February 13, 2026

šŸ“ Ringkasan

Penulis yang merupakan ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menggambarkan bagaimana kampus tersebut mendidiknya melalui nama-nama jalan yang terdapat di dalamnya. Nama-nama jalan seperti Jalan Universiti, Lingkaran Ilmu, Jalan Iman, Jalan Insaf, Jalan Amal, Jalan Ihsan, Jalan Setia dan Jalan Taqwa melambangkan nilai-nilai penting yang perlu dipelajari oleh mahasiswa dan staf akademik. Penulis menyedari bahawa kampus tersebut telah membentuknya menjadi insan yang lebih baik dengan menghayati makna-makna di sebalik nama-nama jalan tersebut.

Andai penulis dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki, di kampus rimbun bernaung inilah penulis bakal menghabiskan sebahagian besar kehidupan di dunia. Kampus indah ini telah mengubah ramai sosok manusia yang berkhidmat untuk negara tercinta. Saban hari penulis menelusuri Jalan Universiti untuk memasuki kampus, kemudian melalui Lingkaran Ilmu yang mengelilingi pusat kampus, diapit bangunan-bangunan fakulti yang megah dan berwarna-warni. Sejak kafe ZUS dibuka di Arked Meranti, penulis membelok ke Jalan Meranti untuk mendapatkan secangkir kopi panas sebelum memulakan tugasan harian sebagai ahli akademik di universiti sanjungan bangsa. Selepas itu, penulis kembali ke Lingkaran Ilmu dan membelok ke Jalan Amal dan kemudian Jalan Hikmah menuju fakulti, tempat terletaknya pejabat penulis.

Sejak kebelakangan ini, disebabkan Stadium Azman Hashim ditutup sementara untuk penyelenggaraan dan terdapat acara di padang kawad, penulis berjoging dan berjalan pantas mengelilingi kampus selepas waktu bekerja. Apabila cuti semester bermula, kampus kelihatan lengang. Tiada lagi sapaan ā€œDr. Halimā€ apabila berselisih dengan mahasiswa yang mengenali penulis ketika berlari. Dalam langkah yang berterusan, penulis menikmati keindahan suasana kampus yang sentiasa menyaksikan warganya dahagakan ilmu. Penulis juga memerhati pelbagai nama jalan yang barangkali mempunyai sejarah tersendiri mengapa nama tersebut diberikan. Lebih mengagumkan, mereka yang menamakan jalan-jalan ini pasti berpandangan jauh, kerana nama-nama tersebut dipercayai telah wujud sejak awal penubuhan kampus UTM dan masih sangat relevan pada masa kini dan masa-masa mendatang. Nama-nama ini melambangkan nilai dalaman manusia yang menjelmakan kejayaan mahasiswa, ahli akademik dan seluruh warga tanpa mengira latar belakang.

Setiap pagi, bukan sahaja penulis, bahkan semua yang melangkah ke kampus akan melalui Jalan Universiti. Jalan Universiti melambangkan permulaan sebuah perjalanan intelektual bagi mahasiswa, staf akademik, penyelidik dan seluruh warga yang menyokong ekosistem ilmu ini. Di sinilah cita-cita melangkah masuk bersama harapan keluarga, impian peribadi dan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu. Jalan ini menjadi simbol bahawa universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, tetapi medan pembentukan jati diri. Lingkaran Ilmu pula amat simbolik. Ilmu tidak bersifat linear dan tidak pernah berakhir. Ia berputar, berkembang dan sentiasa kembali kepada asas untuk diperhalusi. Lingkaran ini mengelilingi bangunan fakulti yang menempatkan pelbagai disiplin dan bidang. Kejuruteraan, pendidikan, sains, teknologi dan lain-lain, yang wujud dalam satu ekosistem ilmu yang saling melengkapi. Di sinilah mahasiswa, ahli akademik dan penyelidik memahami bahawa ilmu bukan milik satu bidang semata-mata, sebaliknya suatu jaringan yang saling terhubung dan menguatkan antara satu sama lain.

Antara jalan lain yang terdapat di kampus ini ialah Jalan Iman yang membawa ke Masjid Sultan Ismail. Iman menjadi asas yang paling utama sebelum seseorang melangkah lebih jauh dalam dunia akademik. Tanpa iman, ilmu menjadi kosong dan tidak bermakna. Melalui iman terbentuk kejujuran dan kesedaran akan tanggungjawab yang berpaksikan pegangan lebih tinggi daripada sekadar peraturan manusia. Seluruh warga kampus menjadikan usaha menuntut dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat sebagai suatu ibadah. Tatkala menelusuri Jalan Insaf, penulis menyedari bahawa masih banyak yang belum diketahui dan terlalu luas ruang untuk diperbaiki. Siapalah kita, sedangkan ilmu yang dimiliki ibarat setitik air di lautan milik Allah S.W.T. Kesedaran ini menjauhkan seseorang daripada kesombongan intelektual, sebaliknya menanam sifat rendah diri dan keterbukaan terhadap teguran serta pandangan yang berbeza.

Daripada Jalan Insaf, langkah penulis diteruskan ke Jalan Amal. Kita sering mendengar ungkapan, ā€œilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah.ā€ Ilmu yang dipelajari harus diterjemahkan dalam tindakan. Mahasiswa dan ahli akademik tidak wajar hanya cemerlang dari aspek kognitif yang terpancar melalui pelbagai kejayaan, tetapi turut memperlihatkan akhlak terpuji, keprihatinan terhadap masyarakat dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab. Amal menjadikan ilmu berfungsi dan memberi manfaat. Namun begitu, amal memerlukan ihsan. Melalui Jalan Ihsan, kita diingatkan untuk melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan. Ihsan melahirkan budaya kerja yang berkualiti, penyelidikan yang teliti dan tugasan yang dilaksanakan bukan sekadar memenuhi syarat, tetapi lahir daripada komitmen terhadap kecemerlangan. Andai usaha kita tidak dibalas di dunia dan kita tidak mengharapkan ganjaran duniawi, jadikanlah ia sebagai saham di alam sana yang kekal dan abadi.

Dalam kehidupan, kita tidak terlepas daripada dugaan dan cabaran, apatah lagi dalam dunia yang semakin pesat berkembang. Teknologi muncul silih berganti ibarat cendawan selepas hujan. Jalan Setia menjadi peringatan agar kita kekal berpegang pada prinsip yakni setia kepada nilai integriti, setia kepada usaha yang konsisten dan setia kepada janji diri untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada dunia, dan lebih utama, kepada kehidupan di akhirat. Kesetiaan ini perlu dipandu oleh taqwa, yang disimbolkan melalui Jalan Taqwa sebagai pegangan dalam setiap keputusan. Taqwa memastikan ilmu yang diperoleh tidak disalahgunakan, sebaliknya sentiasa dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat.

Tuntasnya, kampus yang kita cintai ini sebenarnya mendidik kita tanpa kita sedari. Setiap kali kita memerhati nama jalan, setiap kali kita memandu atau berjalan melaluinya, kita sedang menghayati sebuah kurikulum tersembunyi tentang pembinaan insan. Persoalannya bukan sekadar sama ada kita mengetahui nama jalan tersebut, tetapi sama ada kita memahami maknanya. Dan mungkin suatu hari nanti, ketika mahasiswa yang telah bekerja atau sesiapa sahaja menoleh kembali ke kampus ini, kita akan menyedari bahawa jalan-jalan itu bukan sekadar penunjuk arah destinasi, sebaliknya sedang membentuk arah kehidupan.

 

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Explore More

UTM Open Day