February 16, 2026

IFOG UTM santuni Asrama Kebajikan Ar-Rayyan melalui CSR berteraskan ilmu dan keselamatan

JOHOR BAHRU, 18 Dis – UTM-MPRC Institute for Oil and Gas (IFOG) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, Johor Bahru pada 18 Disember 2025 sebagai komitmen berterusan universiti dalam menyokong pembangunan komuniti setempat.

Program ini melibatkan kesemua pelajar lelaki dan perempuan, penjaga serta pihak pengurusan asrama, dengan sokongan penaja utama UNBOX Resources Sdn. Bhd. yang menyumbang tajaan bernilai RM2,500 dalam bentuk wang tunai, dua unit alat pemadam kebakaran, serta bekalan bahan mentah kering dan makanan bagi memenuhi keperluan harian penghuni asrama. Sumbangan daripada individu persendirian turut diterima, menjadikan jumlah keseluruhan dana terkumpul sebanyak RM6,000.

Gambar 1: Pihak IFOG menyerahkan sumbangan berupa wang tunai untuk kegunaan Asrama Kebajikan Ar-Rayyan.
Wakil IFOG menyerahkan sumbangan wang tunai kepada pihak Asrama Kebajikan Ar-Rayyan

Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan ilmu, keselamatan dan pembangunan kendiri pelajar melalui pengisian ceramah serta aktiviti interaktif yang bersifat mendidik dan menyeronokkan. Antara slot utama ialah ceramah Teknik Belajar dan Pengurusan Masa yang Efisien yang disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, bertujuan membantu pelajar membina kaedah pembelajaran yang lebih berkesan, tersusun dan realistik mengikut keperluan harian mereka.

Aspek keselamatan turut diberi penekanan melalui Demonstrasi Penggunaan Alat Pemadam Kebakaran oleh Ahmad Ismail serta ceramah Perlindungan daripada Hazard Bunyi Bising yang disampaikan oleh Dr. Anis Farhana Abdul Rahman. Pengisian ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar dan penjaga terhadap kepentingan langkah pencegahan serta amalan keselamatan dalam kehidupan seharian.

Penyerahan alat pemadam kebakaran bagi memperkukuh tahap keselamatan Asrama Kebajikan Ar-Rayyan

Bagi meningkatkan penglibatan pelajar, aktiviti interaktif seperti sesi Hands-on Virtual Reality (VR) telah dianjurkan dan dikendalikan oleh Dr. Hamidah Kamarden. Selain itu, permainan berasaskan keselamatan seperti Safety Puzzle Race dan Match the Sign Card Game turut dilaksanakan. Aktiviti ini berjaya menarik minat pelajar sambil menyampaikan mesej keselamatan secara santai, mudah difahami dan berkesan.

Program CSR ini dianjurkan bukan sahaja untuk menyantuni penghuni Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, malah bagi memperkukuh kesedaran terhadap aspek keselamatan, pengurusan masa dan teknik pembelajaran berkesan. Ia juga bertujuan memindahkan ilmu serta memberikan pendedahan praktikal berkaitan keselamatan dan teknologi, di samping mengeratkan hubungan kerjasama antara universiti, rakan industri dan komuniti setempat.

Objektif penganjuran merangkumi usaha membantu penghuni asrama melalui sumbangan dan pengisian berfaedah, meningkatkan kesedaran pelajar serta penjaga terhadap aspek keselamatan khususnya pencegahan kebakaran dan hazard bunyi bising, memberi pendedahan kepada teknik pembelajaran berkesan dan pengurusan masa yang sistematik, serta menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti interaktif dan penggunaan teknologi seperti realiti maya.

Dr. Anis Farhana Abdul Rahman mengendalikan sesi interaktif keselamatan bersama para pelajar

Selepas program dilaksanakan, maklum balas positif diterima daripada tenaga pengajar dan pelajar. Menurut pengetua Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, Ustaz Halimi Kolan, program seumpama ini amat bermakna kerana membuka ruang kepada kerjasama strategik antara pihak asrama dan UTM. Beliau menyatakan bahawa modul yang disampaikan sangat bermanfaat, khususnya berkaitan pengurusan masa yang efisien dan penggunaan peralatan keselamatan.

Dari sudut pandangan pelajar pula, program ini disifatkan sebagai menarik kerana memberi peluang mencuba teknologi VR yang memberikan pengalaman seakan suasana sebenar di kawasan industri. Aktiviti permainan keselamatan juga menambahkan kefahaman di samping mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim menyampaikan ceramah Teknik Belajar yang Berkesan dan Pengurusan Masa yang Efektif

Secara keseluruhan, program ini berjaya memberi manfaat kepada penghuni asrama dari aspek pembelajaran, keselamatan dan keyakinan diri, di samping mengeratkan hubungan antara universiti, penaja industri dan komuniti setempat. Inisiatif ini mencerminkan peranan aktif UTM dalam pemindahan ilmu dan pelaksanaan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Ia selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga akademik yang bukan sahaja cemerlang dari segi kepakaran, malah prihatin terhadap pembangunan masyarakat secara holistik.

Ahli jawatankuasa program bergambar bersama pengetua dan penghuni Asrama Kebajikan Ar-Rayyan

Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Nor Eman Ismail, UTM-MPRC Institute for Oil and Gas / Safety and Health Research Group, UTM Johor Bahru

Explore More

UTM Open Day