December 21, 2025

NEXTGEN Engineers Challenge 2025 serlah inovasi kreatif pelajar dan guru

JOHOR BAHRU, 20 Nov – Program NEXTGEN Engineers Challenge 2025 dan Majlis Penyampaian Hadiah PRO E-STEM Teachers Challenge 2025 berlangsung dengan penuh jayanya di Perpustakaan Sultan Ismail, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Program tersebut menghimpunkan pelajar dan guru sekolah menengah dalam satu platform pembelajaran inovatif bertujuan mengasah kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan pemikiran kejuruteraan melalui penghasilan projek berimpak tinggi.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta NEXTGEN Engineers Challenge sebelum diteruskan dengan taklimat penjurian. Para peserta kemudiannya melalui sesi penjurian akhir melibatkan 17 poster inovasi yang dibangunkan menggunakan kit James Dyson Foundation bagi kategori sekolah menengah. Penjurian berjalan lancar dengan penglibatan juri dari UTM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor serta wakil industri. Pelajar memberikan penerangan projek dengan penuh yakin manakala juri menilai berdasarkan kriteria kreativiti, fungsi, impak, kebolehgunaan dan elemen kejuruteraan yang diterapkan.

Selesai penjurian, pihak penganjur membuat persiapan bagi majlis penyampaian hadiah sebagai persediaan menerima ketibaan dif-dif kehormat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, James Dyson Foundation dan Universiti Teknologi Malaysia.

SMK Mutiara Rini mempamerkan projek sistem pemantauan suhu menggunakan Arduino
Sesi penjurian projek NEXTGEN Engineers Challenge 2025

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan Haji Md Dom Dui yang menekankan kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai tunjang pembangunan modal insan masa depan. Beliau menyatakan bahawa projek-projek yang ditampilkan pelajar dan guru mencerminkan kreativiti serta kesungguhan warga sekolah dalam mengaplikasikan pengetahuan sains dan kejuruteraan bagi menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UTM, JPN, MBJB dan James Dyson Foundation atas usaha konsisten menyediakan platform pembelajaran bermakna, yang bukan sahaja memupuk minat terhadap STEM, malah membina keyakinan, kemahiran berfikir aras tinggi dan budaya inovasi dalam kalangan warga sekolah. Beliau berharap inisiatif seperti NEXTGEN Engineers Challenge dan PRO E-STEM Teachers Challenge dapat diteruskan sebagai pemangkin pembangunan pendidikan STEM di Johor.

Majlis diteruskan dengan ucapan Manyi Ho, wakil rasmi James Dyson Foundation. Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen pelajar dan guru dalam menghasilkan projek berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan masyarakat. Menurut beliau, James Dyson Foundation sentiasa komited menyokong pembangunan bakat kejuruteraan generasi muda melalui penyediaan sumber pembelajaran, latihan dan sokongan teknikal.

Anugerah utama bagi kedua-dua pertandingan turut disampaikan pada majlis ini. Guru-guru PRO E-STEM menerima pengiktirafan dalam kategori Grand Winner, Runner-Up, Consolation dan beberapa anugerah khas. Pelajar-pelajar NEXTGEN pula menerima sijil dan hadiah berdasarkan pencapaian projek masing-masing. Suasana majlis diserikan dengan tepukan penghargaan atas usaha gigih dan kreativiti semua peserta.

Program diakhiri dengan sesi fotografi serta pertemuan peserta bersama tetamu kehormat. Secara keseluruhan, program ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, kolaboratif dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan guru.

SK Kota Masai menerima anugerah Grand Winner bagi pertandingan PRO E-STEM Teachers Challenge 2025
SK Kampong Pasir menerima Anugerah JDF Makerspace bagi pertandingan PRO E-STEM Teachers Challenge 2025
SMK Medini memenangi anugerah Grand Winner bagi kategori Solve For Tomorrow (Mitigation)

Explore More

UTM Open Day