JOHOR BAHRU, 3 Jan – Kepimpinan akademik yang berwibawa merupakan asas kepada daya tahan dan daya saing sesebuah universiti penyelidikan. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar dan berorientasikan impak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh teras akademiknya melalui pelantikan dua sarjana berpengalaman bagi menerajui pengajian siswazah dan prasiswazah universiti.
Bermula 1 Januari 2026, Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman dilantik sebagai Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), manakala Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat sebagai Dekan Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), bagi tempoh perkhidmatan sehingga 31 Disember 2027. Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan agenda akademik UTM bergerak seiring dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, yang menekankan kecemerlangan berteraskan impak global, bakat masa depan dan penyelidikan bernilai tinggi.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan akademik universiti. Menurut beliau, pengukuhan tadbir urus pengajian siswazah dan prasiswazah merupakan antara pemacu utama transformasi universiti ke arah ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya saing, relevan dan berpaksikan nilai.
“Saya yakin pelantikan ini akan terus memperkukuh kepimpinan akademik UTM, seterusnya memacu kecemerlangan pengajian siswazah dan prasiswazah selari dengan agenda transformasi universiti ke arah impak global.”, katanya
Di Sekolah Pengajian Siswazah, Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman membawa pengalaman luas sebagai sarjana bertaraf antarabangsa dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi membran. Lulusan Imperial College London ini dikenali melalui sumbangan signifikan dalam penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan ilmiah berskala global serta pengkomersialan teknologi melalui syarikat spin-off universiti. Sebelum itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Frontier Materials Research Alliance dan Pengarah Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC).
Dengan rekod ratusan penerbitan berindeks dan pengiktirafan sebagai antara saintis teratas dunia, kepimpinan beliau dijangka memperkukuh budaya penyeliaan berkualiti, penyelidikan translasional dan pembangunan bakat penyelidik sejajar dengan teras UTM ASCEND 2030 bagi melonjakkan kebitaraan (niche area) menerusi kecemerlangan penyelidikan dan inovasi bernilai tinggi.
Sementara itu, di peringkat pengajian prasiswazah, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah UGS dan membawa kepakaran mendalam dalam pendidikan kejuruteraan dan TVET untuk pembangunan mampan. Berkelulusan doktor falsafah dari Aalborg University, Denmark, di bawah naungan UNESCO, beliau berpengalaman luas dalam pembangunan kurikulum, pembelajaran berasaskan pengalaman dan inovasi pedagogi. Kepimpinan beliau dijangka memperkukuh pelaksanaan pengalaman pembelajaran yang holistik, fleksibel dan berpaksikan pelajar, selari dengan teras UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembentukan graduan masa depan (bakat global) yang berdaya saing, beretika dan bersedia menghadapi cabaran global.
Seiring dengan hala tuju UTM ASCEND 2030, kepimpinan baharu ini dijangka menjadi pemacu penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran dan penyelidikan yang mampan, relevan dan berorientasikan masa depan.


Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat (kanan) menerima watikah pelantikan dari Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (kiri)