November 18, 2025

JOHOR BAHRU, 17 Nov. — Dalam arus kehidupan yang sering menguji ketahanan insan, ada kisah yang mengukir makna lebih mendalam daripada sekadar kejayaan akademik.

Kisah Nur Farrah Izzati binti Yusri, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah antara kisah luar biasa itu.

Bagi sesetengah orang, menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan mungkin sesuatu yang lumrah.

Namun bagi Farrah, perjalanan itu dipenuhi onak dan duri yang menguji bukan sahaja tubuh fizikalnya, tetapi juga kekuatan mental dan keutuhan jiwa.

Pada tahun 2019, tatkala rakan sebayanya sibuk menggapai cita-cita di kampus, Farrah berdepan detik yang mengubah seluruh landskap kehidupannya, beliau disahkan menghidap Adult Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), sejenis barah sistem darah yang agresif.

Beliau dimasukkan ke wad Hospital Melaka dan menjalani rawatan intensif selama enam bulan.

Tidak berhenti di situ, Farrah turut menjalani rawatan pemindahan sel stem di Hospital Ampang, Selangor.

Namun ujian tersebut sekali lagi bertambah berat apabila beliau mengalami komplikasi graft rejection pada Jun 2020, suatu keadaan yang boleh membawa risiko serius.

Yang lebih menyayat hati, baru-baru ini Farrah turut didiagnosis dengan kanser lidah.

Di tengah-tengah pertarungan demi pertarungan ini, beliau tetap berpegang pada harapan, disokong keluarga yang tidak pernah melepaskan genggaman.

Nur Farrah Izzati bersama ibunya, Idah Abu Bakar dan adiknya, Nur Idris Syah Yusri.

Dalam setiap perjuangan, pasti wujud pahlawan yang tidak didendang. Bagi Farrah, pahlawan itu ialah adiknya, Nur Idris Syah bin Yusri, yang menderma sel stem untuk rawatan transplan leukemianya.

Kata Farrah:

“Adik lelaki saya, Nur Idris Syah yang menderma stem cell untuk rawatan transplan leukemia saya. Kalau saya tak dapat stem cell dari dia, mungkin saya tak ada hari ini.

Ibu beliau, Puan Idah binti Abu Bakar, pula menjadi tiang doa dan kekuatan, menemani setiap detik rawatan, setiap dugaan yang mendatang. Sokongan keluarga inilah yang menyempurnakan makna ketabahan Farrah.

Bagi meringankan beban kewangan rawatan, Farrah menerima bantuan khas berjumlah RM16,249.00 melalui Tabung Endowmen UTM.

Sokongan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi simbol solidariti universiti terhadap perjuangan anak-anak didiknya.

Akibat rawatan yang panjang dan kesihatan yang tidak menentu, Farrah terpaksa menangguhkan pengajian selama lima semester. Namun, tidak sekali pun beliau berundur daripada cita-cita untuk bergraduasi.

Dengan semangat yang tidak pernah luntur, beliau kembali ke kampus setiap kali kesihatan mengizinkan. Farrah menghadiri kelas, menyiapkan tugasan, dan mendukung amanah sebagai pelajar meskipun sering dihimpit ketidaktentuan kondisi tubuhnya.

Hari ini, keberanian dan semangat juang itu membuahkan hasil. Farrah berdiri megah sebagai salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen ke-69 UTM, satu kemenangan yang lebih besar daripada sekadar segulung ijazah.

Lebih membanggakan, beliau kini telah diterima sebagai Protégé di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, melangkah ke fasa baharu kehidupan sebagai seorang profesional muda.

Ketabahannya menjadi inspirasi bahawa dalam kehidupan, kekuatan bukan diukur pada tubuh yang tegap, tetapi pada jiwa yang enggan mengalah. Farrah mengajar kita bahawa harapan tidak pernah mati selagi kita memilih untuk terus melangkah.

Farrah Izzati bukan sekadar seorang graduan. Beliau adalah lambang keberanian, ikon ketabahan yang akan terus dikenang oleh warga UTM.

 

Explore More

UTM Open Day