Bidang kecerdasan buatan (AI) bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah wujud sejak beberapa dekad lalu. Namun, dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, AI berkembang begitu pesat sehingga menjadi teknologi yang sangat penting dalam kehidupan moden. Inovasi dan penerokaan berterusan dalam bidang ini menjadikannya antara pemacu utama perubahan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pembuatan, logistik, pendidikan dan sebagainya.
Laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjangkakan perubahan besar dalam pasaran kerja global menjelang tahun 2030, didorong oleh perkembangan teknologi dan pengaruh kuat AI. Menurut laporan tersebut, AI dijangka mewujudkan sekitar 11 juta pekerjaan baharu tetapi pada masa yang sama menggantikan kira-kira 9 juta pekerjaan sedia ada, menghasilkan peningkatan bersih sebanyak dua juta peluang pekerjaan. Angka ini menunjukkan bahawa peranan AI bukan sekadar mengambil alih tugas manusia, malah turut membuka ruang pekerjaan baharu yang lebih dinamik dan berteknologi tinggi.
Keperluan untuk membangunkan bakat dalam bidang ini semakin mendesak. Sehubungan itu, Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan ekosistem AI di negara ini, khususnya dalam memperluas penggunaan teknologi merentas pelbagai sektor. Antaranya ialah penubuhan Fakulti AI pertama di Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, selain pembentukan Konsortium AI Malaysia (MAIC) pada 2024 sebagai usaha kolaboratif bersama institusi akademik lain. Pada masa yang sama, pelancaran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital pada Disember 2024 menandakan komitmen kerajaan memacu teknologi AI dengan lebih pantas agar Malaysia mampu bersaing dengan negara maju.
Sebelum itu, pada 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memperkenalkan Malaysia National AI Roadmap (AI-RMAP) 2021-2025. Dokumen strategik ini menjelaskan keperluan AI kepada negara dan menggariskan enam strategi utama iaitu menubuhkan tadbir urus AI, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan AI, mempertingkat infrastruktur digital, memupuk pembangunan bakat AI, membudayakan penggunaan AI, dan memulakan ekosistem inovasi AI peringkat nasional.
Daripada keenam-enam strategi ini, Strategi 4 iaitu pembangunan bakat menjadi fokus penting kerana ia menekankan keperluan melahirkan tenaga mahir AI bermula dari peringkat sekolah hingga universiti, termasuk galakan pendidikan sepanjang hayat. Roadmap tersebut turut menetapkan pelbagai sasaran pembangunan bakat untuk memenuhi keperluan industri masa depan.
Walaupun generasi graduan hari ini umumnya celik digital dan mahir menggunakan teknologi, masih wujud jurang apabila melibatkan kemahiran sebenar dalam AI. Ramai graduan menguasai literasi digital asas, namun kurang pendedahan terhadap literasi AI yang melibatkan pemahaman mendalam tentang model, data, automasi dan aplikasi dunia sebenar. Kekurangan pengalaman praktikal seperti mengendalikan projek AI sebenar, memahami aliran data atau membangunkan penyelesaian berasaskan AI menyebabkan ramai graduan tidak benar-benar bersedia untuk memenuhi jangkaan industri yang semakin kompetitif.
Selain itu, pelajar universiti turut berdepan beberapa cabaran lain yang memberi kesan kepada tahap kesiapsiagaan mereka. Antaranya ialah kurangnya penglibatan dalam projek industri sebenar yang sepatutnya menjadi platform penting untuk mereka mempraktikkan pengetahuan teori. Tidak kurang juga yang bimbang tentang potensi kehilangan pekerjaan akibat automasi, sekali gus menimbulkan rasa ragu-ragu untuk menerokai bidang AI dengan lebih mendalam. Semua faktor ini menunjukkan bahawa kesiapsiagaan graduan bukan hanya bergantung kepada pengetahuan akademik, tetapi juga kepada pembelajaran praktikal, pendedahan industri dan kesediaan mental untuk beradaptasi dengan teknologi masa depan.
Daripada perspektif majikan, graduan hari ini diharapkan mempunyai set kemahiran yang lebih menyeluruh dan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa. Majikan bukan lagi mencari calon yang hanya tahu menggunakan teknologi, tetapi mereka yang mampu bekerjasama dengan sistem AI serta memahami bagaimana teknologi tersebut boleh meningkatkan produktiviti dan penyelesaian masalah. Graduan yang adaptif, cepat belajar dan bersikap fleksibel dilihat lebih bernilai kerana mereka mampu mengikuti perubahan teknologi dengan pantas. Pada masa yang sama, pemikiran inovatif dan keberanian mencuba pendekatan baharu menjadi kelebihan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin dipacu oleh teknologi, graduan disarankan untuk terus meningkatkan kemahiran diri secara berterusan. Kemahiran asas data, mencuba pelbagai alat berasaskan AI dan menguasai kemahiran pengaturcaraan dapat memberi nilai tambah kepada graduan. Pembelajaran kendiri melalui platform MOOC atau program micro-credential juga sangat digalakkan kerana ia memberi peluang kepada pelajar meningkatkan pengetahuan mengikut masa mereka sendiri sambil mendapatkan sijil yang diiktiraf oleh industri. Kurikulum di sekolah dan universiti juga seharusnya memperkukuh elemen seperti sains data dan automasi agar generasi muda benar-benar bersedia menghadapi era baharu ini.
Selain kemahiran teknikal, graduan turut digalakkan untuk aktif melibatkan diri dalam projek komuniti, penyelidikan atau pertandingan teknologi seperti hackathon, pertandingan robotik dan inovasi. Penglibatan sebegini bukan sahaja meningkatkan kemahiran praktikal, malah membantu membina keyakinan diri serta keupayaan menyelesaikan masalah. Kemahiran komunikasi dan kolaborasi juga penting kerana majikan mencari calon yang mampu bekerja dengan orang lain, berfikiran kritis dan menyampaikan idea dengan jelas. Gabungan kemahiran teknikal dan interpersonal inilah yang akhirnya menjadikan graduan lebih kompeten, versatil dan bersedia menghadapi landskap kerjaya masa depan.
Secara keseluruhannya, AI menjadi pemangkin penting dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk menghadapi masa depan yang semakin dipacu teknologi. Graduan yang bersedia dari segi teknikal dan mental bukan sahaja lebih kompetitif, malah lebih mampu memanfaatkan peluang baharu dalam pelbagai sektor yang sedang mengalami transformasi digital. Dengan kemahiran yang tepat dan minda yang bersedia untuk berubah, generasi muda hari ini berpotensi memainkan peranan utama dalam menggerakkan pembangunan dan inovasi negara.
Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia