November 17, 2025

Program OSH in School UTM tingkatkan budaya keselamatan dalam kalangan pelajar

JERTEH, 14 Okt – Seksyen Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berjaya menganjurkan Program Kesedaran Occupational Safety and Health (OSH) di Sekolah di dua buah institusi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak, Bachok, Kelantan dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifakiah, Jerteh, Terengganu.

Program ini merupakan kesinambungan inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) UTM di bawah UTM Occupational Safety and Health Master Plan (OSHMP) 2021–2025, yang menekankan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam komuniti luar kampus. Pendekatan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8: Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi, yang memberi tumpuan kepada pembentukan persekitaran kerja dan pembelajaran yang selamat, sihat dan produktif.

Program ini bertujuan memberi kesedaran awal kepada warga sekolah mengenai kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam persekitaran pendidikan. OSHE UTM Kuala Lumpur percaya bahawa pembentukan budaya selamat perlu dimulakan sejak usia muda agar menjadi amalan berterusan apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak.

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Sa’ardin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Seksyen OSHE UTM Kuala Lumpur, “Keselamatan dan kesihatan bukan sekadar tanggungjawab organisasi, tetapi merupakan nilai yang perlu diterapkan dalam minda setiap individu sejak di sekolah lagi. Program OSH in School ini adalah platform terbaik untuk memperkenalkan konsep keselamatan secara praktikal, mudah difahami dan menyeronokkan.”

Beliau menegaskan bahawa keberkesanan program bukan hanya bergantung kepada sesi ceramah atau pameran, tetapi melalui pendekatan simulasi, latihan interaktif dan pemerhatian lapangan yang memberi pengalaman sebenar kepada pelajar dan guru.

Pelajar-pelajar teruja untuk mencuba memakai Peralatan Perlidungan Diri (PPE) dan meneliti buku-buku berkaitan KKP terbitan UTM di Ruang Pameran KKP

Edisi tahun 2025 memperlihatkan peluasan program OSH in School ke dua sekolah dengan latar belakang berbeza. SK Bukit Marak, sebuah sekolah rendah di kawasan pinggir bandar Bachok, menekankan pendedahan terhadap keselamatan fizikal dan kebakaran, manakala SMA Ittifakiah, sebuah institusi pendidikan agama di Jerteh, memberi fokus kepada kesedaran kesihatan, kebajikan pelajar asrama dan penubuhan pasukan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) sekolah.

Menurut Muhammad Haris Muhammad Nadzri dan Muhammad Adlan Abdul Halim, Penolong Pegawai Seksyen OSHE UTM Kuala Lumpur selaku penyelaras program, “Gabungan dua jenis sekolah ini membolehkan kami menyesuaikan pendekatan latihan dan komunikasi agar lebih berkesan dengan budaya dan persekitaran setempat. Di SK Bukit Marak, pelajar lebih teruja dengan simulasi kebakaran, manakala di SMA Ittifakiah, minat mereka menonjol terhadap aspek bantuan kecemasan dan penjagaan rakan sebaya.”

Sesi ceramah berkaitan KKP dan keselamatan kebakaran di SK Bukit Marak oleh Timbalan Pengarah Seksyen OSHE UTM Kuala Lumpur
Sesi ceramah berkaitan KKP dan keselamatan kebakaran bersama penghuni asrama di SMA Ittifakiah

Program yang berlangsung selama dua hari ini merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif sepenuhnya dikendalikan urus setia OSHE UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Aset (BPA) dan Seksyen Keselamatan UTM.

Antara aktiviti utama ialah ceramah mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), kuiz interaktif, serta pameran dan demonstrasi Sokongan Hidup Asas (Basic Life Support, BLS) yang memperkenalkan teknik Resusitasi Jantung Paru (CPR), rawatan tersedak dan pengendalian mangsa tidak sedarkan diri. Simulasi rawatan awal kecederaan turut dijalankan oleh pasukan St. John Pantai Timur, memberi tunjuk ajar tentang penggunaan kit pertolongan cemas, pembalutan luka dan rawatan kecederaan ringan.

