November 16, 2025

UTM perkukuh literasi tanah komuniti melalui program pemantauan impak di Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM, 28 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah (KTF) terus memperkukuh peranannya sebagai ejen pembangunan komuniti apabila melaksanakan Program Pemantauan Impak Bual Bicara Tanah di Balai Islam Kampung Chokro, Simpang Renggam, Johor.

Program ini merupakan kesinambungan kepada Program 3L (Lestari, Legaliti, Luhur) yang telah dilaksanakan bersama komuniti Kampung Chokro pada 28 Jun 2025. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada ketua-ketua kampung dan masyarakat setempat mengenai isu-isu tanah semasa seperti pemilikan tanah lot lidi, pengurusan harta pusaka, serta tanah wakaf, di samping memperkukuh kefahaman undang-undang berkaitan hak milik dan pewarisan tanah.

Sudut Cakna Tanah dalam Balai Islam
Sudut Cakna Tanah di Balai Islam Kampung Chokro menjadi ruang utama pelaksanaan aktiviti komuniti

Seramai 11 ketua kampung dari kawasan sekitar Simpang Renggam telah menyertai program ini yang menekankan aspek pemantauan ilmu dan keberkesanan aplikasi maklumat daripada sesi terdahulu. Melalui kaedah soal selidik dan temu bual kumpulan, hasil dapatan menunjukkan peningkatan ketara tahap kefahaman peserta terhadap isu tanah, dengan purata markah antara empat hingga lima bagi setiap komponen penilaian.

Peserta menunjukkan pemahaman mendalam tentang risiko pemilikan tanah lot lidi tanpa geran sah, prosedur penyelesaian pertikaian undang-undang, serta peranan Pejabat Tanah, Mahkamah Syariah dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dalam pengurusan harta pusaka dan tanah wakaf.

Lebih membanggakan, sebahagian besar ketua kampung menyatakan bahawa mereka telah menyebarkan semula ilmu yang diperoleh kepada penduduk kampung melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta saluran komunikasi komuniti seperti WhatsApp dan Facebook. Langkah ini menunjukkan keberkesanan kesinambungan ilmu dan peningkatan literasi tanah dalam kalangan pemimpin akar umbi.

Sesi Perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung
Sesi perbincangan bersama ketua-ketua kampung yang berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka

Dalam sesi perbincangan tersebut, peserta turut menyuarakan minat terhadap potensi tanah wakaf sebagai aset pembangunan komuniti. Majoriti ketua kampung menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak MAIJ dalam mengenal pasti tanah yang berpotensi diwakafkan, selain menilai mekanisme undang-undang dan pentadbiran yang berkaitan.

Namun begitu, beberapa cabaran turut dikenalpasti, antaranya kekangan ilmu undang-undang dalam kalangan penduduk, kes pemilikan tanah berlapis, serta kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pengurusan tanah yang sah. Isu ini dianggap penting untuk ditangani secara berterusan melalui pencerahan dan bimbingan daripada agensi berkaitan.

Sebahagian besar peserta menyarankan agar program seperti ini diperluas ke kampung lain di seluruh negeri Johor dengan penglibatan lebih banyak agensi seperti Pejabat Tanah, MAIJ, dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Cadangan turut dikemukakan agar diadakan sesi pencerahan berkala berkaitan isu tanah semasa supaya kesedaran awam dapat diperkukuh secara berterusan.

Menurut Dr. Aminah Mohsin, Pengetua Kolej Tun Fatimah merangkap penasihat program, pelaksanaan ini bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi merupakan satu inisiatif menyeluruh yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari.

“Pendekatan turun padang sebegini membolehkan ilmu akademik disampaikan secara praktikal kepada masyarakat. Ia juga memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti luar bandar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTM,” ujar beliau.

Pengisian Borang Pemantauan oleh Ketua-Ketua Kampung
Ketua-ketua kampung mengisi borang pemantauan selepas sesi perbincangan bagi menilai tahap kefahaman

Secara keseluruhan, Program Pemantauan Impak Bual Bicara Tanah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu menilai keberkesanan ilmu yang disampaikan serta meningkatkan kesediaan komuniti dalam mengamalkan pengurusan tanah secara sah, beretika dan lestari.

UTM melalui Kolej Tun Fatimah berhasrat untuk meneruskan inisiatif libat urus komuniti seperti ini secara berterusan, selaras dengan visi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan kesejahteraan manusia dan pembangunan mampan.

Explore More

UTM Open Day