan penanaman terus sisa organik seperti tinja haiwan dan sisa pertanian ke dalam batas tanaman dengan bantuan Effective Microorganisms (EM) yang bertindak mempercepat dan meningkatkan keberkesanan proses penguraian. Pendekatan ini bukan sahaja mesra alam, malah menyokong pengurusan sisa organik secara lebih sistematik dan lestari dalam sektor pertanian.

Sepanjang sesi latihan, peserta mempelajari kepentingan pengasingan sisa serta memahami peranan pengurusan sisa organik yang terancang dalam menyumbang kepada pertanian mampan dan agenda keterjaminan makanan negara (food security). Pengalaman pembelajaran secara amali memberi peluang kepada mereka melihat sendiri bagaimana sisa boleh ditukar menjadi baja semula jadi yang menyuburkan tanah.

Pengalaman baru memetik jagung organik yang ditanam di FS Living Lab, Fakulti Sains, UTM

Menariknya, selain menggunakan tinja haiwan ternakan konvensional seperti ayam, kambing, lembu dan ikan, peserta turut didedahkan kepada teknik pengkomposan menggunakan tinja haiwan eksotik seperti gajah, tapir dan badak. Pendedahan unik ini merupakan hasil kolaborasi bersama Zoo Negeri Johor, sekali gus memberikan pengalaman yang jarang diperoleh dalam latihan akademik biasa.

Sesi penyediaan batas tanaman serta pengisian sisa organik ke dalam tanah bagi proses pengkomposan sedang dijalankan

Program ini dibimbing oleh Prof. Madya ChM Dr. Norahim Ibrahim dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, yang menekankan kepentingan integrasi ilmu, amalan dan tanggungjawab sosial dalam membentuk pemimpin kelestarian masa depan. Para peserta antarabangsa menyatakan keterujaan mereka kerana berpeluang mengikuti sesi latihan yang praktikal dan interaktif, sekali gus memperkukuh kefahaman mereka terhadap pengurusan sisa organik dalam konteks global.

Daun kering yang merupakan sisa landskap kampus turut digunakan sebagai bahan penting dalam proses penghasilan kompos

Sebagai kesinambungan program, para peserta ToT ini akan berperanan sebagai Green Icon Ambassadors dengan membawa pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh ke sekolah serta komuniti melalui inisiatif pemindahan ilmu pada masa hadapan.

Pengalaman berharga bagi warga antarabangsa UTM kerana dapat mempelajari teknik pertanian secara lestari

Lebih daripada itu, program ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif UTM International dalam memperkukuh agenda Internationalization at Home, iaitu menyediakan pengalaman pengantarabangsaan di dalam kampus tanpa perlu ke luar negara. Melalui penglibatan pelajar antarabangsa dan tempatan dalam satu platform latihan yang sama, program ini menggalakkan interaksi rentas budaya, perkongsian perspektif global serta pembinaan jaringan persahabatan yang lebih inklusif. Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga UTM sebagai sebuah universiti berorientasikan global.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkasakan pelajar sebagai agen perubahan yang mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan sejagat.

Explore More

UTM Open Day