KUALA LUMPUR, 13 Dis – Intercultural Harmony Camp 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, melibatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah sekitar Lembah Klang. Program ini dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur bersama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Program ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai institusi termasuk UTM Kuala Lumpur, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti College International MAIWP (UCMI). Turut serta ialah pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK) dari SMK Air Panas dan SMK Setiawangsa. Kepelbagaian latar institusi dan peserta ini secara tidak langsung memperkayakan interaksi, perbincangan serta pengalaman pembelajaran sepanjang program berlangsung.

Bertemakan “We Unite Together Menyemai Toleransi Memupuk Perpaduan”, program ini bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan peserta melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Penekanan turut diberikan kepada pembentukan jati diri, penghayatan nilai toleransi, kefahaman silang budaya serta pengukuhan kemahiran insaniah dalam kalangan generasi muda.
Antara pengisian utama program termasuk sesi ice breaking, mindsetting, pembinaan insan, aktiviti team building serta aktiviti eksplorasi berpasukan. Kesemua aktiviti ini dirangka bagi menggalakkan interaksi aktif, kerjasama dalam kumpulan yang terdiri daripada peserta pelbagai latar belakang, serta penerapan nilai saling menghormati, empati dan keterbukaan.


Melalui penganjuran bersama UTM, HALUAN dan YADIM, program ini turut berfungsi sebagai platform jaringan dan kolaborasi antara institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta komuniti. Pendekatan kolaboratif ini selari dengan nilai enVision UTM yang menekankan pembentukan insan holistik, penglibatan komuniti, kolaborasi bermakna dan pengukuhan jaringan strategik.
Secara keseluruhannya, Intercultural Harmony Camp 2025 berjaya mencapai objektif penganjuran sebagai wadah pembelajaran di luar bilik kuliah yang bermakna. Program ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan intelektual peserta, malah mengukuhkan dimensi emosi dan sosial mereka, sekali gus mempersiapkan generasi muda untuk hidup secara harmoni dalam masyarakat majmuk.

Penganjuran program ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti melalui pembelajaran inklusif dan berteraskan nilai, serta SDG 16, Keamanan Keadilan dan Institusi Kukuh dengan memupuk toleransi, saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dan rakan strategik dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, beretika dan bertanggungjawab terhadap komuniti serta masyarakat global.
Oleh Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi dan Dr. Fadhilah Abdul Razak