February 21, 2026

UTM hargai kecemerlangan fakulti dalam Majlis Anugerah dan Penghargaan Kebolehpasaran Graduan 2024

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Majlis Anugerah dan Penghargaan Kebolehpasaran Graduan 2024 untuk mengiktiraf komitmen fakulti dalam mencapai Kadar Bekerja Graduan dan Kebolehpasaran UTM sebanyak 100 peratus bagi tahun 2024. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat telah merasmikan majlis tersebut dan melancarkan UTM Career Roadmap sebagai inisiatif strategik universiti untuk memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya pelajar. Majlis ini juga memberi pengiktirafan kepada fakulti yang mencapai kebolehpasaran graduan yang cemerlang, termasuk Anugerah Piala Pusingan GE UTM 2024 diberikan kepada Fakulti Kejuruteraan Awam.

JOHOR BAHRU, 27 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Kerjaya terus mengukuhkan agenda kebolehpasaran graduan melalui penganjuran Majlis Anugerah dan Penghargaan Kebolehpasaran Graduan UTM 2024 yang berlangsung di Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTM CC). Majlis ini bertujuan mengiktiraf komitmen serta usaha berterusan fakulti dalam menyokong pencapaian 100 peratus Kadar Bekerja Graduan dan Kebolehpasaran Graduan UTM bagi tahun 2024.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, yang turut menyempurnakan gimik pelancaran UTM Career Roadmap sebagai inisiatif strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya pelajar secara lebih berstruktur dan bersepadu.

Hadirin memenuhi ruang majlis sempena Majlis Anugerah dan Penghargaan Kebolehpasaran Graduan UTM 2024 di UTM Career Centre

Dalam ucapan perasmian, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat menyatakan bahawa kejayaan kebolehpasaran graduan universiti merupakan hasil kolaborasi strategik antara fakulti, Pusat Kerjaya dan rakan industri. Beliau turut menekankan kedudukan universiti yang strategik dalam menyumbang kepada keperluan bakat berkemahiran tinggi dalam ekosistem Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ), khususnya dalam sektor teknologi maju, pembuatan bernilai tinggi, pusat data, tenaga, logistik serta ekonomi digital.

Menurut beliau, peluang ini menuntut universiti untuk terus memperkukuh kerjasama industri secara lebih strategik, bukan sekadar dalam bentuk penempatan pekerjaan, tetapi melalui pembangunan kurikulum berteraskan keperluan industri, pendedahan awal pelajar kepada projek dan permasalahan sebenar industri, serta peluasan peluang pekerjaan bergaji premium untuk graduan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, menyampaikan ucapan perasmian majlis

Sehubungan itu, pelaksanaan UTM Career Roadmap dilihat sebagai pemangkin penting bagi memastikan pembangunan kerjaya pelajar dirancang secara berstruktur dan bermula seawal tahun pertama pengajian sehingga ke alam pekerjaan, selari dengan keperluan pembangunan ekonomi serantau dan global.

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat merasmikan pelancaran UTM Career Roadmap diiringi Pengarah UTM Career Centre, Dr. Suhaila Mohamad Yusuf
Paparan UTM Career Roadmap yang menjadi panduan strategik pembangunan kerjaya pelajar UTM

Majlis ini juga berperanan memperkukuh budaya akauntabiliti dan kecemerlangan dalam kalangan fakulti melalui pengiktirafan pencapaian kebolehpasaran graduan, di samping menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan intervensi pembangunan kerjaya yang berimpak tinggi.

Pada majlis tersebut, Anugerah Piala Pusingan GE UTM 2024 telah dianugerahkan kepada Fakulti Kejuruteraan Awam. Bagi Anugerah GE UTM berdasarkan pencapaian keseluruhan, tiga kedudukan teratas ialah Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kecerdasan Buatan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat menyampaikan Piala Pusingan GE UTM 2024 kepada Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin

Selain itu, Anugerah Khas GE UTM diberikan kepada Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dan konsisten dalam kebolehpasaran graduan.

Bagi Anugerah GE UTM 2024 peringkat prasiswazah, penerima mengikut bidang ialah Bidang Kejuruteraan melalui Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik; Bidang Sains dan Teknologi melalui Program Sarjana Muda Sains Komputer Kejuruteraan Data, Fakulti Komputeran; serta Bidang Alam Bina dan Sains Sosial melalui Program Sarjana Muda Sains Geoinformatik, Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Manakala bagi Anugerah GE UTM 2024 peringkat pascasiswazah, penerima ialah Bidang Kejuruteraan melalui Program Sarjana Kejuruteraan Komputer dan Sistem Mikroelektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik; Bidang Sains dan Teknologi melalui Program Sarjana Sains Pengurusan dan Perniagaan Kejuruteraan, Fakulti Kecerdasan Buatan; serta Bidang Alam Bina dan Sains Sosial melalui Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kualiti graduan yang holistik, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan bakat masa hadapan yang berimpak dan berdaya tahan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Penolong Naib Canselor; Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat, Pengarah Pejabat Strategi, Risiko dan Penarafan; serta Prof. Madya Dr. Syed Norris Hilmi Syed Abdullah, Pengarah Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi, bersama barisan dekan, timbalan dekan akademik dan duta kebolehpasaran setiap fakulti.

Author

Explore More

UTM Open Day