December 12, 2025

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Pada majlis penuh gembira yang menghiasi Dewan Sultan Iskandar sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69, wajah tenang Aina Afiqah Masri tidak pernah menceritakan kisah sebenar yang tersimpan jauh di sudut hidupnya.

Dari jauh, langkahnya kelihatan biasa sahaja, seperti pelajar lain yang diraikan. Namun, di sebalik senyuman itu tersembunyi perjalanan panjang yang tidak pernah mudah.

Aina Afiqah melakar detik bersejarah pada hari konvokesyennya

Aina bukan dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal. Segala-galanya berubah pada tahun 2007 ketika dia masih kecil. Sebuah kemalangan meragut sebahagian besar keselesaan hidupnya apabila hampir separuh tubuhnya melecur terkena air gula panas.

Luka itu memaksanya membesar di antara katil hospital, sesi fisioterapi dan pembedahan plastik yang berulang. Parut yang kekal pada tubuhnya hanya sebahagian daripada kesakitan, kerana seluruh proses itu turut meninggalkan kesan mendalam pada jiwa kanak-kanak yang belum mengenal dunia.

Aina melalui zaman persekolahan dalam keadaan yang tidak sama seperti rakan-rakannya. Pernah suatu ketika dia terpaksa meniarap di dalam kelas kerana tidak mampu duduk terlalu lama.

Namun ibu bapanya tetap memilih untuk menghantarnya ke sekolah harian biasa bersama pelajar arus perdana. Keputusan itu bukan paksaan, tetapi usaha mereka untuk memupuk sifat berdikari dan keyakinan diri. Dari situlah kekuatan Aina mula bertunas.

Selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Aina mengambil langkah berani dengan memohon ke sekolah berasrama penuh. Ramai yang meragui kemampuannya, namun dia tekad untuk membuktikan bahawa status OKU bukan alasan untuk menyerah kalah.

Ramai rakan dan guru pada waktu itu tidak mengetahui keadaannya, dan itulah ruang yang membolehkannya menjalani kehidupan tanpa pandangan simpati atau kasihan. Aina mahu dikenali kerana keupayaannya, bukan kekurangannya.

Aina Afiqah bersama ibu dan bapanya pada hari konvokesyen UTM ke-69

Cabaran hidup Aina tidak terhenti setakat itu. Ketika mengikuti pengajian di UTM, dia sekali lagi berdepan ujian besar apabila perlu menjalani pembedahan utama pada semester ketujuh. Walaupun pernah terdetik untuk menangguhkan pelajaran, tekadnya untuk terus melangkah jauh lebih kuat.

Setiap hari dia tetap ke kelas meskipun luka masih belum pulih sepenuhnya, sebelum pulang untuk menukar dressing seorang diri dan kemudian berulang-alik ke hospital menaiki Grab tanpa rungutan.

Dia menyembunyikan kesakitannya, sehingga rakan sekelas dan pensyarah tidak menyedari bahawa di sebalik wajah tenang itu tersimpan ketabahan luar biasa. Aina juga enggan menggunakan tongkat kerana tidak mahu dikasihani.

Pengorbanan dan ketekunan itu akhirnya membuahkan makna yang lebih besar apabila Aina menerima Anugerah Dekan pada hari konvokesyennya. Dalam suasana penuh bangga itu, penghargaan tersebut menjadi simbol kekuatan yang merangkum seluruh jerih perih bertahun-tahun perjuangan yang dilaluinya dalam diam.

Selain kecemerlangan akademik, Aina turut membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak pernah menjadi penghalang untuk menyertai pelbagai aktiviti universiti.

Beliau menyertai program antarabangsa Global Outreach Program Kyoto Connect di Jepun, aktif dalam jawatankuasa kolej, kejohanan sukan, kursus kepimpinan dan latihan kebakaran, semuanya dilakukan tanpa mendedahkan status dirinya sebagai OKU fizikal.

Hari ini, apabila Aina berkongsi keadaannya, ramai yang terkejut. Jika dahulu reaksi sebegitu membuatkan dia berasa rendah diri, kini dia menerimanya sebagai tanda bahawa dia sebenarnya telah berjaya berdiri sama tinggi seperti orang lain walaupun pernah melalui dugaan yang lebih berat daripada kebanyakan orang.

Aina Afiqah diraikan dengan penuh kasih sayang oleh ibu dan ayah di majlis konvokesyennya

Kisah Aina bukan kisah untuk meraih simpati. Ia adalah kisah keberanian seorang wanita muda yang enggan menjadikan parut sebagai batasan. Ia kisah tentang bagaimana luka boleh berubah menjadi kekuatan, bagaimana ketabahan boleh membawa seseorang melangkah lebih jauh daripada apa yang dijangka.

Majlis Konvokesyen ke-69 mungkin menandakan tamatnya pengajian formal, namun bagi Aina, ia adalah permulaan baharu kepada perjalanan seorang pejuang yang tidak pernah berhenti melangkah.

Explore More

UTM Open Day