December 5, 2025

Modul Pengurangan Pembaziran Makanan didik kanak-kanak hargai makanan dan alam sekitar

JOHOR BAHRU, 27 Nov – Program pelaksanaan Modul Pengurangan Pembaziran Makanan merupakan sebuah inisiatif pendidikan lestari yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang kepentingan menghargai makanan, mengelakkan pembaziran dan memelihara alam sekitar melalui amalan harian. Program ini merupakan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Guru Tabika KEMAS Bestari menerangkan definisi pembaziran makanan

Pembentangan modul ini telah diadakan pada 12 Jun 2025 dan melibatkan sesi taklimat serta perbincangan bersama guru-guru Tabika KEMAS bagi mendapatkan maklum balas terhadap kandungannya. Sesi tersebut turut menekankan penggunaan bahan bantu mengajar seperti Diari Makanan Saya dan aktiviti interaktif bilik darjah yang dirangka khas untuk membantu kanak-kanak prasekolah memahami konsep penjagaan alam sekitar serta kepentingan mengelakkan pembaziran makanan sejak usia muda.

Sepanjang bengkel, guru-guru Tabika KEMAS didedahkan kepada objektif modul, struktur pelaksanaan di kelas dan kaedah memantau kesedaran murid melalui penggunaan Diari Makanan Saya. Mereka turut berbincang mengenai cara mengaitkan topik ini dengan aktiviti harian seperti waktu makan dan sesi penceritaan. Guru-guru juga berkongsi pengalaman menguruskan sisa makanan di tabika serta mencadangkan penambahbaikan agar modul lebih mudah diaplikasi di lapangan sebenar.

Ketua Projek menjelaskan bahawa modul ini bukan sekadar memberi pendedahan tentang pengurusan sisa makanan, tetapi turut memupuk nilai murni seperti berjimat cermat, tanggungjawab sosial dan kasih terhadap alam sekitar. Pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman nyata ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, serta aspirasi Dasar Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan.

Modul Amalan Pengurangan Pembaziran Makanan dan buku aktiviti Diari Makanan Saya yang telah dibangunkan

Pelaksanaan modul di Tabika KEMAS Taman Bestari menunjukkan hasil memberangsangkan apabila guru berjaya mengintegrasikan kandungan modul ke dalam aktiviti harian seperti sesi bercerita, aktiviti bilik darjah dan catatan diari makanan murid. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang isu pembaziran makanan, malah membimbing kanak-kanak untuk berfikir secara kritikal, beretika dan membuat pilihan makanan yang lebih bertanggungjawab.

Aktiviti yang diadaptasi daripada Modul Cegah Pembaziran Makanan

Menurut guru Tabika KEMAS Taman Bestari, Siti Farhana Kelana, pendekatan melalui modul ini sangat berkesan kerana mampu membentuk sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan murid melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mudah difahami. Beliau memaklumkan bahawa murid menunjukkan minat tinggi terutama ketika diminta memerhati sisa makanan selepas waktu makan dan mencatatnya dalam Diari Makanan Saya.

Beliau menambah bahawa penggunaan diari tersebut membantu murid menjadi lebih peka terhadap jumlah makanan yang diambil dan dibazirkan setiap hari, selain memberi peluang untuk berbincang dan membuat refleksi bersama guru serta rakan-rakan mengenai cara mengurangkan pembaziran. Melalui aktiviti ini, murid dapat mempelajari nilai menghargai rezeki, berkongsi makanan dan membentuk tabiat berhemat yang boleh dibawa pulang ke rumah. Beliau turut berpendapat bahawa modul ini sesuai diterapkan dalam pelbagai tema pembelajaran prasekolah dan wajar dikembangkan secara lebih meluas kerana aktiviti yang dirancang mampu menarik minat murid untuk belajar tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar secara tidak langsung.

Hasil kerja murid berdasarkan lembaran aktiviti daripada Modul Amalan Pengurangan Pembaziran Makanan

Dengan kejayaan pelaksanaan awal di Tabika KEMAS Taman Bestari, FEST UTM komited untuk memperluas penggunaan modul ini ke seluruh institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Usaha ini seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, bertanggungjawab terhadap sumber makanan dan berperanan aktif dalam melindungi alam sekitar demi generasi masa depan.

Explore More

UTM Open Day