Aktiviti lain termasuk latihan kebakaran melibatkan seluruh warga sekolah dengan kerjasama pasukan Bomba dan Penyelamat tempatan. Demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan selimut kebakaran diadakan, diikuti sesi penyerahan simbolik peralatan keselamatan kepada pihak sekolah sebagai tanda sokongan berterusan daripada OSHE UTM Kuala Lumpur.

Setiap aktiviti diatur mengikut jadual tentatif yang sistematik, dari sesi pagi hingga petang, disusuli sesi refleksi dan penilaian untuk menilai kefahaman peserta. Hasil tinjauan sebelum dan selepas aktiviti menunjukkan peningkatan ketara dalam kefahaman peserta terhadap prosedur keselamatan kebakaran, peranan OKK, serta keupayaan bertindak pantas ketika kecemasan.

Simulasi pemadaman api oleh pelajar dan guru, sinergi bersama Seksyen Keselamatan BPA dan OSHE UTM

Menurut seorang guru pengiring di SK Bukit Marak, “Pelajar sangat teruja dan lebih berkeyakinan selepas latihan kebakaran dan BLS. Mereka kini tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku kecederaan atau kebakaran di sekolah. Program sebegini wajar diadakan setiap tahun kerana ia sangat bermanfaat.”

Program OSH in School 2025 menyokong Keutamaan Strategik 4.6 UTM OSHMP 2021–2025, memperkukuh tanggungjawab sosial universiti dalam aspek KKP. Ia membuktikan bahawa OSHE UTM bukan sahaja menjaga keselamatan warga kampus, tetapi turut mendidik masyarakat luar tentang amalan selamat dan sihat.

Menurut Dr. Mohd Fa’iz Ahmad, Pengarah Pejabat OSHE UTM, inisiatif sebegini penting untuk membina “rangkaian komuniti selamat” secara berterusan antara universiti dan masyarakat. “UTM komited menjadikan OSH sebagai budaya, bukan sekadar keperluan. Apabila pelajar sekolah sedar tentang bahaya dan cara mencegahnya, kita sedang melahirkan generasi bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap risiko keselamatan di masa depan.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua urus setia, agensi rakan strategik, dan pihak sekolah atas kerjasama erat sepanjang program berlangsung.

Selain memberi pendedahan praktikal kepada pelajar, program ini turut memperkukuh hubungan antara UTM dan komuniti sekolah luar bandar. Pendekatan lapangan, seperti pemeriksaan lokasi, simulasi kebakaran dan sesi pengajaran interaktif, berjaya menarik minat pelajar untuk memahami konsep OSH dengan lebih mendalam.

Pihak OSHE UTM Kuala Lumpur merancang memperluaskan program ini ke lebih banyak sekolah di seluruh Malaysia, termasuk sekolah komuniti orang asli, sekolah agama, dan sekolah teknikal, bagi memastikan pendedahan keselamatan disampaikan secara menyeluruh kepada semua peringkat pelajar.

“Visi kami ialah agar setiap pelajar memahami bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Mereka perlu sedar bahawa tindakan kecil seperti menutup suis elektrik, menyusun peralatan dengan betul atau melaporkan bahaya boleh menyelamatkan nyawa,” ujar Dr. Sa’ardin.

Komitmen pelajar-pelajar sekolah Tahap 1 dan Tahap 2 SK Bukit Marak mendengar sesi ceramah berkaitan KKP, Keselamatan Kebakaran dan BLS

Keseluruhannya, pelaksanaan Program OSH in School 2025 di SK Bukit Marak dan SMA Ittifakiah berjaya mencapai objektifnya dengan cemerlang. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran keselamatan, tetapi juga menjadi simbol komitmen UTM dalam menjunjung nilai keselamatan dan kesihatan sebagai teras pembangunan modal insan berkualiti. Ia membuktikan bahawa apabila universiti turun padang bersama komuniti, nilai keselamatan dapat disemai secara lestari, membentuk generasi lebih peka, bertanggungjawab dan selamat, sejajar dengan aspirasi UTM sebagai peneraju kecemerlangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat nasional dan global.

Explore More

UTM Open Day