December 10, 2025

imge

SMART Selera Madani perkasa khidmat komuniti pelajar HRD UTM

JOHOR BAHRU, 21 Nov – Kelab Student of Human Resource Development (SMART), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berjaya menganjurkan program SMART Selera Madani pada 21 November 2025. Program khidmat komuniti ini berteraskan nilai kebersamaan, empati dan tanggungjawab sosial, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta komitmen UTM dalam memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran program ini mendapat kerjasama erat daripada Skuad Prihatin Johor yang diketuai oleh Mohd Sidek Roslan, dengan sokongan penuh Haji Lokman Faivdullah yang turut menyumbang tenaga, kepakaran dan tajaan. Kerjasama strategik ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat, malah menyediakan platform pembelajaran bermakna kepada pelajar Pembangunan Sumber Manusia (HRD) untuk mengaplikasikan kemahiran kepimpinan, komunikasi, perancangan strategik dan pengurusan acara dalam situasi sebenar.

Majlis SMART Selera Madani turut diserikan dengan penyampaian Bakul MADANI yang disempurnakan oleh Pengarah JPSM, Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, bersama barisan pensyarah dan pelajar HRD daripada pelbagai tahun pengajian. Penyerahan bantuan ini bukan sahaja membawa makna simbolik, tetapi mencerminkan peranan aktif mahasiswa HRD dalam memperkukuh nilai adab, kesantunan dan semangat saling membantu sebagai asas pembentukan sahsiah dan karakter unggul.

Penglibatan aktif pelajar dalam keseluruhan perjalanan program, bermula daripada penyediaan kertas kerja, penyelarasan logistik, pengurusan peserta hinggalah pelaksanaan di lapangan, menunjukkan keupayaan mereka mengamalkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Usaha ini memberikan nilai tambah kepada perkembangan profesional pelajar HRD, di samping menjadikan mereka lebih peka terhadap keperluan masyarakat setempat.

Penyerahan Bakul MADANI oleh pensyarah kepada pelajar
Sesi penyerahan Bakul MADANI kepada penerima manfaat

Program SMART Selera Madani jelas menunjukkan potensi besar HRD UTM dalam memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan yang berstruktur. Melihat kepada impak positif dan penyertaan menggalakkan daripada para pelajar, program ini berpotensi dijadikan inisiatif tahunan di bawah JPSM. Pada masa akan datang, SMART merancang untuk memperluas skala penganjuran melalui kerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan industri bagi meningkatkan manfaat kepada masyarakat serta memperkukuh jaringan strategik universiti.

imge
Sesi bergambar bersama Skuad Prihatin Johor

Penganjuran ini bukan sahaja mengangkat imej JPSM sebagai jabatan yang komited terhadap pembangunan sosial, malah memperkukuh identiti fakulti sebagai institusi yang melahirkan graduan HRD berilmu, beradab dan berjiwa komuniti. Ia turut membuktikan kesungguhan fakulti dalam menerapkan nilai kemanusiaan, kepimpinan dan etika profesional melalui pengalaman lapangan yang sebenar. Program seperti ini juga mempererat hubungan mahasiswa dengan masyarakat, memupuk rasa tanggungjawab sosial berterusan dan memastikan peranan HRD terus relevan sebagai agen perubahan yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Oleh Dr. Nor Amira Syairah Zulkarnaini & Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day