JOHOR BAHRU, 1 Dis – Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Lanjutan (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Envilab Sdn. Bhd. dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., telah berjaya menganjurkan program “Innovative Water Solutions Roundtable: Strengthening University–Industry Partnership on Membrane Technology”, yang turut disusuli dengan program tanggungjawab sosial (CSR) pendidikan air bertajuk “Hydro-Circle Kids: From Water to Waste to Wonder”. Inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan pakar universiti dan industri dalam dialog teknologi air, tetapi juga membawa manfaat langsung kepada komuniti melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada murid sekolah rendah.
Pada peringkat awal, program ini hanya merangkumi sesi perbincangan meja bulat yang dianjurkan dengan sokongan dana Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM di bawah Dana Networking AIM4STAR. Namun, penambahan program CSR pada fasa akhir menjadikan keseluruhan inisiatif lebih menyeluruh, inklusif dan memberi nilai tambah kepada peserta, rakan industri serta masyarakat. Penganjuran gabungan ini menunjukkan komitmen AMTEC dalam memperkukuh hubungan tiga hala antara universiti, industri dan komuniti.
Sesi perbincangan membuka ruang dialog mendalam berkaitan cabaran sebenar pengurusan air industri, keperluan semasa teknologi membran, integrasi sistem sensor masa nyata dan peluang untuk membangunkan sistem perintis (pilot-scale) berasaskan penyelidikan AMTEC. Perkongsian data operasi oleh pihak industri membantu penyelidik merangka agenda penyelidikan yang lebih relevan, berorientasikan penyelesaian dan seiring dengan keperluan teknologi air masa depan. Kolaborasi seperti ini bukan sahaja meningkatkan nilai penyelidikan, malah menyokong agenda inovasi air negara secara lebih sistematik.

Penganjuran CSR “Hydro-Circle Kids” pula memberikan pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai teknologi penapisan air, kitar semula air dan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti hands-on yang interaktif dan menyeronokkan. Murid berpeluang membina kit penapisan air mini serta memahami konsep asas rawatan air bersih, sekali gus memupuk minat terhadap STEM dan meningkatkan literasi air sejak usia muda.
Menurut Pengarah Program merangkap Ketua Unit Korporat AMTEC, Dr. Farhana Aziz, program ini membawa impak yang besar kepada pelbagai pihak.
“Kami amat berbesar hati dapat menghimpunkan rakan industri, guru dan murid dalam satu program berimpak tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja mendidik generasi muda tentang kepentingan air bersih, tetapi turut mengukuhkan hubungan strategik antara universiti, industri dan sekolah. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada CCIN UTM, Envilab dan Ranhill SAJ atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AMTEC, Prof. Ts. Dr. Juhana Jaafar, menegaskan bahawa program ini memperkukuh peranan AMTEC sebagai pusat rujukan teknologi membran dan rawatan air di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa kerjasama bersama industri membuktikan komitmen AMTEC dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja signifikan dari segi akademik, tetapi turut menyumbang kepada penyelesaian praktikal dalam sektor air negara. Program CSR kepada murid sekolah rendah turut meningkatkan kebolehlihatan AMTEC sebagai institusi yang aktif membina komuniti berpengetahuan.
Secara keseluruhannya, program ini memberi impak signifikan dalam memperkukuh hubungan universiti–industri, memacu agenda penyelidikan teknologi air, meningkatkan literasi serta kesedaran awam mengenai kelestarian air, dan memupuk minat STEM dalam kalangan murid sekolah rendah. Inisiatif kolaboratif ini membuktikan bahawa penyelesaian cabaran air masa depan memerlukan sinergi berterusan antara sektor akademik, industri dan komuniti untuk menghasilkan impak yang mampan, berdaya tahan dan relevan kepada keperluan negara.

Oleh Dr. Farhana Aziz and Dr. Nurfarhain Mohamed Rusli