UTM Big Data Centre bimbing 100 guru aplikasikan AI dalam PdP

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTM Big Data Centre telah menganjurkan kursus Kecerdasan Buatan (AI) kepada 100 guru di Sri Gading. Kursus ini bertujuan memperkukuh pemahaman guru terhadap penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penghasilan bahan digital dan automasi tugasan. Program ini merupakan inisiatif di bawah MOSTI bagi memartabatkan literasi teknologi dalam kalangan pendidik.

SRI GADING, 10 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTM Big Data Centre (BDC) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading telah berjaya melaksanakan Kursus Kecerdasan Buatan (AI) untuk 100 warga pendidik di kawasan Parlimen Sri Gading dalam dua sesi berasingan. Kursus ini melibatkan guru sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan berkenaan.

Program ini dianjurkan di bawah inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkukuh pemahaman serta penguasaan pendidik terhadap teknologi kecerdasan buatan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Kumpulan pertama telah berlangsung pada 3 dan 5 Februari 2026, manakala kumpulan kedua diadakan pada 9 hingga 10 Februari 2026. Kedua-dua sesi dijalankan di Al Huda Knowledge Center, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dan menerima penyertaan yang amat menggalakkan.

Peserta meneroka pelbagai aplikasi digital berasaskan AI dalam sesi latihan yang dijalankan secara interaktif

Kursus ini memberi tumpuan kepada penerapan teknologi AI secara praktikal dalam ekosistem pendidikan, merangkumi penghasilan bahan pengajaran digital, automasi tugasan PdP serta strategi pengajaran inovatif berasaskan teknologi. Sepanjang dua hari setiap sesi, para peserta didedahkan kepada integrasi teknologi AI dalam penyediaan bahan pengajaran melalui penggunaan platform penjanaan kandungan dan alat bantu interaktif. Peserta turut mempelajari kaedah meningkatkan kecekapan pengurusan kelas digital dengan memanfaatkan automasi bagi dokumentasi, pentaksiran dan pemantauan pembelajaran. Selain itu, inovasi teknologi terkini diperkenalkan bagi menarik minat pelajar serta meningkatkan penglibatan mereka dalam pembelajaran berasaskan teknologi.

Guru di Sri Gading mengikuti Kursus Kecerdasan Buatan dengan penuh tumpuan sambil mempelajari penggunaan alat digital dan aplikasi AI untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
Sesi penerangan mengenai aplikasi kecerdasan buatan dalam pendidikan sepanjang kursus berlangsung

Penganjuran kursus ini turut memberi penekanan terhadap penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan keperluan semasa yang menuntut pendidik memahami isu keselamatan data, privasi serta kebergantungan teknologi dalam proses pembelajaran.

Majlis penyampaian sijil bagi kumpulan pertama telah disempurnakan oleh Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI. Bagi kumpulan kedua, sijil telah disampaikan oleh Dr. Mohd Norazmi Nodin, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, MOSTI. Kehadiran kedua-dua wakil tersebut mencerminkan komitmen kementerian dalam memperkasa tenaga pengajar melalui program literasi teknologi dan inovasi di peringkat komuniti dan sekolah, selain menyokong agenda pendigitalan pendidikan.

Abdullah Daud menyampaikan sijil kepada peserta kumpulan pertama Kursus Kecerdasan Buatan di Sri Gading
Dr. Mohd Norazmi Nodin menyampaikan sijil kepada peserta kumpulan kedua sebagai simbolik penutupan program

Ahli Parlimen Sri Gading, Hj. Aminolhuda Hassan turut hadir menyantuni peserta kursus dengan memberikan galakan serta sokongan terhadap usaha pembudayaan AI dalam komuniti pendidikan setempat. Kursus ini turut disertai oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat serta TVET MARA Sri Gading.

Pihak UTM Big Data Centre menzahirkan penghargaan kepada MOSTI serta Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading atas sokongan yang memungkinkan program berimpak ini dilaksanakan dengan jayanya. Program ini membuka peluang kepada guru untuk memperkukuh kemahiran digital mereka sekali gus menyokong usaha memperluas agenda pendigitalan pendidikan di Sri Gading.

Dengan penganjuran kedua-dua sesi ini, diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam PdP masing-masing serta menjadi pencetus kepada pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif, responsif dan selari dengan kemajuan teknologi semasa.

Explore More

UTM Open Day